malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Tonton Star Wars sebelum tutup mata selamanya
Diterbitkan:  Nov 7, 2015 6:48 PM
Dikemaskini: 10:56 AM
ADS

Meniti saat akhir kehidupan biasanya memang menyedihkan, tetapi sekurang-kurangnya seorang pesakit kanser boleh berbahagia apabila salah satu permintaan terakhirnya dikabulkan oleh penerbit filem Star Wars.

Daniel Fleetwood disahkan menghidap sejenis kanser tisu - dikenali sebagai spindle cell sarcomas - yang jarang ditemui dan menyebabkan 90 peratus paru-parunya 'dijajah' tumor.

Menurut isterinya, Ashley, pada 2 September lalu Fleetwood diberitahu oleh pakar onkologi, lelaki tersebut hanya ada dua bulan lagi untuk hidup.

Kali pertama Fleetwood, 32 mendapat, tahu dia mengidap penyakit itu dia sedih dan kecewa. Satu daripada kebimbangannya ialah dia tidak sempat menyaksikan filem terbaru Star Wars: The Force Awakens.

Filem berkenaan dijadual hanya ditayangkan di AS pada 18 Disember ini.

Justeru Fleetwood yang berasal dari Spring, Texas untuk memasang impian menonton cerita terbaru Star Wars itu sebelum menghembus nafas terakhir.

Dia yang kini bergantung kepada ubat penahan sakit dan sukar becakap, memerlukan bantuan isterinya untuk berkomunikasi.

#forcefordaniel help my man get his last wish, to see a screening of Star Wars before cancer takes him. @bad_robot pic.twitter.com/XCuYD0KlpY

— Ashley Fleetwood (@pandorashley) October 29, 2015

Untuk menunaikan permintaan terakhir suaminya, Ashley memuat naik komen di Twitter dan ditujukan kepada @bad_robot - syarikat penerbitan filem dan televisyen AS yang dimiliki oleh J J Abrams.

Abrams adalah pengarah dan penerbit terkenal serta pernah menghasilkan antara lain siri Alias dan Lost, serta filem Mission: Impossible III, Cloverfield, Star Trek, Super 8, dan Star Wars: The Force Awakens.

Ashley memuatnaik gambar Fleetwood berserta ungkapan: “#forcefordaniel bantu suami saya memenuhi permintaan terakhirnya untuk menonton tayangan Star Wars sebelum menemui ajal kerana kanser.”

Selepas komen itu dimuat naik, ia mendapat perhatian pengarah Abrams yang akhirnya memakbulkan permintaan Fleetwood.

Tayangan khas itu kemudian diadakan di kediaman pasangan suami isteri Fleetwood.

Untuk itu, Ashley berterima kasih kepada penyokong, rakan dan keluarga yang tidak henti memberi semangat.

“Fleetwood baru saja selesai menonton versi Star Wars yang belum disunting.

“Kepada semua penyokong, rakan dan keluarga yang dikasihi, impian Fleetwood akhirnya tercapai! Hari ni Disney dan Lucasfilm menjadikannya kenyataan, mereka benar-benar membuat impian suami saya terlaksana,” tulisnya dalam Facebook.

Lihat Komen