malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Roboh Puncak Purnama tindakan sombong, haprak
Diterbitkan:  Jul 3, 2016 1:24 PM
Dikemaskini: 8:29 AM
ADS

Ketika reaksi aktivis seni terhadap perobohan arca Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal belum cukup panas, Pyanhabib berpendapat kemarahan tidak sesuai dihalakan kepada mereka.

Kata 'lepasan' institusi Anak Alam yang terkenal pada era 1970-an itu berkata arca Puncak Purnama itu "karya kepunyaan bank" dan Syed Ahmad dibayar untuk menghasilkanya.

"Urusan atau butiran runding kerja mereka pun kita tidak tahu, tetapi sesuai dengan kedudukan Syed Ahmad, tentulah ia bersifat elitis," katanya kepada Malaysiakini.

Justeru, kata Pyanhabib tidak mengejutkan jika ada aktivis seni yang terpinga-pinga apabila arca Puncak Purnama tiba-tiba menjadi berita.

Apa yang boleh dilakukan, katanya, ialah menghalakan kemarahan itu kepada pihak pentadbir bandar raya.

"Kita cuma boleh seranah dan maki kesombongan dan kebodohan pentadbir bandar raya atau negara untuk menghargai kerja seniman," katanya.

Malaysiakini semalam melaporkan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor menyatakan arca karya Syed Ahmad di Jalan Atap itu terpaksa dirobohkan kerana sudah usang dan tidak dapat diperbaiki lagi.

Papan tanda di tapak itu pula menyatakan ia dirobohkan untuk membolehkan projek membaik pulih landskap dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

DBKL diarah bayar ganti rugi

Puncak Purnama dibina Syed Ahmad menggunakan kaca seramik pada 1986 dengan pembiayaan daripada United Malayan Banking Corp Bhd (UMBC).

Puncak Purnama menggabungkan kesan cahaya, udara, tanah dan air.

Arca itu sebenarnya tidak asing daripada kontroversi. Pada 1996 DBKL melakukan kerja pengubahsuaian padanya tanpa mendapat kebenaran Syed Ahmad.

Pertikaian itu kemudian dibawa ke mahkamah dan hakim mengarahkan DBKL membayar pampasan sebanyak RM750,000 kepada Syed Ahmad.

Bekas Pengarah Balai Seni Lukis Negara itu juga adalah watak yang bertanggungjawab menghasilkan logo kumpulan massa era reformasi Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL).

Pyanhabib juga berharap lebih ramai aktivis seni membuat laporan polis berhubung perobohan Puncak Purnama itu seperti dilakukan pelukis Saiful Razman.

Melalui laporan dibuat pelukis dari Teluk Intan itu, dia meminta pihak berkuasa membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak yang terlibat dalam pemusnahan arca berkenaan.

Sementara itu bekas editor kanan Utusan Malaysia Ku Seman Ku Hussain berkata Puncak Purnama dibangunkan ketika Tan Sri Elyas Omar menjadi datuk bandar Kuala Lumpur.

Kata Ku Seman Elyas seorang tokoh pencinta seni dan berhasrat menjadikan Kuala Lumpur "kota seni dalam taman".

"Tindakan merobohkan karya seni oleh seniman yang mendapat pengiktirafan negara adalah memalukan, malah paling haprak dalam konteks Malaysia akan menjengah taraf negara maju empat tahun lagi.

"Lebih biadab lagi Balai Seni Visual Negara (dulu dikenali sebagai Balai Seni Lukis Negara) tidak dimaklumkan tentang tindakan untuk merobohkan sebuah karya seni," tulisnya di Facebook.

Sementara itu difahamkan waris Syed Ahmad akan mengadakan sidang media mengenai isu ini esok. 

Laporan polis juga dikatakan akan dibuat selepas itu.

Lihat Komen