malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pro, kontra buka litar lumba motosikal di KL
ADS

Cadangan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mewujudkan litar perlumbaan motosikal di sekitar ibu negara mendapat reaksi berbeza daripada dua pengarah yang pernah menghasilkan filem mengenai golongan berkenaan.

Pelakon dan pengarah Pekin Ibrahim, 35, berkata masyarakat perlu lebih jelas untuk tidak menganggap semua Mat Motor atau Mat Rempit sebagai musuh.

Malah, katanya, terdapat kekeliruan antara istilah Mat Motor dan Mat Rempit kerana ia membawa dua maksud sangat berbeza.

“Dua istilah itu berbeza. Mat Motor adalah orang yang ada kerjaya, keluarga, dan mempunyai minat mendalam terhadap jentera dua roda dan aksesori motor.

“Mereka sanggup berhabis ribuan ringgit untuk membeli aksesori seperti helmet hingga mencecah RM30,000 ribu misalnya, tetapi orang salah anggap golongan itu tiada pekerjaan,” kata Pekin ( gambar ) kepada Malaysiakini .

Bila ditanya mengenai pendapatnya terhadap cadangan penyediaan laluan khas sebagai litar perlumbaan motosikal di ibu kota, ini jawapan Pekin: “Saya setuju dan tidak salah untuk berlumba sekiranya ia dibuat di tempat betul, keadaan terjamin selamat dan sesuai. Kita kena faham, bukan semua mat rempit itu jahat. Yang jahat hanya segelintir saja."

Pekin berkata, tindakan kerajaan menyediakan laluan khas untuk peminat sukan permotoran berlumba adalah baik kerana golongan berkenaan perlu mengeluarkan belanja besar jika mahu berlumba di litar Sepang.

Sebelum ada filem rempit sudah ada

Sebagai pelakon dan pengarah filem Mat Moto yang mula ditayangkan baru-baru ini Pekin turut menolak tanggapan yang mendakwa filem seperti dihasilkannya menggalakkan gejala merempit.

“Aktiviti merempit ni sudah ada sebelum pengkarya menghasilkan filem sedemikian.

“Mereka sudah 'berlari' terlebih dahulu sebelum saya ajar,” katanya.

Pada masa sama, Pekin berkata, segelintir daripada golongan itu berjiwa baik malah mempunyai semangat kesukarelawanan yang tinggi.

Ia dapat dilihat - misalnya - ketika banjir besar melanda Kelantan pada 2014. Kata Pekin ramai mat motor yang turun padang menggunakan wang sendiri untuk menjadi sukarelawan di sana.

“Jangan jadikan Mat Rempit sebagai musuh. Kejar, angkut atas lori dan saman. Mereka ni kalau dididik mungkin boleh membawa kebaikan kepada negara.

“Idea menutup jalan untuk sukan permotoran boleh dijadikan seperti Phuket Bike Weeks, ada pameran dan perlumbaan motorsikal, sekaligus mereka akan hormat pada undang-undang.

“Secara tidak langsung, Malaysia boleh jadi satu tarikan kepada pelancong,” katanya.

Sebelum ini Tengku Adnan ( gambar ) mencadangkan beberapa jalan ditutup pada hujung minggu untuk membolehkan Mat Rempit berlumba.

Katanya, beliau akan berunding dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan "rakan-rakan Umno" mengenai perkara itu.

Pengkritik, bagaimanapun, menimbulkan kebimbangan keselamatan dan berkata cadangan itu tidak mengambil kira aktiviti jenayah lain yang berkaitan dengan perlumbaan haram.

Sementara itu pengarah dan pelakon Ahmad Idham pula mempunyai pandangan agak berbeza sekiranya inisiatif berkenaan dilaksanakan.

Jangan cepat menghukum

Katanya, menutup jalan di ibu negara bagi membenarkan Mat Rempit berlumba tidak mampu menyelesaikan masalah sedia ada.

“Sekiranya sediakan litar lumba sekalipun, mereka tidak akan berhenti berlumba kerana yang bermasalah adalah mentaliti Mat Rempit.

“Perkara itu (berlumba haram) salah, kenapa pula hendak dihalalkan dengan mencari alternatif lain iaitu menyediakan jalan raya untuk mereka berlumba?” soalnya.

Bagi Ahmad Idham ( gambar, tengah ) atau nama asalnya Ahmad Idham Ahmad Nadzzri, membina laluan khas untuk golongan itu meneruskan aktiviti mereka dianggap sebagai satu pendekatan yang salah.

Katanya, langkah terbaik adalah memberi bantuan dari segi kewangan dan platform untuk menjadikan minat mereka sebagai satu kerjaya profesional.

“Perlumbaan di litar sedia ada memerlukan kos tinggi. Kalau betul kerajaan nak sokong, bagi biasiswa agar mereka boleh jadikan perlumbaan itu sesuatu yang produktif.

“Menyediakan litar lumba permotoran di Kuala Lumpur saja tidak selesaikan masalah, takkan (selepas ini) nak buka (litar lumba) di setiap 13 negeri, itu makan diri,” katanya.

Ahmad Idham pernah mengarah filem Remp-It pada 2006 dan turut menjadi penerbit dan pengarah Mat Moto (sama judul dengan filem Pekin, kecuali ia ditayangkan pada 2015).

Kata Ahmad Idham, 42, tujuan utama dia menghasilkan filem sedemikian adalah untuk mendidik masyarakat dengan membongkar kehidupan sebenar golongan berkenaan.

Dalam mengetengahkan kehidupan golongan berkenaan ke layar perak, Ahmad Idham menjadi antara individu yang dikecam dan dituduh menggalakkan isu merempit.

Dia tidak menafikan wujud segelintir pihak yang gemar menghukum karya dihasilkan menerusi judul tanpa melihat kandungan filem terlebih dahulu.

“Kalau kaji, saya tidak pernah membuat filem yang menggalakkan orang ramai merempit (sebaliknya) ada mesej pada penghujung jalan cerita.

“Pihak yang sering menuduh adalah orang yang tidak tengok cerita, kalau tonton pasti faham, masalah ini disebabkan orang kita suka ambil jalan mudah dengan hanya baca judul filem,” katanya.

Lihat Komen