malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Kempen digerak halang DiCaprio jadi Rumi
Diterbitkan:  Jul 1, 2016 12:57 PM
Dikemaskini: 7:34 AM
ADS

Kejayaan Leonardo DiCaprio mengungguli Oscar tidak semestinya menjadikan dia calon sesuai membawa apa saja watak, seperti penyair dan tokoh sufi dunia dari Parsi, Jalaluddin Rumi untuk sebuah filem baru.

Satu petisyen atas talian digerakkan oleh Valerie Janovic bertujuan menyekat DiCaprio daripada memegang watak penyair terkemuka kurun ke-13 itu.

Menerusi petisyen berkenaan, Valerie menyatakan alasan utama dia tidak mahu bintang The Revenant itu menjayakan watak Rumi.

“Muslim sudah terlalu sering dikecam sebagai pengganas.

“Dan akhirnya apabila ada kisah yang boleh mengangkat martabat orang Islam dalam bentuk positif, peluang itu ditutup rapat hanya semata-mata untuk memberi ruang kepada pelakon berkulit putih,” katanya seperti dilapor NME.

Petisyen itu sudah menerima lebih 8,000 tandatangan setakat ini.

Walaupun nama DiCaprio masih belum diputuskan secara rasmi, namun tindakan meletakkan dia sebagai calon untuk membintangi filem berkenaan dilabel sebagai satu lagi kempen Hollywood Whitewashing.

Rumi berambut perang

Ia merujuk kepada amalan penerbit filem menggunakan pelakon kulit putih untuk watak bukan berkulit putih, khususnya filem berkaitan sejarah.

Petisyen itu mula diwujudkan selepas penulis skrip David Franzoni dan Stephen Joel Brown memberitahu media pihaknya sedang mempertimbangkan nama DiCaprio dalam filem keempat mereka.

Nama DiCaprio dipilih kerana mereka mahu 'mencabar' watak Muslim yang sering dikatakan stereotaip apabila ditangani penggiat barat.

Menurut Valerie, untuk mencabar dan mengubah stereotaip Hollywood, Franzoni dan Brown terlebih dulu harus menukar watak yang dipilih.

“Memberikan watak itu kepada DiCaprio akan mengubah sejarah, mengambil alih pencapaian yang dimiliki Muslim dan memberi kredit kepada lelaki kulit putih.

“Tidak lama lagi, apabila orang memikirkan imej Rumi, mereka akan menggambarkan dia sebagai lelaki berkulit pucat, rambut perang dan bermata biru,” menurut kenyataan petisyen itu lagi.

Dengan petisyen yang diedarkan, Valerie benar-benar berharap ia dapat mengubah keputusan penulis skrip filem berkenaan.

Isu Hollywood whitewashing memang menjadi topik bualan hangat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Awal tahun ini filem terbaru Scarlett Johansson - sebuah karya versi baru untuk animasi Jepun Ghost in the Shell - mendapat kecaman hebat kerana menggunakan wanita itu dan bukannya pelakon Asia.

Lihat Komen