malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Awie didenda RM2,000 cederakan bekas isteri
ADS

Penyanyi rock Awie didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan bekas isterinya, Rozana Misbun, di kaunter PNB Jalan Tun Razak dua tahun lepas.

Majistret Husna Dzulkifly menjatuhi hukuman itu selepas Awie menukar pengakuannya kepada bersalah terhadap pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Sebelum ini Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum menurut Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya.

Awie didakwa mendatangkan kecederaan ke atas Rozana, 38, di kaunter PNB Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada pukul 3 petang, 2 Jun 2014. Hari ini ditetapkan untuk perbicaraan kes itu.

"Ya, saya mengaku salah," kata Awie yang memakai kot kelabu dan berseluar jeans selepas pertuduhan pindaan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan vokalis kumpulan Wings itu dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda. Awie membayar denda itu.

Ketika rayuan, peguam Hazman Harun yang mewakili Awie, selaku Orang Kena Saman (OKS), memohon mahkamah menjatuhi hukuman denda paling minimum atas alasan Awie telah menukar pengakuan bersalah dan menjimatkan masa mahkamah sebelum saksi pendakwaan dipanggil.

Tindakan luar kawalan

Hazman berkata tindakan yang dilakukan Awie juga adalah di luar kawalan kerana kecewa apabila wang simpanan untuk masa depan dan pembelajaran anak-anaknya berjumlah lebih RM100,000 hanya tinggal RM230.

"Awie telah insaf dengan perbuatannya, beliau berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu yang merupakan satu tragedi dalam hidupnya," kata peguam itu yang memberitahu makamah, Awie merupakan penanggung utama pembelajaran lima anaknya.

Timbalan pendakwa raya Ahmad Zikri Jaafar bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk tindakan Awie sebagai seorang suami (ketika kejadian) yang sepatutnya bertanggungjawab melindungi isteri.

"Selain itu kesan yang dialami mangsa bukan sahaja terhadap kesakitan, tetapi trauma dan perasaan malu di hadapan orang awam.

"OKS merupakan seorang selebriti yang tidak asing dalam masyarakat, beliau mempunyai tanggungjawab untuk pamerkan sifat dan contoh baik kepada masyarakat," katanya.

Pada 7 Mac lepas, Mahkamah Majistret Ampang melepas dan membebaskan Awie daripada pertuduhan mencederakan Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang selepas mereka bersetuju kes itu diselesaikan dengan cara membayar kompaun RM10,000 dan permohonan maaf secara terbuka daripada pihak Awie.

- Bernama

Lihat Komen