Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) mengesyaki wujud unsur penipuan dalam pencalonan untuk anugerah Festival Filem Malaysia (FFM) ke-27 yang bakal berlangsung Sabtu ini.
Salah satu syarat utama yang mesti dipatuhi oleh mereka ialah menjadi ahli berdaftar - sama ada dengan FDAM, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) atau Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima).
Bagaimanapun, semakan FDAM mendapati ada antara calon yang menjadi finalis FFM kali ini tidak menjadi ahli kepada mana-mana persatuan.
Setiausaha Kehormat FDAM Datuk Abdul Rahim Awang berkata, ada kemungkinan calon terbabit menggunakan nama orang lain yang berdaftar dengan persatuan tertentu untuk membolehkan mereka dicalonkan dalam FFM ke-27.
“Penipuan kerap berlaku. Misalnya bagi kategori pengarah. Ada individu memohon Sijil Perakuan Penggambaran Filem tetapi yang mengarah filem itu, orang lain,” katanya kepada Malaysiakini .
Dua surat dikirim
Persoalannya yang dibangkitkan FDAM adalah, bagaimana Perbadanan Kemanjuan Filem Nasional (Finas) boleh meluluskan Sijil Perakuan Penggambaran Filem (SPP) kepada pengarah yang tidak menganggotai sebarang persatuan berdaftar.
"Pematuhan peraturan Padu Citra yang dipersetujui Finas gagal diambil kira dalam penilaian FFM kali ini," kata Abdul Rahim.
Klausa 7 (1) peraturan Padu Citra menyebut, produser yang ingin membuat penggambaran dikehendaki memastikan setiap individu yang terlibat menjadi ahli atau berdaftar dengan persatuan diiktiraf.
Dalam laman sesawang Finas pula, pada bahagian pelesenan disebut karyawan tempatan yang terlibat dalam penggambaran filem hendaklah menjadi ahli kepada mana-mana persatuan yang diiktiraf oleh Finas di bawah peraturan Padu Citra, iaitu Profima, SENIMAN dan FDAM.
Abdul Rahim berkata, FDAM sudah mengutus dua surat kepada Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman, tetapi gagal mendapat penjelasan memuaskan.
“Kami menghantar surat pertama. Ia dibalas namun tidak menjawab persoalan yang kami ajukan.
“Kemudian kami menghantar surat kedua, namun hasilnya sama.
“Itu sebab kami siarkan kenyataan akhbar untuk menjelaskan perkara ini kepada umum,” katanya.
Kes istimewa 24 jam
FDAM - dalam suratnya - turut meminta penganjur FFM ke-27 menasihati calon terbabit untuk segera mendaftar sebagai ahli persatuan diiktiraf, namun hal itu juga tidak dijelaskan dalam maklum balas Finas.
“Sekiranya calon terbabit sudah menghasilkan filem, mereka layak menjadi ahli dan ia akan diluluskan sebelum acara itu berlangsung.
“Dalam kes istimewa seperti ini, ia tidak menjadi masalah,” katanya.
Abdul Rahim menegaskan, pihaknya tidak berniat untuk mencetuskan perbalahan mahupun menyinggung hati sesiapa.
Baginya, mereka hanya menjalankan tanggungjawab selepas mendapati ada kepincangan dalam pencalonan akhir FFM ke-27 ini.
Sebenarnya, kata Abdul Rahim, proses untuk menjadi ahli FDAM tidaklah sukar.
Katanya, bagi mereka yang pertama kali mendaftar hanya dikenakan bayaran RM300. Kemudian, untuk menjadi ahli bersekutu bayarannya RM60 setahun. Selepas itu, untuk menjadi ahli aktif RM120 setahun.
“Proses itu biasa kami luluskan dalam mesyuarat bulanan.
“Namun dalam kes istimewa seperti ini kami akan luluskan dalam masa 24 jam,” ujarnya.