malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Komentar: Sesedap mulut selebriti 'binasa'
ADS

Siapa hendak disalahkan apabila ada artis berbicara mengikut sedap mulut?

Walaupun mungkin kerana tabiat sebegitulah lahirnya pepatah Melayu - seperti "ikut hati mati, ikut rasa binasa" dan "kerana pulut santan binasa" - ia nampaknya masih belum cukup untuk mengekang seseorang daripada bercakap mengikut perasaan semata-mata.

Hal sama turut dialami artis atau selebriti di negara ini.

Entah lupa atau sengaja melupakan, mereka seolah-olah tidak sedar segala tindak tanduk diperhatikan ramai, termasuk peminat dan media.

Kerana tidak puas hati, mereka menyalurkan amarah dalam media sosial kerana - ya - ia adalah saluran paling pantas yang boleh menjadi tempat meluah perasaan tanpa perlu bersua muka.

Inilah realiti dalam dunia tanpa sempadan ketika ini.

Kita tentu sudah mengetahui cerita bagaimana ada selebriti mengecam rakan selebriti lain atau artis popular bercakap tanpa mempedulikan perasaan orang ramai di Twitter, Instagram mahupun Facebook.

Suatu ketika dulu Chef Wan menimbulkan kemarahan apabila memuat naik gambarnya di tepi pantai dengan mesej gurauan mengenai MH370.

Artis celupar peminat bercakaran

Chef Wan memang bergurau tetapi ia melukakan perasaan banyak pihak. Mujurlah beliau segera meminta maaf.

Bagaimana pula kalau ada selebriti yang cakap lepas menggunakan ungkapan "berapa ekor" untuk merujuk kepada nyawa manusia?

Itulah yang aku risaukan. Dalam bersahaja atau bergurau, ia secara tidak terkawal mencetuskan tanggapan negatif di kalangan pengguna media sosial.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila penyokong - sebahagiannya masih terlalu muda untuk mencampuri hal sebegini - saling bercakaran.

Untuk apa - itu pun kadang-kadang membingungkan aku.

Misalnya, seorang artis itu yang terkenal dengan kelantangnya mengutuk hampir semua perkara. Pantang tercuit sikit dengan artis lain sana sini, mulalah dia memuat naik statusnya dalam media sosial.

Kesian juga kerana dalam keadaan tertentu dia dilihat seolah-olah mahu dilabel sebagai artis menagih publisiti murahan.

Kadang-kadang aku musykil, apakah yang menjadikan mereka bertindak demikian?

Adakah kerana berasa diri kurang glamor, tekanan semasa persekitaran, atau sekadar memetik kata-kata basahan, 'kurang kasih sayang'?


NADIA AZAM wartawan meja hiburan Malaysiakini.

Lihat Komen