malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Zainal, Ito beri definisi bangsa Malaysia
ADS

Tiada permusuhan dan hidup dalam persefahaman serta damai - begitu harapan yang terpancar dalam konsert Aku Bangsa Malaysia yang diadakan sempena Festival Filem Freedom di Petaling Jaya malam tadi.

Ia diadakan pada 16 September sesuai dengan hari cuti umum memperingati pembentukan Malaysia dan pada siangnya berlangsung Himpunan Maruah Rakyat.

Ditonton pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa, konsert berkenaan diserikan dengan kemunculan penyanyi terkenal Ito Mohd dari Blues Gang dan Zainal Abidin yang popular dengan lagu Hijau.

Persembahan dua legenda itu memang mengesankan. Walaupun sudah berusia Ito dan Zainal memang tidak mengecewakan.

Tidak cukup dengan nyanyian, penonton juga tidak kering gusi dengan persembahan santai dan jenaka oleh Zainal.

Zainal 'minta derma'

Namun lebih menarik, jenaka bersahaja Zainal bukan 'kosong' sebaliknya berisi dan sesekali menyindir ahli politik negara.

Dan salah seorang penonton yang hadir pada malam tadi adalah ahli politik juga, iaitu Datuk Zaid Ibrahim yang pernah menjadi menteri.

Memulakan persembahannya, Zainal bertanya - dan bercerita - kepada penonton: "Zainal Abidin penyanyi termahal. Wow, kamu percaya itu? Saya tahu kenapa."

Cerita Zainal, pada zaman itu dia hanya perlukan sedikit wang untuk membeli minyak rambut biasa bagi mengemaskan penampilannya.

“Sekarang saya lebih mahal kerana terpaksa beli gel rambut. Saya terpaksa warnakan rambut, bulu kening, bulu hidung, pergi rias kuku tangan dan kaki sebab dengan badan yang ada saya sudah tidak mampu mencapainya. Itu sebab saya mahal.

“Jadi, tolonglah derma ,” ujarnya disambut ketawa dan tepukan gemuruh penonton.

Bertuahnya Malaysia

Zainal menghiburkan hadirin dengan dua lagu - Hijau dan Sabar - sebelum menyanyi sekali lagi atas permintaan ramai sebelum dia mengakhiri persembahan. Tanpa iringan muzik dia menyanyikan lagi Ikhlas tapi Jauh.

Zainal Abidin, antara penyanyi tersohor negara, mendendangkan lagu hit beliau, 'Hijau' ketika Konsert Hari Malaysia sempena FreedomFilmFest 2015 di PJ Live Arts baru-baru ini. Baca selanjutnya: http://www.malaysiakini.com/hiburan/312635

Posted by Malaysiakini (BM Version) on Thursday, 17 September 2015

Sebelum Zainal, Ito muncul menyanyikan lagu Apo Nak Dikato dan Biarkan Berlalu.

Selain itu, persembahan turut dimeriahkan oleh anak didik Zainal dari rancangan realiti televisyen Mentor Legend , Nadeera dan band Joss.

Secara umum konsert malam tadi menyajikan lagu patriotik bagi menjelaskan betapa bertuahnya dilahirkan sebagai seorang rakyat Malaysia.

Antara lagu diperdengarkan adalah Warisan yang pernah dipopularkan Allahyarham Sudirman Arshad dan Bahtera Merdeka (Datuk Ahmad Jais).

Festival Filem Freedom sebenarnya acara berlangsung selama sembilan hari sejak 11 September lalu.

Selepas ini, festival itu akan dibawa menjelajah ke Pahang, Ipoh, Pulau Pinang, Johor, Sabah, Sarawak dan Singapura antara Oktober hingga November.

Tiada istilah pendatang

Festival yang dianjurkan oleh Pusat Komunikasi Hak Asasi Manusia (Komas) mengetengahkan filem pendek - dari dalam dan luar negara - yang tidak pernah disaksikan melalui media arus perdana.

Antara isu yang diketengahkan adalah berkaitan hak asasi manusia, pengawasan terhadap pihak berkuasa dan korupsi.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Rakyat Untuk Menebus Kembali Negara Malaysia (Negara-ku) Zaid Kamaruddin ( gambar ) sempat diminta naik ke pentas untuk menyampaikan ucapan ringkas.

Beliau mengingatkan hadirin tentang sejarah penubuhan Malaysia dan menggesa rakyat negara ini tidak harus berselisih faham mengenai asal-usul mereka.

“Sekarang ini kita merayakan Hari Malaysia, dari semenanjung hingga Sabah dan Sarawak.

“Namun, sampai sekarang ada yang masih berkata ini tanah Melayu. Kalau marah, mereka akan kata (kepada masyarakat bukan Melayu), balik Tongsan atau seumpamanya.

“Kita harus perhatikan, apabila Malaysia ditubuhkan siapa yang bergabung di dalamnya?" kata beliau.

Menegaskan negara ini dibentuk hasil gabungan pelbagai bangsa Zaid berkata, tiada rakyat bukan Melayu boleh dianggap pendatang di negara.

"Yang ada adalah perbezaan etnik," katanya.

Kenyataan itu kemudian disokong Zainal apabila berkata semua manusia adalah makhluk yang "didatangkan" oleh Tuhan ke dunia.

Konsert itu diakhiri dengan nyanyian Negaraku beramai-ramai.

Lihat Komen