Pengiklanan

    Radhi: Jangan jadi hero sebar berita palsu

    (Dikemaskini )
    Nadia Azam  |  Seni & Hiburan

    Naib Presiden Persatuan Karyawan Malaysia Radhi Khalid mengingatkan pengguna media sosial supaya lebih berwaspada ketika menyebarkan sesuatu maklumat, terutama berita tentang kematian.

    Beliau berkata demikian berikutan penyebaran berita palsu mengenai kematian seniman tanahair, Tan Sri Datuk Jins Shamsuddin, 80 yang disebar secara meluas di media sosial kelmarin.

    Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhieddeen Abd Khalid menyifatkan pihak berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab dan sekadar 'mahu menjadi hero'.

    “Berani buat tetapi tidak berani tunjuk muka dan nama sebenar.

    “Nak jadi hero, pastikan niat sebenar,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran KL Art Street and Pop Up Flea Market di Plaza Damas semalam.

    Acara itu merupakan platform bagi seniman jalanan seperti pemuzik, penari dan pelukis daripada pelbagai latar membuat persembahan dan mempamerkan karya.

    Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhieddeen Abd Khalid berkata, sekiranya penyebaran khabar angin tidak dibendung, ramai lagi akan menjadi mangsa termasuk beliau sendiri.

    “Kalau terkena pada diri sendiri, itu bermakna mungkin saya popular, mereka (tukang sebar) benci atau sekadar nak menarik perhatian umum.

    “Ia akan memberi kesan kepada keluarga dan kerjaya,” kata pelakon Pembantu Terbaik FFM ke 18 itu.

    Menurutnya lagi, berbanding dahulu, khabar angin kini lebih cepat tersebar melalui teknologi terkini.

    Semalam, anak kepada aktor veteran Jins Shamsuddin menafikan khabar angin tentang kematian bapanya seperti yang tersebar menerusi media sosial.

    Putera Hang Nadim, 24, berkata, bapanya berada dalam keadaan sihat dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih