malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Tenangnya mendengar suara Dian baca al-Quran
Diterbitkan:  Jun 9, 2016 3:15 PM
Dikemaskini: 7:46 AM
ADS

Paras jelita, pelakon berbakat dan kini ada satu lagi pakej untuk aktres Indonesia, Dian Sastrowardoyo - memiliki suara lemak merdu ketika membaca ayat suci al-Quran.

Lantunan suara daripada Dian, 34, boleh didengar ketika dia membacakan ayat lapan hingga 20 surah al-Baqarah.

“Saya percaya bahawa perjalanan kita menuju Allah adalah perjalanan peribadi yang dilakukan sendiri dan personal. Al-Quran bertindak sebagai peta untuk perjalanan tersebut,” kata Dian seperti dilapor laman sesawang Quran Indonesia Project.

Menurut portal itu, Dian menjadi antara penyumbang dalam program Quran Indonesia Project yang mengajak masyarakat di seluruh nusantara merakam dan mengirim bacaan al-Quran untuk menghidupkan nilai kitab suci berkenaan tanpa mengambil kira faktor jarak dan waktu.

Selain Dian, turut menjadi penyumbang dalam Quran Indonesia Project adalah Melly Goeslaw, Afgansyah Reza, Acha Septriasa, Irwansyah dan Rossa.

Surah-surah dibaca dimuat naik melalui plartform SoundCloud.

Ayat kelapan hingga 20 surah al-Baqarah dibacakan Dian menceritakan tentang isu munafik.

Dalam imej dimuat naik, pelakon Ada Apa Dengan Cinta itu kelihatan ayu memakai pakaian berwarna putih sambil bertudung.

Dian memeluk Islam pada 2006 dan berkahwin dengan Indraguna Sutowo 18 Mei 2010. Hasil perkahwinan itu dia dikurniakan dua anak Shailendra Naryama Sastraguna dan Ishana Ariandra Nariratana.

Bagaimanapun, tindakan Dian memeluk Islam bukanlah atas desakan mana-mana pihak mahupun kerana bernikah dengan kekasih pilihan hati.

Ibu Dian, Dewi Parwati Setyorini beragama Katolik manakala bapaya Ariawan Rusdianto Sastrowardoyo adalah penganut Buddha.

Keputusan Dian untuk memeluk Islam disokong sepenuhnya oleh ibunya itu, malah sebelum melangsungkan majlis akad nikah, Dewi Parwati turut memberi galakan kepada Dian untuk mengadakan upacara berkhatam al-Quran.

“Mama saya Katolik yang benar-benar menyokong saya untuk berkhatam Quran sebelum menikah,” katanya seperti dilapor bintang.com.

Selepas bacaan Dian dimuat naik di akaun Instagram Quran Indonesia Project, peminat menyambutnya dengan rasa gembira.

"Masya Allah, bagus banget," kata yuifunami_.

Pemilik akaun lia_apriliani pula menulis: "Mashaallah... ternyata suara @therealdisastr seindah ini."

Lihat Komen