malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Kabali tidak akan buat penonton jadi jahat
ADS

Pelakon Datuk Rosyam Nor yakin penonton tidak mudah terpengaruh dengan unsur gangsterisme yang dipaparkan dalam Kabali menjelang tayangan filem itu yang mempertemukannya dengan bintang tersohor India Rajinikanth.

Setiap penonton - bagi Rosyam - adalah individu yang matang dan bijak menilai.

Justeru dia yakin paparan dalam Kabali tidak akan sewenang-wenangnya mempengaruhi penonton untuk menjadi jahat atau melakukan jenayah.

Sebaliknya kata Rosyam paparan itu hanya memberi hiburan.

“Sebaik penonton melihat lakonan yang dipersembahkan dalam sebuah filem, mereka seharusnya tidak terikut-ikut dengan aksi yang dipaparkan.

“Filem hanyalah filem, ia tidak akan terbawa-bawa ke alam realiti sekiranya penonton boleh berfikir waras demi kebaikan,” katanya kepada Malaysiakini.

Rasa bertuah dapat peluang

Menurut pelakon yang juga penerbit filem itu, seandainya muncul sumbang laku dalam masyarakat, tidaklah wajar kesalahan itu dituding terus kepada sesuatu filem sebagai penyebab utama.

Sebaliknya, pada anggapan pelakon yang mula mencipta nama menerusi Lenjan itu, terdapat unsur lain yang boleh dipersalahkan.

“Kemudahan Internet dan peredaran teknologi maklumat memudahkan, tetapi kita kena ingat, pada masa sama ia mempunyai kesan buruk pada masyarakat.

“Dulu tiada kemudahan Internet sepantas dan semudah kini, bolehlah filem dikatakan sebagai antara punca pengaruh kepada perbuatan negatif masyarakat," katanya.

Mengenai Kabali, kata Rosyam, dia rasa bertuah dapat turut sama menyumbangkan lakonan dalam filem berkenaan sebaik namanya dicadangkan kepada pengarah Pa Ranjinth.

“Nama diberi kepada pengarah oleh seorang kru penggambaran yang berpangkalan di Malaysia.

"Dia ditugaskan mencari watak Melayu dan kebetulan pula dia menggemari filem saya," katanya.

Hargai walaupun kecil

Selain Rosyam, dua lagi pelakon Malaysia yang turut membarisi Kabali adalah Norman Hakim dan Zack Taipan. Filem itu yang memulakan penggambaran pada tahun lalu di Chennai dan sebanyak 60 hari dilakukan di negara ini. Ia dijangka mula ditayang pada Julai nanti.

Nyata Rosyam dilihat merendah diri mengenai watak Legau yang dibawanya dalam Kabali.

Secara terbuka dia menyatakan watak yang diberikan itu tidaklah sebesar mana malah kurang dialognya.

Menurut Rosyam, biarlah sekecil manapun watak itu, ia tidak dapat dibuat perbandingan dengan nikmat dan pengalaman yang ditimba merasai bekerja dengan produksi luar.

Paling penting, kerjaya seninya berkembang di samping sekaligus dapat membina profil baru.

"Saya raih ramai peminat bukan Melayu menerusi media sosial, dan mungkin dengan pengalaman ini ia juga dapat membuka peluang lebih luas untuk saya bekerja dengan produksi asing selepas ini.

“Memang banyak pengalaman yang saya peroleh, antaranya kaedah penggambaran amat berlainan dari sini (Malaysia). Produksi mereka besar. Bayangkan untuk pembantu pengarah saja ia membabitkan hingga 14 orang.

“Kebiasaannya sebanyak lima kamera digunakan di set penggambaran, ada kalanya jumlah kru pada satu-satu masa pula boleh mencecah hingga 500 orang.

“Untuk watak Legau, saya diberi beberapa dialog bahasa Tamil, mahu menggeliat lidah nak cakap, tetapi tidak semua kerana bahasa Inggeris juga turut diselitkan,” katanya.

Lihat Komen