Zarul: Saya takut Rosmah, lain OK


(Dikemaskini )

Dia sepatutnya menghasilkan filem baru tetapi filem yang sudah disiapkan tidak boleh ditayangkan kerana gagal melepasi Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Justeru untuk mengisi masa - dan melepaskan 'geram' - Zarul Albakri menghasilkan karikatur dengan unsur politik ketara.

Kata Zarul dia bekerjasama dengan seorang pelukis untuk menyiapkan imej yang dirasakan sesuai dengan perkembangan semasa di Malaysia.

"Sebenarnya tujuan saya bekerjasama dengan pelukis itu adalah untuk buat story board (lakaran cerita) untuk filem baru.

"Tetapi saya hilang semangat dengan keadaan filem saya yang tak dibenar ditayangkan di Malaysia," katanya kepada Malaysiakini.

Dalam kesedihan itu, kata Zarul dia memberi perhatian kepada siri kartun Zax Keprax.

Belum dapat kelulusan

Zarul adalah penerbit bagi filem Mat Gelap yang ditayangkan kepada umum pada 1990, selain Matinya Seorang Patriot (1984) dan Kembara Seniman Jalanan (1986).

Kira-kira dua tahun lalu Zarul bekerjasama dengan adiknya, Zahim, menghasilkan filem terbaru Spilt Gravy on Rice. Bagaimanapun ia masih dianggap 'filem haram' kerana belum mendapat kelulusan daripada LPF.

Zarul - sebagai penerbit - dan Zahim - selaku pengarah dan pelakon - sedang berusaha menyesuaikan filem komedi berkenaan untuk diserahkan kepada LPF bagi penilaian semula.

Antara pelakon Spilt Gravy on Rice ialah Datuk Rahim Razali, Harith Iskander, Bernice Chauly, Na'a Murad, Sean Ghazi dan Jit Murad.

Zax Keprax adalah nama pena digunakan Zarul ketika dia menyiapkan filem Mat Gelap dulu.

Terbit kartun jadilah

Kata Zarul dia sememangnya menjadi pemerhati politik terutama perkembangan yang berlaku dalam negara.

"Saya sentiasa ikuti perkembangan politik tetapi sebagai pemerhati senyap," katanya.

Bagaimanapun akhir-akhir ini dia nampak tidak lagi 'senyap' seperti sebelumnya.

Ditanya sama ada ia didorong keadaan negara yang agak panas, Zarul berkata, ia lebih kepada melepaskan geram disebabkan tiada filem baru.

"Saya ambil sikap proaktif dan sentiasa mencari ruang untuk menghasilkan sesuatu melalui kreativiti.

"Harap-harap mesej yang saya cuba sampaikan diterima," katanya.

Ketika ditanya sama ada dia berasa bimbang disalah anggap atau 'dimusuhi', Zarul menjawab ringkas sambil ketawa: "Saya takut Rosmah, yang lain OK."

Bagaimanapun dia tidak menjelaskan maksud kenyataan itu dengan lebih lanjut.

"Kalau saya tak boleh terbit filem, buat masa ni sekurang-kurangnya terbitkan kartun pun jadilah," katanya.

Karikatur daripada ilham Zarul kini boleh dilihat di Facebook menggunakan kata carian ZaxKeprax Comix Art.

Share