malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Priyanka Chopra kekal wanita Asia terseksi di dunia
Diterbitkan:  Dec 14, 2015 2:00 PM
Dikemaskini: 6:08 AM
ADS

Aktres Bollywood Priyanka Chopra berjaya mempertahankan mahkotanya apabila sekali lagi diundi sebagai Wanita Asia Paling Seksi di Dunia oleh sebuah akhbar Britain.

Nama Priyanka Chopra tidak asing lagi dalam dunia hiburan India, dan sejak penglibatannya menerusi drama televisyen terbitan ABC, Amerika Syarikat (AS), Quantico , ia sekali gus melayakkan namanya untuk merebut gelaran itu.

Dalam tempoh empat tahun, ini kali ketiga bekas Ratu Cantik Dunia (2000) itu mengungguli senarai 50 Wanita Asia Paling Seksi di Dunia, lapor The Hindu.

Undian tahunan bagi edisi 2015 itu dijalankan di seluruh dunia oleh akhbar mingguan keluaran Britain Eastern Eye .

Untuk berada pada peringkat paling atas, wanita berusia 33 tahun itu mengalahkan Nia Sharma, Kareena Kapoor Khan, Gauahar Khan, Sonam Kapoor dan Mahira Khan.

Priyanka dalam satu kenyataannya, berkongsi keterujaan itu dengan mengucapkan penghargaannya kepada peminat.

“Saya gembira kerana dapat mempertahankan gelaran itu.

“Saya akan membawa definisi seksi kembali!

“Terima kasih kepada semua yang mengundi.

“Terima kasih juga Eastern Eye kerana membuatkan saya berasa seksi, sekurang-kurangnya untuk setahun lagi,” beliau dipetik sebagai berkata.

Mengikut sejarah perkembangan karier Priyanka, wanita itu bukan lahir daripada keluarga selebriti.

Sebaliknya ibu bapanya Ashok dan Madhu Chopra adalah pakar perubatan tentera India.

Ketika berusia 13 tahun, Priyanka berpindah ke AS untuk meneruskan pengajian dan menetap bersama ibu saudaranya.

Kehidupannya di AS tidak semudah yang disangka, Priyanka pernah menjadi mangsa isu perkauman dan dibuli rakan sekelas kerana berbangsa India.

Wajah India

Sementara itu, pengarang Eastern Eye Asjad Nazir, individu yang bertanggungjawab mengasaskan dan menyenaraikan nama untuk senarai tahunan itu, percaya Priyanka layak menjadi wajah global India.

“Priyanka menjadikan India bangga di peringkat global dan memenangi hati ramai peminat.

“Ini digambarkan melalui kejayaan meraih undi dari sebilangan besar pengundi bukan Asia di seluruh dunia.

“Jelaslah, dia membina empayar di persada antarabangsa menerusi penglibatan seninya malah akan terus membuat demikian untuk tahun berikutnya,” katanya.

Lihat Komen