malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Apabila alam diwarnai merah bauksit
ADS

Tentu sekali saya tidak ingin menulis mengenai masalah-masalah yang melanda penduduk di sekitar kawasan aktiviti melombong bauksit.

Lihat saja telah berapa banyak rintihan yang disuarakan oleh mereka yang menerima akibat daripada pencemaran kerja-kerja mengeluarkan logam tersebut.

Piket depan lombong, piket depan pejabat kerajaan, piket depan masjid negeri meminta tolong atas hak asasi mereka untuk hidup dan jadi manusia.

Ada orang peduli?

Semua sia-sia dan membuang masa. Jalan raya menjadi rosak teruk dan tidak dipedulikan. Rumah penduduk di sepanjang jalan dari kawasan perlombongan ke pelabuhan 'tidak sihat' untuk didiami. Dalam keadaan begitu nampak seperti tidak ada sesiapa mahu bertanggungjawab.

Kemalangan jalan raya berlaku hampir setiap hari dan masih tidak ada apa-apa usaha untuk mengatasi perkara ini daripada berlaku.

Setakat ini nampak bagaikan tidak ada satu kuasa pun dapat menghentikan semua jenis keributan di kawasan berkenaan. Tidak ada.

Buat apa saya menulis mengenai sesuatu masalah yang sengaja tidak mahu diselesaikan?

Tak ada sesiapa berjaya

Kepada sesiapa yang tidak tahu, kesan daripada pencemaran perlombongan bauksit ini amat-amat serius. Ianya menggangu banyak hal, waima menjemur pakaian di ampaian pun menjadi masalah.

Apa saja yang ada dalam lingkungan perlombongan ini menjadi merah. Rumah dan isinya menjadi merah, menjadi sangat kotor.

Kita yang melihatnya pun menjadi marah apatah lagi mereka yang mengalaminya.

Segala macam manusia telah datang dengan seribu janji untuk mengatasi masalah pencemaran yang terhasil dari kerja-kerja ini. Daripada penduduk kampung hingga ke anak raja dalam negeri. Daripada pemimpin parti pembangkang hingga kepada menteri besar dalam negeri.

Semua cuba atau kita tengok seolah-olah cuba untuk menyelesaikan masalah yang sangat mengganggu ini. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka berjaya.

Saya ulangi - tidak ada satu orang pun dari mereka berjaya menyelesaikan masalah pencemaran yang sangat-sangat menyakitkan ini.

Apa perlunya satu lagi tulisan mengenai perlombongan yang diuar-uarkan banyak memberi kekayaan itu, lebih-lebih lagi daripada penulis yang langsung tidak dikenali.

Baik saya terus dengan kerja saya - melukis dan menulis. Duduk diam-diam dalam dunia saya sendiri daripada menghabiskan tenaga memikirkan penyelesaian masalah ini. Biar saya terus khayal dalam kata-kata, dalam warna.

Orang sama saja

Kenapa saya sebagai apa yang konon digelar orang sebagai insan seni perlu masuk dalam arena yang khabarnya penuh korupsi, ketamakan dan membahayakan diri.

Adalah lebih baik saya terus dalam angan-angan yang nanti bila ada yang kaya hasil lombong tersebut,mereka akan mula mahu mengerti akan seni dan berbondong-bondong datang ke studio kami untuk memiliki hasil kerja kami.

Baik saya diam perihal masalah pencemaran perlombongan bauksit.

Tidak perlu kita bercerita akan kemusnahan alam itu nanti akan mengakibatkan sesuatu yang buruk pada masa depan. Alam akan musnah dan kitalah yang akan jadi pemusnahnya.

Yang hidup hari ini yang perlu dikisahkan, yang perlu dipedulikan.

Tidak ada orang peduli tentang untungnya pemilik tanah yang tanahnya dilombong. Tidak ada orang cemburu akan kesenangan yang diperolehi oleh mereka yang terbabit dalam perlombongan itu dan tentu sekali mereka tidak mengharapkan apa-apa daripada kerajaan hasil dari cukai yang diperolehi.

Mereka cuma mahu kehidupan mereka kembali ke asal - bebas beraktiviti di luar dan bebas bergaduh laki-bini tanpa gangguan debu tanah.

Tetapi, buat apa saya menulis mengenai bauksit? Lebih baik saya bercerita mengenai pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dari Kuantan ke Kuala Terengganu yang rasanya hampir setiap minggu mencatatkan kemalangan maut.

Tetapi, apabila difikirkan balik, mereka yang bertanggungjawab perihal lombong dan lebuh raya itu adalah golongan yang sama!

Jadi, apa guna saya menulis? Lebih baik duduk diam dan kebimbangan 'kena tembak' pun hilang.


ABDULLAH JONES adalah pelukis dan penulis berpangkalan di Kuantan yang setiap hari marah melihat sebahagian daripada bandar itu bertukar warna menjadi merah.

Lihat Komen