Pengiklanan

    Jagat: Ini gangster hati kering dengan penumbuk asli


    (Dikemaskini )

    Tidak dipertikaikan kemiskinan menjadi antara faktor salah laku yang menjadi ancaman dalam pembangunan masyarakat dan perlu dirawat.

    Bertitik tolak daripada itu, filem Jagat merungkai satu persatu kemungkinan lain yang mulai merebak dan menular dalam sistem sosial.

    Hal ini sebenarnya, tidak mustahil berlaku dalam mana-mana kelompok masyarakat yang mempunyai golongan miskin tegar.

    Faktor kemiskinan secara tidak langsung ‘menjemput’ aktiviti gangsterisme, penderaan, pembulian rakan sebaya, pengedaran dan penyalahgunaan dadah, sekali gus meningkatkan kebimbangan ibu bapa terhadap masa depan anak.

    Maka berlakulah situasi keruntuhan institusi kekeluargaan dan kebaikan berperang dengan kejahatan.

    Sekurang-kurangnya, itulah mesej yang cuba diketengahkan oleh pengarah Shanjhey Kumar Perumal, 35, dalam Jagat.

    Shanjhey menyatakan mahu pembaharuan dalam industri perfileman negara. Tetapi pembaharuan yang bagaimana?

    Dalam wawancara Malaysiakini Julai lalu, Shanjhey berkata, dia mempertaruhkan tema sosiologi untuk filemnya yang berasaskan realiti kehidupan.

    Dan inilah hasilnya, dia berjaya membikin sebuah filem yang mempunyai penceritaan begitu ringkas dan jujur tanpa perlu menggunakan bajet besar - sekurang-kurangnya RM600,000.

    Masalah dalam masalah

    Penggambaran berlangsung sekurang-kurang di 13 lokasi berlainan.

    Jagat dalam slanga India membawa maksud jahat, dan cerita ini hampir 90 peratus dialognya dalam bahasa Tamil.

    Mengambil kira latar belakang 1990-an, Jagat mengisahkan kehidupan Appoy, 12 (lakonan Harvin Raj) yang memerlukan seorang ‘tokoh’ pembimbing hidupnya.

    Tetapi mungkin tidak, kerana Appoy dilihat perlu mengambil pendirian sendiri dalam menentukan hala tuju hidupnya.

    Di sinilah wujudnya peperangan antara kebaikan dan kejahatan yang disebut tadi.

    Ia boleh dilihat daripada faktor individu terdekat yang menjadi pencorak kehidupan Appoy.

    Individu itu adalah bapanya, Maniam (Kuben Mahadevan), pakcik Dorai (Jibrail Rajhula), si gangster, dan Bala (Senthil Kumaran) bekas penagih dadah yang baru keluar dari pusat serenti.

    Ketandusan kasih sayang dan ledakan tekanan pada Appoy membuatnya semakin dekat dengan pakciknya Dorai, juga dikenali sebagai Mexico dan Bala - ekoran penderaan secara tidak langsung dan menjadi mangsa buli.

    Sedikit yang diketahuinya, Appoy semakin ‘terbiasa’ dengan rutin harian Dorai dan Bala, malah kelalian itu bukan lagi menjadi perkara tabu seperti yang dianggap masyarakat.

    Sekali lagi, Shanjhey cuba membuka mata penonton dengan bermain emosi, bahawa terdapat banyak masalah dalam masalah, yang cuba disampaikan secara tersirat.

    Sehari sebelum Star Wars

    Syabas diucapkan kepada Shanjhey kerana berjaya membuatkan penonton gelisah dan tertunggu-tunggu aksi klise dalam filem yang mempunyai elemen gangster seperti ini.

    Gangster Jagat tidak mempamerkan lumrah keganasan yang acapkali dilihat menerusi filem gangster Hollywood contohnya American Gangster , The Godfather mahupun Malaysia seperti Polis Evo dan KL Gangster .

    Rata-ratanya, ada penggunaan senjata api.

    Bagi Shanjhey gangster bukan semata-mata mengenai senjata, ini gangster hati kering dengan penumbuk asli.

    Selain itu, Shanjhey juga banyak menggunakan teori semiotik iaitu perlambangan mengenai sesuatu subjek yang mempunyai maksud tersirat dalam visual.

    Dan ini juga boleh dikatakan momen yang perlu diteliti oleh penonton, kerana pentafsirannya bergantung kepada pemerhatian individu.

    Pengarah Shanjey Kumar Perumal memang bukan calang-calang orangya. Sebelum ini, filem pendek yang juga berjudul Jagat pernah diiktiraf sebagai kategori sinematografi terbaik sempena Fefstival Filem Tamil Antarabangsa, Kanada pada Jun 2011.

    Bagaimanapun, mungkin ada beberapa kelemahan dalam filem ini, tetapi ia mungkin boleh dilupakan.

    Jika penonton dahagakan gaya pendekatan cerita yang memaparkan sudut kehidupan sebenar, berpaling daripada jalur komersial, dan tidak dibuai dengan kesan canggih visual dan bunyi keterlaluan, inilah yang harus ditonton.

    Ia akan menemui penonton di pawagam di seluruh negara pada 17 Disember tahun ini, sehari sebelum tayangan sulung Star Wars: The Force Awakens yang dinanti-nantikan di seluruh dunia.