malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Spider-Mable 'adi wira penyelamat' Edmonton
Diterbitkan:  Oct 1, 2015 4:21 PM
Dikemaskini: 8:51 AM
ADS

Secara tiba-tiba Mable Tooke menjadi perhatian ramai. Di Kanada kanak-kanak perempuan berusia enam tahun itu menjadi tajuk utama sekelip mata.

Semuanya kerana impian Mable menjadi adi wira terlaksana - walaupun hanya sehari.

Mengidamkan watak Spider-Man, Mable yang menghidap kanser dikenali sebagai SpiderMable - terima kasih kepada Yayasan Impian Kanak-kanak yang mengusahakan supaya impiannya menjadi kenyataan.

Menyertai Mable menghabiskan masa di sekitar bandar Edmonton di Alberta adalah wira paling diminatinya, Spider-Man.

'Pengembaraan' Mable bermula sebaik saja dia bangun tidur pada pagi Isnin lalu dan melihat polis menyeru namanya untuk 'menyelamatkan' kapten pasukan hoki ais Edmonton Oilers, Andrew Ference.

Ibu Mable, Lisa Tooke, menceritakan bagaimana riak muka kanak-kanak itu terkejut sebelum tersenyum sejurus kemudian dan berkata: "Ayuh!"

Mable kemudian dipakaikan baju khas disiapkan Lisa sebelum diiringi menaiki sebuah limosin untuk bertemu Spider-Man.

Tak takut sangat

Di bangunan Dewan Bandar Raya Edmonton, Datuk Bandar, Don Iveson menunggu untuk menyerahkan bekas berisi 'tali sarang labah-labah.

"Pergi selamatkan bandar ini sekarang," kata Iveson.

"OK," kata Mable.

Turut bekerjasama menyelamatkan Ference adalah beberapa anggota polis tempatan.

Di jalan raya orang ramai memberikan sorakan dan sokongan ketika Mable pergi ke balai polis, kembali ke bangunan Dewan Bandar Raya Edmonton sebelum Pusat Beli Belah West Edmonton. Sentiasa di sisinya ialah Spider-Man.

Menceritakan pengalaman itu, Mable berkata, ia "memang hebat".

Mengenai perasaannya "memburu penjenayah", Mable berkata: "Saya tak takut sangat".

Bukan yang pertama

Mable disahkan menghidap leukemia limfoblastik dua tahun lalu. Ketika mendapatkan rawatan di hospital untuk kali pertama dia seakan jatuh cinta kepada watak Spider-Man.

Antara faktor yang menyebabkan Mable menggemari Spider-Man adalah kerana watak fantasi itu digambarkan memiliki darah beradioaktif - sama sepertinya yang diberikan bahan itu melalui rawatan perubatan.

Mable bukanlah kanak-kanak pertama dihargai begitu.

Program sama pernah dianjurkan yayasan berkenaan pada 2013 untuk Miles Scott, 5, yang menghidap leukemia. Scott dijadikan Batkid di tempat tinggalnya di San Francisco.

Bapa Mable, Neil Tooke, berkata Yayasan Impian Kanak-kanak memberi peluang kepada individu yang terpilih untuk meminta apa saja.

"Ketika dia boleh mendapatkan segala-galanya, Mable memberitahu, dia mahu memerangi jenayah bersama Spider-Man," katanya.

Lihat Komen