malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Bilal cuba lerai prasangka terhadap Islam
Diterbitkan:  Dec 13, 2015 8:48 AM
Dikemaskini: 1:14 AM
ADS

Kisah keazaman dan keberanian Bilal bin Rabah yang terpaksa mengharungi kepayahan hidup dan seksaan dilahirkan sebagai hamba, diangkat ke layar perak menerusi filem animasi terbesar sebuah studio Timur Tengah.

Filem animasi itu diinspirasikan daripada kehidupan Bilal, salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang berbangsa Afrika.

Bilal digambarkan sebagai seorang tokoh mementingkan keadilan dan kesaksamaan. Beliau juga menjadi antara pengikut terawal Nabi Muhammad.

Pembuatan filem Bilal berskala besar dijangka bakal menarik perhatian penonton beragama Islam di negara Arab.

Walaupun Bilal menjadi ikon dalam dunia Islam, namun ada cabaran perlu dihadapi untuk meraih minat penonton antarabangsa khususnya dari Barat.

Sehubungan itu, pengarah Khurram H Alavi dan penolong serta penerbitnya Ayman Jamal mengambil pendekatan merakam filem itu menggunakan bahasa Inggeris.

Bilal ditayangkan di Festival Filem Dubai menggunakan suara aktor Britain Adewale Akinnuoye-Agbaje dan Ian McShane.

Pun begitu, dalam segala perkara yang boleh dibanggakan untuk Bilal, bagi penyampaian dialog, ia dikatakan agak kaku dan terlalu formal.

Pembikinan Bilal dihasilkan oleh ratusan animator antarabangsa di Barajoun Entertainment.

Penonton akan dihidang dengan pelbagai aksi daripada watak terpilih selama dua jam ditambah dengan momentum padu yang bakal meruntun emosi.

Berlatarbelakangkan Makkah, filem itu tidak langsung menyerupai kartun terbitan Disney, tetapi dikatakan ada mempunyai sedikit persamaan dengan Ben-Hur dan Spartacus .

Secara tidak langsung, Bilal turut menceritakan kisah perjuangan Nabi Muhammad dan pengikutnya dalam menyebarkan dakwah dan meninggalkan kesesatan melalui Islam.

'Kebolehan' Bilal sebagai medium dan 'insentif' yang mampu meleraikan segala prasangka negatif terhadap umat Islam dikatakan amat bersesuaian terutama selepas berlakunya beberapa siri serangan pengganas yang dikaitkan dengan Islam.

Kisah jerih Bilal bermula seawal beliau berusia tujuh tahun, apabila dia diculik sebelum dijadikan hamba dari rumah ibunya - yang pernah menjadi puteri Ethiopia.

Siri penyeksaan Bilal terjadi selepas dia meningkat remaja dan dijadikan hamba, diseksa dengan kejam oleh pemimpin Arab ketika itu.

Bagaimanapun, nasib Bilal berubah apabila Nabi Muhammad membawa inspirasi dan semangat kebebasan.

Bilal memainkan peranan besar ketika zaman nabi. Selain rapat dengan Rasulullah, beliau juga menjadi muazin pertama dalam sejarah.

Lihat Komen