malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
SENIMAN sokong keputusan menteri
Diterbitkan:  Aug 11, 2016 11:33 AM
Dikemaskini: 3:40 AM
ADS

Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) menyambut baik dan menyokong keputusan dibuat Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berhubung isu pencalonan Festival Filem Malaysia (FFM) tahun ini.

Dalam kenyataan SENIMAN hari ini persatuan itu berkata isu pengkategorian filem berbahasa kebangsaan dan sebaliknya bukan sesuatu yang perlu diperbesarkan.

Setiausaha Agung SENIMAN Hafiz Nafiah berkata isu bahasa kebangsaan juga tidak sepatutnya menjadi kontroversi kerana ia sudah diketahui semua pihak bahawa bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi negara ini.

"SENIMAN menyokong penuh keputusan dibuat Salleh selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap industri kreatif negara.

"Kami menganggap ia keputusan yang bijak serta langkah proaktif beliau berdepan isu tersebut," katanya.

Penganjuran FFM ke-28 yang dijadual awal bulan depan menjadi kontroversi apabila penganjur membahagikan filem yang dipertandingkan kepada dua kategori - masing-masing filem dalam bahasa kebangsaan dan sebaliknya.

Sesebuah filem dianggap menggunakan bahasa kebangsaan jika memaparkan sekurang-kurangnya 70 peratus bahasa Malaysia.

Selepas pelbagai pihak menyatakan protes, semalam Salleh mengumumkan pencalonan bagi filem terbaik pada FFM kali ini terbuka kepada semua.

Menurut laporan Bernama penganjur menyediakan satu kategori khas - anugerah Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan.

Pulang semula trofi

Bagaimanapun pengumuman itu mengundang kritikan kepada Salleh pula kerana dianggap "satu penghinaan" kepada pengeluar filem bahasa Melayu.

Semalam dua pertubuhan turut menyatakan sokongan terbuka mereka kepada FFM, iaitu Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA).

Hafiz berkata SENIMAN berharap semua pihak kini berpuas hati dengan keputusan dibuat kementerian terbabit dan tiada lagi kontroversi timbul yang boleh menjejaskan reputasi FFM.

Untuk rekod FFM dan kontroversi bukan sesuatu yang terlalu aneh.

Pada Disember 1986 penonton majlis anugera FFM keenam penyair, penulis dan pelakon Pyanhabib mengejutkan ramai apabila memulangkan semula trofi dimenangi hanya selepas beberapa saat disampaikan kepadanya.

Pyanhabib bertindak demikian - secara spontan - kerana membantah tindakan penganjur menolak pencalonan filem Kembara Seniman Jalanan.

Dia memenangi trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik melalui filem arahan Datuk Rahim Razali, Tsu Feh Sofiah.

Tahun lalu pula beberapa persatuan mempertikaikan FFM ke-27 kerana ada antara calon yang tersenarai tidak memenuhi syarat ditetapkan.

Lihat Komen