malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Priyanka intai peluang dari Quantico
Diterbitkan:  Oct 29, 2015 10:42 AM
Dikemaskini: 2:49 AM
ADS

Aktres Bollywood Priyanka Chopra berharap penampilannya sebagai Alex Parrish dalam siri baru televisyen Quantico menjadi batu loncatan untuknya melebarkan langkah di AS.

Priyanka kini membawa watak utama siri berkenaan yang memaparkan kisah pelatih ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang dikhianati.

Kata Priyanka, 33, kemunculannya membawa watak suspek pengganas dalam Quantico mungkin membantunya "membuka pintu yang betul" untuk mendapat lebih banyak tawaran berlakon di Hollywood.

"Saya benar-benar yakin kita mempunyai banyak bakat besar di India, termasuk pelakon, pengarah, juruteknik yang berpotensi mengembangkan sayap masing-masing di luar negara," katanya.

Dalam Quantico Priyanka digambarkan sebagai buruan pihak berkuasa kerana disyaki mendalangi serangan pengganas terburuk di AS selepas insiden 11 September 2001.

Quantico merujuk kepada sebuah bandar kecil di Virginia yang menempatkan pangkalan tentera marin terbesar AS.

Mengaku sangat gementar

Ia turut menjadi pusat latihan pegawai Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah, Akademi FBI, Perkhdmatan Siasatan Jenayah Tentera Laut dan Pejabat Siasatan Khas Tentera Udara AS.

Sejak muncul membawa watak ejen FBI itu, nam Priyanka menjadi sebutan kerana ramai yang terpesona dengan lakonan - dan kejelitaan - bekas ratu cantik dunia itu.

Plot siri Quantico diselang-selikan antara waktu semasa dan waktu lampau pelatih FBI.

Alex digambarkan memiliki sejarah hitam ketika remaja kerana menembak mati bapanya sendiri dan bergelut untuk membuktikan dia bukanlah orang yang bertanggungjawab meletupkan bangunan seperti diyakini FBI.

Jalinan cerita itu menyebabkan penonton tertanya-tanya siapakah dalam sebenar di sebalik serangan berkenaan.

Priyanka bukanlah produk Bollywood pertama muncul di AS.

Sebelum ini Anil Kapoor, Nimrat Kaur dan Rahuh Khanna juga pernah diberi watak dalam siri televisyen di AS.

Anil muncul dalam siri thriller 24, manakala Rahul melalui siri The Americans. Nimrat pula beraksi untuk siri Homeland.

Namun Priyanka adalah pelakon pertama dari India mendapat watak utama dalam sesebuah siri televisyen di AS.

Disebabkan wajahnya kini banyak terpampang di papan iklan di bandar raya utama AS, Priyanka berkata, dia memang merasai tekanan.

"Saya gementar, sungguh! Pertama, sebab saya mencuba sesuatu yang baru di dunia baru. Kedua, saya berlakon dalam siri yang menggunakan bahasa asing berbanding apa yang penonton sering lihat sebelum ini," katanya.

Mengenai latar belakangnya dalam filem itu sebagai berdarah India, pelakon filem 7 Khoon Maaf dan Mary Kom itu berkata ia adalah realiti masyarakat di AS.

"Ia gambaran kerencaman budaya di AS yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan menganggap mereka adalah warga AS," katanya.

Lihat Komen