malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Jack tak patut mati dalam Titanic
Diterbitkan:  Feb 5, 2016 11:10 AM
Dikemaskini: 3:21 AM
ADS

Di layar lebar, Jack dan Rose hanya ada satu pilihan dan terpaksa menerima hakikat hubungan cinta mereka berakhir dengan kepiluan.

Lantas Jack (Leonardo DiCaprio) berkorban demi kekasih hatinya (Kate Winslet). Maka berakhirlah hayat pemuda tersebut dalam kedinginan Laut Atlantik.

Itu antara detik paling menyentuh dalam filem Titanic hampir 20 tahun lalu.

Kini babak di penghujung filem itu masih diperkatakan - dengan sesetengahnya bersikap curiga.

Selepas Titanic karam, Jack dan Rose tercampak ke dalam laut sehinggalah ada kepingan papan daripada serpihan kapal hanyut berhampiran mereka.

Skrip menetapkan papan itu terlalu kecil untuk menampung dua jasad. Justeru Jack membiarkan Rose berpaut pada papan itu sedangkan dia sendiri akhirnya mati.

Selepas tragedi itu Rose meneruskan kehidupan yang panjang dan bahagia.

Adil? Sesetengah peminat menganggap pengakhiran Titanic tidak menunjukkan kejujuran seperti diharapkan.

Sesetengah pihak malah - secara skeptikal - berpendapat Rose sengaja melebih-lebihkan keperluannya menguasai ruang pada papan berkenaan.

Dalam satu program televisyen Mythbusters pada 2012 membuktikan pasangan itu sebenarnya boleh terselamat dengan berada pada papan berkenaan.

Romeo, Juliet bagaimana?

Program yang mencabar mitos sains itu menyatakan, jika Rose meletakkan jaket keselamatannya di bawah papan itu dia dan Jack sebenarnya boleh selamat.

Kelmarin Winslet pula bersuara.

"Ada banyak ruang pada papan itu," katanya hos rancangan bual bicara Jimmy Kimmel.

"Ya, saya tahu, saya tahu," jawab Winslet.

Menurut pemenang anugerah Oscar pada 2008 (melalui filem The Reader ) itu, sebenarnya Jack boleh berkongsi ruang pada papan itu sementara menanti diselamatkan.

Untuk makluman pada 2012 pengarah Titanic James Cameron mempertahankan skrip yang mematikan Jack di akhir cerita.

"Tunggu sebentar. Saya nak telefon William Shakespeare dan bertanya mengapa Romeo dan Juliet perlu mati," katanya.

Bagi Cameron, kematian Jack adalah keperluan untuk menjadikan Titanic lebih dramatik serta meninggalkan kesan kepada penonton.

Titanic mendapat sambutan hangat daripada peminat di seluruh dunia dan dipuji pengkritik filem.

Ia dicalonkan untuk 14 kategori berbeza dalam Anugerah Academy ke-70 (pada 1998) dan memenangi 11 daripadanya, termasuk filem terbaik, pengarah terbaik dan kesan visual terbaik.

Lihat Komen