malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Dr Mahathir berehat dari 'perang' di Istana Budaya
ADS

Di tengah kesibukan dengan agenda Selamatkan Malaysia, mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam tadi sempat meluangkan masa menyaksikan konsert pemain piano terkemuka Richard Clayderman di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Mahathir tiba di Istana Budaya bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan bekas menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Tan Sri Sabbaruddin Chick.

Sabaruddin juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Umno.

Bercakap kepada Malaysiakini , Mahathir memberitahu, kehadirannya di malam pembukaan persembahan itu adalah sebagai satu cara merehatkan minda selepas sibuk menjalani rutin seharian.

“Saya mendapat sedikit ketenangan selepas menghadiri konsert Richard Clayderman.

“Konsert seperti ini dilihat boleh mendatangkan kebaikan kepada industri muzik tanah air, dan wajar diadakan lebih kerap,” katanya.

Sebelum itu Mahathir kelihatan agak terkejut apabila dihampiri Malaysiakini .

Selepas ditanya sama ada beliau menjadikan konsert itu untuk merehatkan mindanya kerana sibuk dengan kempen Selamatkan Malaysia, Mahathir kemudian tersenyum.

Tak senang duduk

Mahathir kini giat dalam agendanya untuk mendesak Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan sebagai perdana menteri selepas atas dakwaan beliau terbabit dalam pelbagai skandal dan krisis negara hingga membebankan rakyat.

Untuk itu Mahathir sudah beberapa kali berada di atas pentas bersama pemimpin parti pembangkang yang sebelum ini menjadi seterunya , termasuk Lim Kit Siang (DAP) dan Mohamad Sabu (Parti Amanah Negara).

Menyertai gerakan itu adalah bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sebelum konsert Clayderman bermula kemunculan Mahathir jelas disedari ramai dan sebahagian daripada mereka kelihatan tidak duduk diam sebelum bingkas bangun untuk merapati pemimpin yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun itu.

Layang nota muzik

Mereka kemudian mengambil giliran bergambar bersama Mahathir.

Hanya selepas kira-kira 10 minit barulah pengacara meminta penonton berdiri untuk menyanyikan lagu Negaraku - rutin diamalkan sebelum sesuatu persembahan bermula di Istana Budaya.

Kemudian muncul Clayderman si pemuzik Perancis yang diiktiraf sebagai pemain piano paling berjaya di dunia oleh Rekod Dunia Guinness.

Dari segi demografi, persembahan malam tadi lebih banyak dihadiri kaum Cina, termasuk kalangan remaja dan kanak-kanak.

Konsert Richard Clayderman Live in Istana Budaya itu menyaksikan 14 buah lagu dimainkan, termasuk yang pernah menjadi pujaan ramai.

Antara lagu dimainkan Clayderman adalah Murmure, A Comme Amour Eleana Adeline, Corazon de Nino Coup De Couer Root Beer Rag, Titanic dan Dream Little Dream.

Persembahan selama 90 minit itu diselang-selikan dengan gelagat lucu Clayderman kerana kurang fasih berbahasa Inggeris.

Dia juga begitu 'bermurah hati'.

Penonton yang duduk di barisan pertama memang bertuah apabila Clayderman memberikan mereka nota muziknya secara percuma.

Bukan sekali tetapi tiga kali Clayderman ‘melayangkan’ nota muziknya kepada penonton selepas menyampaikan lagu.

Sebahagian daripada kerusi untuk konsert Clayderman yang diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan itu dijual pada harga RM2,500 setiap satu .

Lihat Komen