malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Seniman kena bangkit Puncak Purnama diroboh
ADS

Mungkinkah runtuhnya arca Puncak Purnama di tengah kota raya akan menjadi pemangkin kepada aktivis seni negara untuk bangkit menyatakan sikap dengan jelas?

Mungkin, jika mereka menyambut gesaan digerakkan beberapa individu yang kecewa apabila karya Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal di Jalan Atap, Kuala Lumpur dirobohkan baru-baru ini.

Walaupun setakat ini bantahan dan kekecewaan itu lebih banyak dinyatakan di media sosial, beberapa pihak mula menggesa pentadbir lebih peka dan menghormati karya seni, terutama hasil ilham tokoh yang mendapat pengiktirafan kerajaan sendiri.

Allahyarham Syed Ahmad diisytihar sebeagai tokoh Seniman Negara pada 1995.

Peguam dan pengasas RIGHTS Foundation, Yusmadi Yusoff, berkata tindakan merobohkan karya seni Puncak Purnama oleh pemaju dengan persetujuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan menteri adalah pencerobohan hak kebudayaan yang menjadi sebahagian daripada hak asasi manusia dipersetujui di bawah Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia PBB (UNDHR) 1948.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan pihak kerajaan telah berjanji akan mematuhi peruntukan-peruntukan UNDHR seperti yang di bawah Seksyen 4(4) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Akta 597 Tahun 1999," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Justeru Yusmadi menyeru semua aktivis seni dan budaya membantah tindakan pencerobohan karya seni tersebut kerana ia menyalahi hak kebudayaan yang patut dipertahankan oleh kerajaan.

Semalam Malaysiakini melaporkan arca diperbuat daripada seramik kaca itu dirobohkan untuk memberi ruang kepada projek membaik pulih landskap di kawasan berkenaan.

Arca ilham Syed Ahmad itu disiapkan pada 1986.

Semasa hayatnya Syed Ahmad pernah bertugas sebagai pensyarah dan pengarah Balai Seni Lukis Negara (kini dikenali sebagai Balai Seni Visual Negara - BSVN) dan menjadi individu di sebalik logo Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL) yang muncul ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Pada 1996 Syed Ahmad membawa DBKL ke mahkamah kerana melakukan proses mengubah suai arca itu tanpa kebenaran. Hakim kemudian mengarahkan pihak berkuasa tempatan itu membayar Syed Ahmad sebanyak RM750,000.

Tanda buta seni?

Mengulas kebenaran diberi DBKL kepada pemaju merobohkan arca itu Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berkata binaan itu sudah usang, tidak dapat dibaik pulih dan menyakitkan pandangan.

Yusmadi berkata jika wujud sebarang unsur dendam politik ia tetap tidak menghalalkan pencerobohan hak asasi yang perlu dipertahankan.

"Mana-mana karya ekpresi dan legasi seni perlu dihormati oleh kerajaan apatah lagi daripada tokoh tersohor dan kawakan seperti Syed Ahmad yang banyak berjasa kepada negara," katanya.

Yusmadi juga berpendapat waris Syed Ahmad berhak diberi pampasan sewajarnya apabila harta intelek allahyarham diceroboh sedemikian rupa.

"Alasan menteri DBKL bahawa arca itu perlu diroboh kerana mencolok mata menunjukkan beliau buta seni. DBKL perlu bertanggung jawab terhadap kecuaian ini," katanya.

Sementara itu kurator bebas berpangkalan di Ipoh Nur Hanim Khairuddin berkata tindakan meroboh Puncak Purnama itu dianggap terburu-buru dan tidak beretika.

Katanya sebagai sebuah hasil tangan Seniman Negara, tidak masuk akal ianya dilupuskan begitu sahaja tanpa merujuk terlebih dahulu kepada agensi berkaitan seni dan budaya seperti Balai Seni Visual Negara mahupun Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

"Saya harap seniman-seniman pelbagai bidang akan bangkit membuat tuntutan agar arca ini sekurang-kurangnya dibina semula, supaya ia menjadi satu simbol solidariti seniman untuk menegakkan hak dalam berkarya," katanya kepada Malaysiakini.

Pada masa sama kata Nur Hanim dasar lebih konkrit harus dirangka oleh BSVN untuk memastikan semua arca atau karya awam dalam kategori seni halus berada di dalam tanggungjawab dan kawalan mereka.

Katanya insiden itu juga membangkitkan persoalan di kalangan seniman mengenai etika pihak yang terlibat dalam perobohan berkenaan.

"Betapa hingga ke tahap begitu sekali diperlakukan karya seorang Seniman Negara. Kalau karya artis biasa, apalah lagi," katanya.

Nur Hanim berkata walaupun jika memang DBKL berhak merobohkan arca itu ia mesti melibatkan rundingan terlebih dulu.

Hal itu kerana, katanya, binaan berkenaan dianggap sebagai satu ikon dan dijadikan bahan rujukan dalam buku sekolah serta dijadikan bahan kajian tesis.

"Jika usang dan tidak dapat diperbaiki menjadi isu seperti dinyatakan Tengku Adnan, ia adalah kenyataan sangat tidak masuk akal dan menunjukkan sikap ignorant beliau kerana BSVN mempunyai unit khas yang boleh membuat konservasi dengan baik.

"Mereka sudah membuat banyak projek pemuliharaan karya seni, masjid lama, mural dan lain-lain lagi," katanya.

Lihat Komen