malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Kerana FFM portal pro-Umno kutuk menteri
Diterbitkan:  Aug 10, 2016 9:01 PM
Dikemaskini: 1:18 PM
ADS

Sebuah portal menyokong Umno menempelak Datuk Seri Salleh Said Keruak kerana membuat pindaan ke atas perjalanan penilaian karya yang menyertai Festival Filem Malaysia (FFM) tahun ini.

Dalam tulisannya hari ini MyKMU.net menyatakan persetujuan Salleh mewujudkan kategori khas untuk filem terbaik berbahasa kebangsaan adalah "satu penghinaan" kepada pengeluar filem bahasa Melayu.

"Mewujudkan kategori khas untuk filem berbahasa kebangsaan saja menunjukkan Salleh beranggapan filem bahasa Melayu tidak mempunyai kualiti setanding dengan filem-filem bukan berbahasa Melayu.

"Bagaimana jika filem bahasa kebangsaan yang menang anugerah Filem Terbaik FFM 28?

"Adakah relevan lagi kategori Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan, atau sudah ada rancangan memastikan filem Ola Bola dipilih sebagai Filem Terbaik FFM 28?" kata penulis artikel berkenaan.

FFM ke-28 menjadi perbualan peminat dan penggiat seni apabila penganjur - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) - menyediakan dua kategori berbeza untuk menilai filem negara ini.

Ia adalah filem "dalam bahasa Malaysia" dan "bukan dalam bahasa Malaysia".

Beberapa seniman dan peminat menyatakan bantahan mereka termasuk dengan meletak jawatan atau mengembalikan trofi pernah dimenangi.

Pada masa sama beberapa pihak lain menyokong langkah berkenaan, termasuk Persatuan Karyawan Malaysia dan Pertubuhan Pribumi Perkasa.

Bagaimanapun hari ini Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia mengumumkan penyertaan bagi anugerah filem terbaik September ini dibuka kepada semua penggiat industri filem di negara ini.

Salleh berkata kementerian itu turut mewujudkan kategori baru Anugerah Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan.

Di Malaysia jadi terbalik

Katanya keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan cadangan semua pihak termasuk penggiat industri filem dan orang awam.

Ola Bola dan Jagat adalah dua judul filem yang disebut-sebut layak memenangi anugerah filem terbaik.

Di sebalik protes itu Jagat mengumumkan mereka tidak akan memboikot FFM kali ini.

MyKMU.net melaporkan tindakan Salleh memansuhkan kategori filem bahasa Malaysia dan bukan bahasa Malaysia masih boleh diterima akal walaupun jelas bertentangan dengan hasrat kerajaan menjadikan bahasa itu digunakan semua lapisan rakyat.

"Namun mengumumkan kategori khas untuk filem terbaik bahasa kebangsaan merupakan satu penghinaan kepada pengeluar filem dalam bahasa kebangsaan dan bahasa Melayu itu sendiri.

"Filem bahasa kebangsaan tidak perlukan penghinaan ini," kata penulisnya.

Di negara lain katanya penilaian khas diberi kepada filem menggunakan bahasa asing.

"Di Malaysia jadi terbalik, kategori sampingan ialah best film in the national language (filem terbaik dalam bahasa kebangsaan).

"Jika tidak mahu menjaga kepentingan bahasa kebangsaan, jangan hina bahasa kebangsaan. Agaknya menteri ini akalnya sudah senget!" kata MyKMU.net.

Lihat Komen