malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Seni melawan penguasa kartunis Myanmar
Diterbitkan:  Jan 14, 2016 11:45 AM
Dikemaskini: Jan 16, 2016 4:32 AM
ADS

Beberapa tahun lalu tiada sesiapa dapat membayangkan ia berlaku seperti hari ini - kartunis membuat karikatur mengenai ahli politik Myanmar.

Kini Maung Maung Aung adalah salah seorang kartunis yang menggunakan bakatnya untuk melukis watak politikus di negara itu dalam bentuk satira.

Dihimpit pemerintahan junta tentera dan undang-undang ketat, Myanmar yang dulu bukanlah negara 'mudah ketawa'.

Hasil perubahan masa, Maung Maung Aung memperoleh sedikit ruang berkarya.

Salah satu lukisannya ialah imej satu keluarga papa kedana yang menyergah ahli politik.

Dialog mengiringi lakaran itu ialah: "Kami tumpang gembira kerana anda tidak dipukul atau dideda. Harapan kami cuma janganlah anda menyusahkan orang lain."

Imej itu adalah sindiran kepada kehidupan sosial sebahagian besar penduduk Myanmar yang tidak dipisahkan jurang besar walaupun diakui berlaku sedikit perubahan sejak akhir-akhir ini.

Perubahan itu antara lain menyumbang kepada kemenangan besar tokoh yang mendakwa dirinya pejuang demokrasi, Aung San Suu Kyi serta partinya dalam pilihan raya umum November lalu.

Kejayaan itu - bagi penganalisis - memberi harapan kepada keterbukaan lebih ketara dalam politik.

Sedang 'mengasah pensel'

Menurut Maung Maung Aung, 60, untuk menghasilkan kartun yang baik, pelukis memerlukan kebebasan.

"Semakin besar kebebasan ruang bersuara, semakin kreatif pelukis dan semakin banyak karya dihasilkan," katanya yang ditemui di studionya di Yangon.

Selama empat dekad kartunis negara itu berdepan pelbagai kekangan, termasuk kemiskinan, tapisan dan ketakutan.

Sedikit kesilapan boleh menyebabkan mereka dipenjara atau dikenakan hukuman lain.

Keadaan itu mendorong Maung Maung Aung memilih AS untuk sementara. Dia bernasib baik kerana diberi pekerjaan di sebuah studio lukisan di Florida.

Maung Maung Aung hanya kembali ke negar asalnya pada 2012 kerana melihat ada sedikit harapan apabila kerajaan separa tentera terbentuk.

Suu Kyi yang 'istimewa'

Kini kegiatan melukis kartun satira mengalami sedikit perubahan dan isu yang disentuh semakin pelbagai - daripada masalah ekonomi negara, dasar luar hingga pilihan raya.

Kritikan itu tersiar di akhbar dan laman sesawang.

Kini kartunis di Myanmar dilaporkan sedang 'mengasah pensil' untuk melakukan ujian terbaru - menegur Suu Kyi dan partinya yang sedang bersedia mengambil alih kerajaan akhir Mac nanti.

Bagi Maung Maung Aung, kartunis tidak sepatutnya takut atau mengagung-agungkan Suu Kyi ( gambar ).

"Kartunis tidak boleh memihak. Segala kegagalan atau kesalahan kerajaan mesti di tegur," katanya.

Bagi penganalisis Khin Zaw Win, selama ini Suu Kyi dianggap kalis kritik kerana peranan dan imej yang dipaparkan sebagai pejuang rakyat.

Namun, katanya, Suu Kyi tidak boleh terkecuali daripada satira atau kritikan kartunis.

"Myanmar tidak akan menikmati kebebasan media jika ada seseorang yang berada terhalang daripada kritikan.

"Suu Kyi tidak boleh dan tidak patut dikecualikan daripada sentuhan kartunis," katanya.

Namun situasi itu mungkin lebih mudah diungkapkan daripada dilaksanakan.

Bagi kartunis dari kawasan diwakili Suu Kyi, Kawhmu, dia percaya wanita itu akan bersikap terbuka kepada kritikan.

Kata Phoe Kyaw, Suu Kyi pasti memahami satira daripada karikatur yang dikaitkan dengannya.

Namun Phoe Kyaw sendiri enggan mempersenda Suu Kyi dalam lakarannya.

"Saya tidak akan melukis kartun untuk menghina personaliti Suu Kyi," katanya.

Bahagian 2: Myanmar kian 'tersenyum'

Lihat Komen