malaysiakini logo
story-image
ADS

Pencerahan tentang petrodollar telah dipaparkan. Tamatnya Perjanjian Petrodollar antara Amerika Syarikat dan Arab Saudi pada 9 Jun 2024 telah diberitahu. Berita yang amat penting ini tidak dihebohkan untuk menjadi perbualan global.

Ia tidak dihebohkan agar tidak mengganggu gugat perjalanan ekonomi dunia.

Hasilnya: Baru-baru ini di Malaysia muncul berita gembira: Nilai Ringgit tinggi berbanding Dolar. Berdasarkan data terkini pada 27 Januari 2026, nilai ASD1 adalah sekitar RM3.96 hingga RM3.97.

Tahun 2020 – lima tahun dulu ASD1 bernilai antara sekitar RM4.05 hingga RM4.45. Ringgit sempat melemah ke titik terendah, iaitu sekitar RM4.44 pada 23 Mac 2020.

Apakah ini bermakna ekonomi kita lebih baik? Sabar dulu jang! Jangan gopoh buat rumusan.

Dari segi nilai Ringgit memang baik. Tapi ini bukan bukti Ringgit dan ekonomi Malaysia bertambah baik. Tidak. Nilai Ringgit naik kerana ekonomi Amerika merundum. Ringgit naik kerana nilai Dolar jatuh bukan kerana ekonomi Malaysia melonjak. Jangan lari daripada fakta ini.

Untuk lebih memahami apa yang sedang berlaku, mari kita lihat pula harga emas.

Sekitar 10 tahun lalu 2014-2015, harga emas 999 tulen di Malaysia berada dalam lingkungan RM130 hingga RM150 lebih per gram, jauh lebih rendah berbanding harga RM300-RM400 lebih per gram pada 2024 hingga 2025. Ini menunjukkan peningkatan harga emas yang signifikan dalam tempoh sedekad.

Hari ini kita akan terus membaca berita harga emas naik.

Bagaimana pula dengan harga minyak mentah. Harga minyak mentah Brent pada awal tahun 2026 adalah sekitar ASD61-65 setong (kira-kira RM270-RM290).

Harga minyak mentah turun ketara berbanding harga purata, iaitu kira-kira ASD100 setong pada tahun 2014.

Harga minyak mentah diramal jatuh lagi pada tahun 2026. Menurut laporan CNBC, Goldman Sachs berkata kejatuhan ini berpunca daripada lebihan bekalan global, risiko kemelesetan ekonomi, dan potensi peningkatan pengeluaran Opec.

Lebihan bekalan dijangka ketara disebabkan pengeluaran tinggi dari negara bukan Opec (Amerika, Rusia, Venezuela) serta permintaan yang lebih lemah.

Permintaan lemah ialah kata kuncinya. Ini kerana minyak petrol adalah tenaga utama yang menggerakkan ekonomi dunia. Jika bahan ini kurang permintaan, ertinya jelas ekonomi dunia sedang merundum.

Emas sebagai persediaan

China dan Rusia mendahului negara lain dalam mengumpul rizab emas fizikal. Negara mahu memegang dan menyimpan emas sebagai rizab negara. Kelihatan hari demi hari semakin banyak negara mengurangkan pergantungan kepada Dolar Amerika. Negara lain seperti India dan Arab Saudi juga aktif meningkatkan simpanan emas.

Amerika, Jerman dan Itali pemegang tradisi stok emas strategik yang tinggi. Negara ini sedang membuat persediaan. Persediaan untuk apa?

Pengalaman mengajar negara-negara ini untuk bersedia menghadapi zaman meleset. Bila harga emas melonjak naik dalam masa sama harga minyak petrol jatuh, ini satu petanda yang tidak baik. Ini petanda kemelesetan ekonomi.

Tetapi Bursa Saham di Wall Street naik gila-gila. Bursa saham Hang Seng, Nikkei dan Shanghai kelihatan turun dan naik.

Awas! Bursa saham ialah wilayah spekulasi. Wilayah duit buat duit. Bursa saham bukan punca pengeluaran. Bursa bukan terlibat dalam produksi apa-apa. Ini warung judi.

Ekonomi dunia hari ini bergantung kepada kekuatan ekonomi Amerika. Di belakang Amerika ialah China. Di belakang China ialah Jepun.

Sila beri perhatian rapi terhadap perkembangan ekonomi setiap negara ini. Kita tahu bahawa hutang negara Amerika sedang mencekik leher penduduknya. Sehingga akhir Januari 2026, hutang negara Amerika telah melepasi ASD38.5 trilion, dengan purata lebih ASD115,000 hutang setiap warganegara, dan meningkat kira-kira ASD1 trilion setiap 100 hari.

Hutang ini, didorong oleh defisit struktur dan kadar faedah yang tinggi, menyamai lebih 120 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara itu. Perbendaharaan meminjam dana dengan mengeluarkan sekuriti kepada pelbagai pelabur.

Dana ini dipinjam dari Federal Reserve. Ini sebenarnya sebuah teater. Federal Reserve tidak memiliki apa-apa punca ekonomi. Apa yang dilakukan oleh Federal Reserve ialah mencetak kertas hijau yang dinamakan Dollar.

Adalah lebih tepat jika Federal Reserve Amerika ini dipanggil Syarikat Percetakan Duit Negara. Amin.

Kemunculan garis kanan

Hakikatnya, ketika tulisan ini digarap ekonomi Amerika makin terumbang-ambing. Tapi daripada media dunia kita disajikan dengan berita Trump. Kita disajikan dengan rancangan Damai 2025 Trump. Kita disajikan dengan Lembaga Damai Gaza.

Ini semua teater. Di belakang semua ini - majoriti pakar ekonomi yang rasional, yang otaknya tak senget - semua meramalkan ekonomi Amerika dalam bahaya.

Awas! Jika ekonomi Amerika dalam bahaya, ertinya ekonomi dunia kita dalam bahaya.

Untuk itu kita wajib melihat ke belakang. Melihat sejarah untuk kita meramalkan apa yang akan berlaku. Melihat ke belakang untuk mengenali jalan ke depan.

Sebelum Perang Dunia Pertama, Eropah mengalami tempoh pertumbuhan perindustrian yang hebat. Pasaran global bersepadu. Taraf hidup meningkat kemudian inflasi tinggi sampai pada tahun 1896–1914. Ketegangan sosial bermula. Kewangan menjadi rapuh. Emas ditinggalkan untuk tidak lagi menyokong nilai mata wang. Belanjawan ketenteraan meningkat.

Krisis mata wang meledak pada tahun 1914. Pada 18 Julai 1914 Perang Dunia Pertama pecah.

Lihat pula apa yang terjadi sebelum Perang Dunia Kedua.

Keadaan ekonomi global sebelum Perang Dunia Kedua (1939–1945) ditakrifkan oleh Kemelesetan Besar – Great Depression. Berjuta warga menganggur kerana hilang mata pencarian. Kilang tutup dan perdagangan runtuh.

Keadaan ini mendorong munculnya garis politik ekstremis kanan di Jerman, Itali dan Jepun.

Pada 1 September 1939, Jerman menyerang Poland maka Perang Dunia Kedua bermula. Perang hanya tamat pada 2 September 1945 setelah bom atom meledak di Nagasaki dan Hiroshima.

Ciri-ciri dan watak latar belakang Perang Dunia Pertama dan Kedua kini jelas berada di hadapan mata kita. Sejarah sedang berulang.

Selain daripada keadaan ekonomi yang semakin tidak stabil, kita juga sedang menyaksikan dua perang sedang berlaku. Perang Ukraine masuk ke tahun keempat. Perang Gaza masuk ke tahun ketiga.

Dua perang ini mendapat liputan media. Tetapi ada lagi perang yang juga membawa maut besar tapi tidak dihebohkan di muka hadapan media.

Perang Saudara Sudan telah mengorbankan lebih banyak nyawa daripada Perang Gaza. Perang Yaman antara Saudi dengan Houthi pula berterusan secara senyap.

Paling jelas ialah peperangan antara Amerika dan Israel yang cuba menjatuhkan kerajaan Iran. Malah tidak jauh dari Kuala Lumpur ialah Perang Kemboja dengan Siam.

Sejarah telah menunjukkan kepada kita semua bahawa beberapa konflik besar berlaku pada tahun-tahun sebelum Perang Dunia Kedua. Konflik-konflik ini menjadi pemangkin untuk perang besar meledak.

Lihat sejarah: Perang China-Jepun Kedua pada tahun 1937–1945. Perang Saudara Sepanyol 1936–1939. Pencerobohan Itali ke atas Ethiopia 1935–1936. Dan jangan lupa pertempuran sempadan Soviet-Jepun 1938–1939. Semua konflik ini membawa kepada Perang Dunia Kedua.

Suasana politik dunia kita pada tahun 2026 ini sama seperti sebelum meledaknya Perang Dunia Kedua.

Politik garis kanan – ekstremis kanan – sedang mengembang luas. Di Amerika kita ada Maga – Make Amerika Great Again di bawah Trump. Di Itali ada PM Meloni dari Party Brothers of Italy. Parti ini adalah suku sakat parti Fasis Mussolini.

Di Jerman pada tahun 2013 muncul Party Alternative For Germany. Parti garis kanan yang membawa iras politik Hitler. Parti AFD ini semakin popular.

Manakala di UK muncul Reform UK yang didirikan pada 2018. Parti garis kanan ini amat popular dan kini memiliki sembilan YB dalam Parlimen UK. Ketua Reform UK ialah Nigel Farage yang telah menjalinkan hubungan kerjasama yang erat dengan Donald Trump.

Jangan lupa hari ini Presiden Perancis ialah Emmanuel Macron. Kerajaan garis tengah ini terumbang-ambing. Apa yang menunggu di belakang pintu ialah Marine Le Pen dari parti National Rally. Parti ini adalah suara kanan.

Belanjawan perang naik

Perang memerlukan senjata. Pembuatan dan lambakan senjata ini menjadi tanda bahawa dunia kita sedang berhadapan dengan ambience perang. Ini sama seperti sebelum Perang Dunia Kedua.

Tahun 2025 semua negara di Kesatuan Eropah telah bersetuju untuk menaikkan belanjawan pertahanan kepada lima peratus daripada belanjawan negara. Ini satu peningkatan yang memeranjatkan.

Belanjawan pertahanan ini bermakna mendirikan kilang kereta kebal, mendirikan kilang peluru, mendirikan kilang drone dan jet pejuang, mendirikan armada darat dan laut.

Jerman kini mewajibkan warga berumur 18 tahun ke atas untuk menjadi soldadu. UK juga memasang niat yang sama. Perancis dan Belgium telah sedia ada sistem khidmat negara yang mewajibkan warga untuk menjadi soldadu selama dua tahun.

Negara-negara Eropah yang lain juga mengamalkan kerahan tenaga aktif termasuk Austria, Cyprus, Denmark, Estonia, Finland, Greece, Latvia, Lithuania, Norway, Sweden, Switzerland dan Turki.

Jelas pada tahun 2026 ini negara-negara Eropah sedang bersedia untuk berperang. Apakah Perang Dunia Ketiga akan meledak? Siapa akan dijadikan musuh? Tunggu minggu hadapan. Amin. 


HISHAMUDDIN RAIS adalah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen