malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ellie menggigil tahan marah FFM dikecam
ADS

Pengalaman selama 20 tahun berkecimpung dalam industri seni tanahair membuatkan pelakon dan pengarah Ellie Suriati menyokong teguh pendirian pengajur Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28.

Tanpa sedikit keraguan pun, Ellie meluahkan ‘taat setianya’ kepada FFM dalam sesi dialog untuk menyampaikan maklum balas dan cadangan bersama penganjur yang dijalankan di Kuala Lumpur malam kelmarin.

Kelihatan sedikit menggigil kerana menahan perasaan Ellie berkata dia memberi sokongan kepada acara FFM sejak dulu lagi.

"Dan saya akan teruskan menyokong acara yang dijalankan ini sampailah bila-bila.

“Tidak ada tentangan mahupun boikot daripada saya untuk FFM atau Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM),” katanya.

FFM kali ini menjadi perbincangan hangat apabila ada pihak tertentu mempertikaikan kaedah pengendalian filem yang mengasingkan karya menggunakan bahasa Malaysia dan sebaliknya.

Penganjur FFM ke-28 - PFM dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) menetapkan ada filem berbeza untuk kategori filem dan pengarah terbaik, masing-masing untuk kategori "dalam bahasa Malaysia" dan "bukan dalam bahasa Malaysia".

Sesebuah filem dipertandingkan dalam kategori bahasa Malaysia jika dialognya menggunakan sekurang-kurangnya 70 peratus bahasa kebangsaan.

Sokongan diberi Ellie kepada FFM agak unik kerana filem pertama lakonannya ialah produksi berbahasa Inggeris, Anna and The King (1999) selain Spinning Gasing setahun kemudian.

Anna and the King diarah oleh Andy Tennant manakala Spinning Gasing hasil sentuhan Teck Tan.

Apa susah sangat

Menurut pelakon yang dilahirkan dengan nama asal Elly Suriati Omar itu, tubuhnya tiba-tiba menggigil ketika menyampaikan pandangan itu kerana sedang berusaha melawan perasaan marah.

Katanya, tidak wajar ada pihak meletakkan kesalahan ke atas penganjur FFM ke-28 ketika langkah diambil mereka adalah untuk memartabatkan bahasa Malaysia.

“Janganlah kerana inginkan hak kesamarataan tetapi membiarkan fikiran kita nampak kecil.

“Kalau pencalonan dibahagi kepada dua kategori dan dapat peluang (dicalonkan), masuk sajalah, sekurang-kurangnya dapat juga masuk. Apa yang susah sangat?” soalnya.

Kata pemenang trofi Pengarah Harapan di FFM ke-26 menerusi filem sulungnya Penanggal itu, isu pengasingan kategori sepatutnya tidak menghalang seseorang untuk berkarya.

Sebaliknya, kata Ellie, ia mampu membuat seniman berfikir di luar kotak dalam usaha membawa filem berwajah Malaysia untuk dipertandingkan di festival antarabangsa.

“Elakkan pemikiran yang tidak bertaraf dunia, sedangkan orang di luar sana boleh membuat festival filem yang mengangkat bahasa kebangsaan, kenapa kita pula tidak?” soalnya.

Pada masa sama Ellie turut mengingatkan punca utama ideologi Rukun Negara diciptakan iaitu selepas insiden 13 Mei 1969.

Katanya, idelogi kebangsaan itu dibentuk bagi memastikan tiada unsur negatif boleh menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara.

“Apabila anda mengisi borang warganegara tetapi tidak mengangkat (prinsip) Rukun Negara, macam mana?

“Lihat kepada tiga prinsip Rukun Negara - ke mana perginya rasa hormat kepada keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, kesopanan dan kesusilaan dalam menangani hal sebegini?

“Kalau benar anda cinta dan sayang kepada negara, turutkan saja. Kalau saya buat filem Tamil, biarlah ia masuk kategori bukan bahasa Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perbadanan Finas Datuk Kamil Othman yang turut hadir pada sesi berkenaan berkata, tidak mustahil ada penambahbaikan dapat dilaksanakan walaupun FFM bakal berlangsung kurang sebulan dari sekarang.

Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada persetujuan yang dicapai melalui perbincangan bersama yang akan diadakan termasuk dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Kami masih terbuka untuk duduk berbincang dengan ahli jawatankuasa Finas dan PFM bagi mempertimbangkan cadangan yang diberi.

“Jika cadangan diberi tidak bercanggah dengan apa yang kami perjuangkan, pasti ia akan disyorkan demi masa depan yang lebih baik," katanya.

FFM akan diadakan antara 1 hingga 3 September ini.

Lihat Komen