malaysiakini logo
story-image
ADS

Merantau ke negara orang biasanya menyediakan pengalaman indah, namun tidak semuanya begitu buat pelakon dan penyanyi Ayda Jebat.

Di negara asing, dia cuba digoda seorang tukang sapu sampah yang turut melontarkan perkataan lucah kepadanya.

Dia yang memiliki nama sebenar Nur Suhada Jebat, 24, itu berkata kejadian menakutkan itu berlaku ketika dia menjalani penggambaran drama bersiri Sesal Separuh Nyawa di Amsterdam, Belanda.

“Kejadian berlaku apabila tukang sapu itu menghampiri saya dan memperkenalkan dirinya.

“Mulanya tak timbul rasa khuatir kerana ketika itu masih ada beberapa kru produksi yang berada di sekeliling saya.

“Daripada perbualan singkat dengan lelaki tak dikenali itu, dia cuba mengajak saya melakukan sesuatu yang tidak senonoh dan turut mengatakan perkataan lucah,” katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Ayda ditemui di pelancaran drama Sesal Separuh Nyawa terbitan Darkwave Pictures Sdn Bhd di Zebra Square Kuala Lumpur semalam.

Drama bersiri itu menggandingkan Ayda dengan Aiman Hakim Ridza dan beberapa nama lain seperti Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Azhan Rani, Nina Nadira dan ramai lagi.

Berpakat kenakan pelawat

Sikap ditunjukkan sesetengah masyarakat di sana, kata Ayda, menyebabkan dia berasa terkilan.

“Bagi saya, budaya terlalu terbuka itu menghilangkan rasa hormat kepada sesetengah masyarakat di sana.

“Mana tidaknya, di mana-mana saja mereka boleh berbuat perkara yang diingini sesuka hati.

“Tindakan yang dilakukan oleh tukang sapu itu misalnya, sungguh berani,”katanya.

Situasi itu juga mengubah terus persepi Ayda - pelakon yang sering muncul dalam drama tempatan - mengenai keselamatan wanita sebagai pelancong.

Kata Ayda, hal seperti itu membayangkan tahap keselamatan wanita yang melancong ke bandar raya itu, terutama jika bersendirian.

Selepas Amsterdam, Ayda ke Paris, pula.

Di ibu negara Perancis itu lain pula pengalamannya.

Walaupun kota romantis itu kurang ciri ‘gangguan’ berbanding Amsterdam, Ayda berpendapat pelancong tetap perlu berhati-hati termasuk terhadap persembahan 'seniman jalanan'.

“Paris memang lebih cantik tetapi khabarnya di situ ada ramai pencopet. Bagi saya pelancong jangan mudah terpedaya," katanya.

Pejam mata kerana janggal

Kenyataan Ayda itu memang benar kerana dia sendiri menjadi mangsa.

“Saya ditipu hingga 200 euro (RM957) dalam permainan teka bola kerana terlalu mudah percaya kepada orang sekeliling, yang sebenarnya berpakat untuk memperdaya pelancong,” katanya.

Sementara itu mengenai Sesal Separuh Nyawa, Ayda berkata dia berdepan dengan dilema apabila perlu memilih melakonkan babak tertentu.

Katanya, dia perlu berhati-hati kerana bimbang penonton akan membenci drama berkenaan.

“Saya mengambil berat respon penonton.

“Lagipun peminat yang mengikuti perkembangan saya tidak semuanya dewasa, sebaliknya ada kanak-kanak,” katanya.

Justeru, pada babak tertentu - misalnya melakonkan watak wanita yang hanyut dalam noda dan dosa - dia terpaksa "menutup mata" melakukannya.

“Ada babak saya menari dan saya melakonkannya sambil memejam mata kerana berasa janggal dengan situasi sedemikian.

"Justeru, sebelum penggambaran dijalankan saya berbincang dengan pengarah," katanya.

Lihat Komen