malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Makan malam kumpul dana konsert Untukmu Ooi
Diterbitkan:  Dec 9, 2015 4:59 PM
Dikemaskini: 12:14 PM
ADS

Menjelang majlis konsert khas Untukmu Ooi Eow Jin, restoran M Cafe menaja satu program makan malam amal untuk tokoh pemuzik veteran itu baru-baru ini.

Program itu diadakan dengan sokongan Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN).

Menurut kenyataan dikeluarkan hari ini, majlis itu diadakan untuk mengumpul derma bagi menjayakan konsert berkenaan yang dijadual diadakan di Auditorium Perdana Angkasapuri pada jam 8 malam 15 Disember ini.

Setiap pelanggan dikenakan bayaran minimum RM100 yang akan dikumpulkan sebagai sumbangan untuk tokoh berkenaan.

Program tersebut turut diisi dengan alunan lagu malar segar disampaikan oleh pemuzik dan artis RTM yang datang atas jemputan Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail.

Turut memeriahkan majlis adalah sesi cabutan bertuah dan hadiah disumbangkan oleh Meesha Sukira yang memiliki M Cafe, serta KARYAWAN.

Daripada majlis makan malam itu sebanyak RM18,750 berjaya dikutip.

Turut hadir Tan Sri Ahmad Merican serta isteri dan anak beliau, Datuk Ooi Eow Jin dan isterinya Datin Elaine, serta Datuk Freddie Fernandez.

Ooi, 77, dikenali sebagai pemuzik berpengaruh dan sentuhannya membantu Allahyarham Datuk Sudirman Arshad memenangi pertandingan Bintang RTM yang menjadi batu loncatan kepadanya menjadi penyanyi popular.

Media melaporkan, anak kelahiran Pulau Pinang itu kini tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan tetap dan uzur sejak Jun lalu.

Sebelum menghidap Alzheimer’s Ooi menjadi pemain piano di Hotel Majestic Kuala Lumpur dan mengadakan persembaan dengan rakan lamanya yang bergabung dalam kumpulan The Solianos.

Seorang anak lelakinya kini menghidap tumor dalam otak.

Lihat Komen