malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
'YouTube laksana syaitan'
Diterbitkan:  May 5, 2016 6:18 PM
Dikemaskini: 10:22 AM
ADS

YouTube itu, kata pengurus Metallica, Peter Mensch, boleh dianggap sebagai "syaitan" yang membunuh industri muzik.

Walaupun kepada ramai orang laman sesawang berkenaan membawa laba - seperti dibuktikan oleh Psy dengan Gangnam Style - namun bagi Mensch ia dianggap seteru yang berbahaya.

“YouTube,mereka adalah syaitan. Jika tiada sesiapa melakukan sesuatu kepada YouTube, kita akan hancur. Ia semudah itu.

"Amat sukar untuk membuat seseorang mengeluarkan wang apabila mereka boleh memperoleh sesuatu secara percuma," katanya dalam wawancara dengan stesen radio BBC baru-baru ini.

Mensch, 63, memulakan kerjayanya sebagai pengurus band AC/DC ketika dia baru saja berusia 26 tahun.

Pada 1982 pula dia dan Cliff Burnstein menubuhkan syarikat Q Prime dengan band Def Leppard menjadi pelanggan pertama mereka.

Turut menjadi pelanggan Mensch ialah kumpulan Red Hot Chili Peppers, Snow Patrol, Muse. Q Prime dianggap antara syarikat pengurusan artis paling disegani di dunia.

Pandangan Mensch itu menggambarkan kebimbangan semakin meningkat di kalangan pihak dalam industri muzik semasa.

RM8b di seluruh dunia

Kajian International Federation of the Phonographic Industry (IFPI) pada bulan lalu menunjukkan jurang antara jumlah penggunaan muzik percuma dengan berbayar semakin ketara.

Selain YouTube, laman sesawang lain yang menawarkan perkhidmatan memuat naik secara percuma ialah Daily Motion dan Soundcloud.

Dianggarkan jumlah pengguna keseluruhan laman sesawang sebegitu ketika ini ialah 900 juta orang dan menjana pendapatan kira-kira AS$634 juta (RM2.5 bilion) pada 2015.

Jumlah pengguna yang melanggan perkhidmatan berkenaan hanya 68 juta di seluruh dunia dan menyumbang kira-kira AS$2 bilion (RM8 bilion) kepada sektor muzik.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif YouTube, Robert Kyncl berpendapat mana-mana laman sesawang seperti miliknya tidak boleh dipersalahkan kerana memberi perkhidmatan percuma.

"Pemuzik yang mendaftar dengan kami tetap mendapat pulangan lumayan.

"Memang tidak semua orang mendapat bayaran tetapi jika muzik anda mendapat jumlah tontonan yang tinggi, maknanya anda mendapat banyak wang," katanya.

Lihat Komen