malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ismail Sabri: Suka atau tidak, simpan saja dalam hati
ADS

"Suka atau tidak, lebih baik simpan dalam hati," kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau pada awalnya diminta mengulas keputusan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk membuka penyertaan Anugerah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) kepada semua penggiat industri itu.

Katanya, beliau perlu menghormati keputusan dibuat Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

“Bila Datuk Salleh dah buat kenyataan, kementerian lain tak boleh komen melainkan dia belum buat kenyataan lagi.

“Suka ke, tak suka kita simpan dalam hati, saya tak boleh komen. Saya kena hormat keputusan daripada kementerian lain melainkan perkara ini dibawa ke kabinet dan mereka minta kita komen, baru kita kita komen,” katanya.

Ismail berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Risda dan Celcom Axiata di Restoran Terapung Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Semalam Salleh mengumumkan berlaku pindaan terhadap cara penilaian filem yang dipertandingkan dalam FFM kali ini.

Tak boleh bercanggah

Bagaimanapun kenyataan itu mengundang kecaman daripada sebuah portal yang diketahui menyokong Umno.

Antara lain Salleh dianggap "menghina" pengeluar filem berbahasa Melayu.

Ismail yang juga Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata sekiranya beliau memberi pandangan terhadap kementerian lain ia boleh dilihat berlaku perbezaan pendapat dalam kerajaan.

“Kalau saya bercakap, saya tak boleh cakap secara peribadi sebab saya menteri. Macam juga saya punya kementerian, kalau dah umum suatu perkara menteri lain (nak) komen tak boleh.

"Dalam kabinet dah kata tak boleh contradict (bercanggah) antara kementerian dan kementerian,” katanya.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebagai pihak menganjurkan FFM ke-28 hari ini menyatakan akur dengan keputusan kerajaan membuka penyertaan Anugerah FFM kepada semua penggiat industri itu.

Salleh turut mengumumkan sebuah kategori baru diwujudkan untuk Anugerah Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan pada festival anjuran Finas itu.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan cadangan semua pihak termasuk penggiat industri filem dan orang awam.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam meminta Finas supaya tidak memisahkan kategori filem yang dipertandingkan pada FFM ke-28.

Lihat Komen