malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Anil kagum, teladani Aamir Khan
Diterbitkan:  Jun 9, 2016 4:59 PM
Dikemaskini: 9:03 AM
ADS

Mereka boleh dikatakan setaraf di dalam dunia perfileman, namun bagi Anil Kapoor, pada Aamir Khan ada kelebihan yang tidak dimilikinya.

Di mata Anil, Aamir seorang "pemimpin" dan selalu memberi inspirasi.

Kata Anil, melakukan tugas sebagai pelakon filem dan menyiapkan siri televisyen memang sukar.

Dalam keadaan begitu dia selalu melihat Aamir sebagai penguat semangat.

"Aamir Khan sentiasa menjadi teladan dan inspirasi. Dia lebih muda daripada saya dan kadang-kadang ada sesuatu yang kita boleh pelajari daripada orang begitu," katanya kepada media India semalam.

Anil ditemui di majlis pelancaran musim kedua siri aksi 24 edisi India semalam.

Dalam siri itu Anil membawa watak ejen skuad antipengganas, Jai Singh Rathore yang dihantui masa silamnya untuk menghadapi cabaran semasa.

Untuk makluman, Anil pernah muncul dalam siri 24 versi AS (musim kelapan) sebagai Omar Hassan sebelum ini.

Siri 24 musim pertama (edisi India) mula disiarkan pada 2013.

Kata Anil dia teringat bagaimana Aamir mengendalikan rancangan bual bicara televisyen India, Satyamev Jayate.

"Ketika itu Aamir memberi sepenuh perhatian dan tenaganya untuk Satyamev Jayate. Itu sesuatu yang sukar saya lakukan," katanya.

Menurut Anil, dia memberikan komitmen kepada dua filem - Dil Dadakane Do dan Welcome Back - sambil menguruskan siri 24 yang diterbitkannya.

"Bagaimanapun menyiapkan 24 - sebagai penerbit dan pelakon - memang memberi pengalaman berharga kepada saya," katanya.

Lihat Komen