malaysiakini logo
story-image
ADS

Apabila tiga pelukis dengan penampilan dan persembahan tersendiri bergabung untuk mempamerkan karya masing-masing maka terhasillah Tiga Cerita daripada tiga dimensi.

Pameran Tiga Cerita mengisahkan si pelukis.

Pertama - cuba mencari kelainan dengan menggunakan kerbau untuk membuat orang ketawa; kedua, berasa perlu meluahkan emosi supaya tidak menanggung kusut; dan ketiga si pemerhati yang tekun meneroka hubung kait perjalanan kehidupan manusia dengan alam.

Mereka ialah Abdullahjones (AJ), A Shukri Elias dan Anassuwandi Ahmad yang asalnya menjalin persahabatan antara satu sama lain menerusi alam maya.

Dalam pameran di Balai Seni Visual itu, AJ, 51, bukan hanya melukis sang kerbau sebagai tumpuan utama, malah dia mengolah subjek itu menjadi bahan satira sekaligus humor melalui kata-kata sebagai mesej kepada khalayak.

Kerana kagum pada sifat haiwan itu, AJ mengangkat tema Kerbau-kerbau yang Membawa Lumpur dalam lukisannya.

Pada masa sama AJ menganggap kerbau sebagai haiwan misteri.

“Saya amat mengagumi sifat kerbau yang suka bergelumang dalam lumpur. Pada asalnya haiwan itu jinak tetapi berubah menjadi liar apabila ia berasa perlu memberontak," katanya kepada Malaysiakini .

Anak kelahiran Pahang itu berkata, manusia kini semakin serius dalam menjalani kehidupan sehingga terlupa untuk ketawa, apatah lagi mentertawakan diri sendiri.

“Manusia sekarang sukar untuk ketawa dan sering cuba mencari salah orang lain, tetapi apabila kena pada batang hidung sendiri, kita terdiam.

“Sebab itu saya cuba mengembalikan humor dalam berkarya kerana keupayaan mentertawakan diri sendiri adalah satu seni yang perlahan-lahan melenyap dalam kehidupan,” katanya.

Terjemah atas kanvas

Sejak awal menceburkan diri dalam bidang seni pada 1990-an, AJ sebenarnya sering ‘berkelana’ bukan saja dalam lukisan tetapi penulisan.

Dia adalah antara pengasas Galeri Rajawali di Kuantan dan pernah mengembara ke beberapa negara seperti Itali, England, Arab Saudi dan Perancis untuk mempamerkan karyanya.

Berlainan pula halnya dengan A Shukri, 55, yang suka mengeksploitasi ekspresi wajah pada karyanya - sambil sesekali membaca reaksi emosi pada orang lain.

Menggunakan gaya ekspresionisme, A Shukri menterjemah keupayaannya melalui penghasilan rupa di atas kanvas.

Menurut A Shukri yang menjadi tenaga pengajar dalam bidang seni - antaranya di UiTM, dia tertarik dengan ekspresionisme kerana ia mampu meluahkan perasaan menerusi cara yang difikirkan terbaik.

Ia ditambah pula cara menghasilkannya dirasakan lebih mudah berbanding kaedah yang lain.

“Berkarya adalah ruang untuk meluahkan perasaan dalaman. Bila terikat dengan luahan, hati dan minda tidak tertumpu pada lain tetapi membuat kita dilamun keasyikan untuk menghasilkannya.

“Saya tertarik kepada gaya itu kerana ia lebih mudah berbanding realisme yang buat kita terikat dengan bentuk luaran untuk hasilkan imej. Sebaliknya, ekspresionisme bebas daripada segi gaya dan teknik penyampaian,” katanya.

Bagi anak kelahiran Kedah yang kini menetap di Puncak Alam itu, karyanya merupakan kecenderungan ke atas penelitian dan renungan terhadap hidup, kecantikan, kasih sayang, kebebasan alam dan kebenaran.

Ada mengikut, ada menyusur

Dari sudut lain pula, ia memberi satu kepuasan kepada diri, selain mampu menyelamatkan jiwa daripada menjadi tidak keruan.

Di samping gemar memberi tunjuk ajar seni kepada kanak-kanak, A Shukri gigih mengutip pengalaman berharga - antaranya menjadi artis residen di Artist Colony, Kompleks Kraf selama 10 tahun dan mewakili negara ke pelbagai festival seni di sekitar Eropah dan Asia.

Dan bagi Anassuwandi pula, untuk menterjermah kaitan antara manusia dan alam di atas kanvas melalui lukisan abstraknya.

Pelukis berusia 48 tahun itu berkata, dia menzahirkan ekspresinya melalui memori, bayangan atau imbasan serta pengalaman sekeliling.

Elemen itu, katanya, diterjemah pada setiap permukaan dan ruang - seperti seorang pencipta lagu menggunakan nota muzik menyiapkan irama, atau penyair yang bermain kata-kata di atas kertas.

Menurut Anassuwandi, perjalanan hidup dilalui seseorang berbeza daripada orang lain.

"Ada yang mengikuti dan ada pula yang menyusuri.

“Ada manusia sampai pada pengakhiran perjalanan dan ada juga sesetengah yang masih melalui tanpa penghujung atau masih berada di pertengahan kitaran itu,” katanya.

Pengkarya multidisiplin dengan karya bersifat dua atau tiga dimensi serta cetakan itu kini bergiat aktif dalam aktiviti pameran seni di Kedah.

Pameran Tiga Cerita berlangsung di Balai Seni Visual Negara mulai Isnin lalu sehingga 9 Disember. Pameran tanpa dikenakan bayaran masuk itu dibuka antara jam 10 pagi hingga 5 petang.

Sebanyak 15 peratus daripada hasil jualan pameran ini juga akan disumbangkan kepada pertubuhan kebajikan tempatan.

Lihat Komen