malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ella terkejut dapat 'kucupan azimat' suami
ADS

Di depan lautan putih penonton 'dua insan bercinta' asyik beraksi di atas pentas. Mereka - Ella dan suami, Azhar Ghazali - bersama menghiburkan.

Di konsert berskala besar pertama Ella selepas 20 tahun itu, penonton melihat Azhar memberikan kucupan ke dahi Ella.

Selain penonton, Stadium Melawati di Shah Alam menjadi saksi detik istimewa itu.

Ia bukan saja menarik perhatian ramai, malah Ella sendiri mengaku terkejut.

“Saat manis itu berlaku tanpa dirancang dan sudah tentu saya berasa amat terharu.

“Momen indah itu akan saya kenang selama-lamanya,” kata Ella yang ditemui Malaysiakini selepas konsert selesai.

Insyaallah.. Yang sudah mendapat kan tickets ke *Konsert Ella 2016* Kita berjumpa di sana *Stadium Malawati ShahAlam* esok malam!! ✌🏼️&❤️ #azharella

A photo posted by Ella Aminuddin (@ellaaminuddin) on

Sebelum ini Malaysiakini pernah menyiarkan laporan mengenai Ella yang cuba memujuk Azhar untuk bersama-sama berkongsi detik manis di depan peminat.

Peminat Ella - sama ada dari dalam atau luar negara - dikatakan amat ingin melihat pasangan itu bergandingan di atas pentas.

Dan malam tadi, pujukan Ella nampaknya berjaya dan Azhar memenuhi permintaan peminat di dalam stadium yang boleh menempatkan hingga 10,000 orang itu.

Azhar menyanyi bersama

Suasana stadium - anggaran diisi 8,000 penonton - berubah seketika dengan kemunculan Azhar. Ella menyanyikan salah satu lagu popularnya, Dua Insan Bercinta , manakala Azhar pula memetik gitar di sisi.

Gandingan pasangan itu dilihat lebih mesra apabila Azhar muncul buat kali kedua di atas pentas. Kali ini, dia diminta bersama-sama menyanyikan lagu Mendung Tidak Bererti Hujan secara akustik.

Ella turut menyampaikan 25 lagu lagi termasuk Bila Cinta Berakhir, Kasih, Mungkin, Permata Pemotong Permata, Sembilu, dan Sepi Sekuntum Mawar Merah dalam persembahan yang berdurasi lebih dua jam itu.

Congrats el 🙌🏼 Repost from @era_fm using @RepostRegramApp - Sembilu dari Ella. Layan weh. #konsertella2016 #liveupdateERA ~ @syah8879 @ellaaminuddin

A video posted by Jojie Aminuddin (@jojieaminuddin) on

Terdahulu, Kaka Azraff membuka tirai persembahan dengan lagu Bukan Hal Aku dan Standing in the Eyes of the World.

Bunkface kemudiannya menghangatkan pentas dengan membawakan lagu rancak Malam Ini Kita Punya dan Darah Muda.

Penonton turut menyaksikan Ella memberikan penghargaan buat insan yang banyak memberi sumbangan kepada dirinya selama dia berada dalam industri.

Mereka adalah Lord dari kumpulan The Boys dan adik Ella, Korie.

Paduan suara Ella dan Korie dalam lagu Pergilah Sayang dilihat berjaya ‘menambah warna’ suasana malam tadi apabila dia mengajak penonton bernostalgia dengan lagu itu.

Artis juga pilih putih

Konsert malam tadi tidak akan lengkap tanpa barisan pemain gitar handalan seperti Hero, Kyoji Yamamoto, Joey Wings, Hilary Ang, Lord, Edrie Hashim dan Man Kidal – yang juga bertindak selaku pengarah muzik.

Penonton pula membanjiri stadium dengan pakaian putih sebagai tanda sokongan mereka kepada kempen antidadah.

Konsert dibawakan Atlast One Event Sdn Bhd itu turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor.

Turut hadir mengenakan baju putih adalah beberapa artis, antaranya Fasha Sandha, Farahdhiya, Jihan Muse, Datuk Aznil Nawawi dan Maya Karin.

Secara keseluruhan, Ella berjaya memuaskan hati semua pada konsert malam tadi apabila dia ligat beraksi sambil mendendangkan lagu dengan vokal serak-serak basah yang masih kekal hingga kini.

“Melihatkan konsert yang berjaya berjalan dengan lancar, saya amat bersyukur pada Allah untuk itu.

“Terima kasih buat semua yang hadir pada hari ini,” katanya.

Selepas konsert, Ella akan kembali menyambung proses menyiapkan album yang sudah diusahakan untuk sekian lama.

Lihat Komen