Kira-kira 24 jam selepas digugurkan daripada Umno, anggota Wanita Umno Langkawi mencurahkan rasa hatinya di Facebook dengan menulis sajak bagi menegaskan azamnya untuk terus "berjuang" demi negara.
Anina Saadudin adalah perwakilan Wanita Umno yang membuat ucapan kontroversi dalam mesyuarat agung tahunan mereka baru-baru ini apabila menggelar Datuk Seri Najib Razak ' mengencing' ahli parti berkenaan.
Anina kemudian mengemukakan saman terhadap Najib yang juga Presiden Umno.
Tindakan itu menyebabkan keahlian Anina terlucut serta-merta .
Berikut adalah sajak penuh Anina:
Bukan kuminta lahir ke dunia
bukan kuminta menjadi Melayu
bukan kuminta menjadi rakyat bumi Malaysia
Kasih kupasak untuk bumi tercinta
demi Allah yang mentakdirkan aku menjadi anak Melayu, anak Malaysia...
Selagi hidupku ditentukan Allah untuk bernyawa
selagi itu aku berjuang untuk tanahair tercinta.
Sumpah setiaku sebagai rakyat
dan imanku sebagai umat-Nya, bergadai nyawa
TETAP AKU PERTAHANKAN MARUAH AGAMA, BANGSA DAN NEGARAKU.
Beberapa jam sebelum memuat naik sajak berkenaan, Anina sempat membuat catatan ringkas dalam Facebook beliau.
Kata Anina, walaupun dikenakan tindakan oleh Umno, perjuangannya belum selesai.
"Saya akan terus berjuang dengan izin Allah SWT. Salam pasak kasih untuk 28 juta rakyat Malaysia," katanya.