malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pandora pernah cuak tonjol vokalis berhijab
ADS

Tampil 'berani' kerana menampilkan vokalisnya yang berhijab, kumpulan membawa irama rock alternatif Pandora mengakui mereka menyimpan 'ketakutan'.

Kebimbangan mereka adalah reaksi orang ramai terhadap pendekatan diambil itu.

Menurut ketua kumpulan Pandora, Haniff Khan Mohd Khan, 35, di awal kemunculan mereka memang ada perbincangan sesama mereka mengenai pandangan umum.

"Sejujurnya kami sendiri takut dengan penerimaan peminat muzik kerana ada ahli kumpulan berhijab, dan dia pula adalah vokalis.

"Kami khuatir jika timbul polemik dalam kalangan masyarakat," katanya ketika ditemui Malayskini di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pandora ditubuhkan pada 2014, dianggotai Haniff sebagai pemain dram, She (Nurashida Azli) selaku vokalis, Azlan Ahmad (gitar), Wan Mohd Afizi Mattap (gitar) dan Hariz Samsudin (keyboard).

Selepas Diari April, mereka muncul pula dengan single kedua, Cerita Kita dan dilancarkan secara rasmi hari ini.

Biasa bergerak berkumpulan

Lagu itu dicipta sendiri oleh She dan pemain bass kumpulan O-Two (kumpulan yang pernah dianggotai oleh Haniff dan Azlan) Ijoy Fikri.

Di sebalik kebimbangan itu kata Haniff, mereka akhirnya terkejut kerana mendapati peminat tidak bermasalah menerima penampilan Pandora.

Menceritakan bagaimana She terbabit dalam Pandora, Haniff berkata penyanyi itu 'dilamar' selepas satu pertemuan dirancang bersama Ijoi Fikri di Langkawi.

Sebagai satu-satunya anggota wanita dalam band berkenaan, She mengakui dia tidak berasa kekok apatah lagi terpencil di kalangan anggota kumpulan berkenaan.

Sebelum Pandora, She pernah menyertai band Nurshe and the Official tetapi dia mahu mengembangkan sayap lebih jauh dalam muzik.

Justeru dia memilih Pandora, antara lain kerana sudah biasa bergerak secara berkumpulan.

“Ketika ditawarkan menjadi vokalis, ketika itu saya baru saja berhijab," katanya.

Faktor 'wow'

Walaupun tampil dengan imej bertudung dan membawa irama rock alternatif, Pandora tetap bersikap berhati-hati supaya lagu disampaikan tidak menyinggung mana-mana pihak.

Lebih penting, kata She yang fasih menyanyi lagu dalam bahasa Mandarin, Tagalog, Sepanyol dan Jepun itu, lagu mereka membawa mesej positif.

Untuk berdaya saing dalam pasaran pula Haniff berkata, Pandora mahu membuktikan alunan muzik yang disampaikan tidak kalah berbanding artis luar negara.

Dengan mempercayai wow factor yang ada pada Pandora, selain mempertaruhkan pengalaman selama 15 tahun berkecimpung dalam industri hiburan, Haniff yakin pemilihan lagu dan penilaian teliti muzik dapat memberikan kepuasan di telinga pendengar.

Mereka juga sedang membuat persediaan menghasilkan lagu ketuhanan selepas ini.

“Justeru, kami memastikan karya dihasilkan sesuai untuk pendengar umum tidak kira dari peringkat usia kanak-kanak hingga dewasa,” katanya.

Lihat Komen