malaysiakini logo
story-image
ADS

Tulisan ini digarap pada 6 Januari 2025. Saya telah merancang – sebagai menyambut kesampaian tahun baru – untuk menulis tentang beberapa pandangan dan ramalan tentang 2026. Semua ditangguh kerana pagi Sabtu 3 Januari soldadu Amerika telah masuk menyerang Caracas, ibu kota Venezuela.

Presiden Trump berkata: Serangan dari darat, dari laut dan dari udara.

Hampir semua media dunia yang masih bersantai-santai merayakan kesampaian 2026 tersedak. Ada rancangan TV terhenti untuk: Breaking News Berita Terkini. Ada portal berita terus menyiarkan siaran langsung dari Caracas.

Gambar Presiden Maduro dengan mata tertutup bergari diheret oleh soldadu Amerika menjadi imej pembukaan tahun 2026. Isteri Maduro juga diheret sama. Imej ledakan bom dan helikopter berterbangan dalam kota Caracas menggantikan imej ledakan bunga api dari kota ke kota ketika menyambut kesampaian 2026.

Warga dunia pada pagi itu terperanjat. Tidak menyangka apa yang dilihat dan dibaca. Hakikatnya semenjak bulan September 2025 Presiden Trump telah memulakan kempen menuduh Presiden Maduro sebagai terlibat dalam kartel menyeludup dadah kokain ke Amerika.

Trump telah mengarahkan kapal laut USS Gerald Ford menuju ke Laut Carribbean berhadapan dengan Venezuela. Kapal laut pembawa pesawat pengebom ini adalah kapal perang yang terbesar dalam dunia.

Latihan tentera laut juga dilakukan. Semua ini adalah amaran dan ancaman dari Amerika kepada Maduro.

Dalam masa yang sama Trump juga telah memberi arahan kepada CIA – lembaga risik – untuk memulakan kerja bawah tanah di Venezuela. Berapa ramai anggota CIA masuk ke Venezuela hanya Guru Nanak saja yang tahu. Hadiah AS$50 juta telah diletakkan di atas kepala Maduro. Siapa dapat beri maklumat hingga Maduro berjaya ditangkap akan jadi jutawan segera.

Keadaan di Venezuela menjadi tegang. Berkali-kali Trump memberi amaran agar Maduro berundur. Lalu dibangkitkan bahawa undian yang dimenangi oleh Maduro pada tahun 2018 adalah tipu. Tahun 2024 sekali lagi Maduro memenangi kerusi presiden. Sekali lagi Amerika menolak keputusan rakyat Venezuela.

Wajib diberitahu di sini – ketika menjadi presiden kali pertama tahun 2016 dulu Trump telah cuba menjatuhkan Maduro tapi gagal.

Kali ini, pada 3 Januari 2026 Presiden Trump berjaya menjatuhkan Presiden Maduro. Pada 5 Januari 2026 Presiden Maduro muncul di New York. Dia bersama isteri dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan.

Tuduhan: Maduro dituduh selama 25 tahun ini bersama pemimpin Venezuela yang lain “menyalahgunakan kedudukan kepercayaan awam mereka dan merosakkan institusi yang pernah sah untuk mengimport banyak kokain ke Amerika Syarikat."

Maduro dan sekutunya “menyediakan perlindungan penguatkuasaan undang-undang dan sokongan logistik” kepada kumpulan pengedaran dadah utama, seperti Sinaloa Cartel dan geng Tren de Aragua.

Maduro juga dituduh menjual pasport diplomatik Venezuela kepada pengedar dadah.

Paling lawak ialah kerajaan Amerika menuduh Maduro memiliki pistol di Caracas. Bagaimana senjata yang tersimpan dalam laci meja Presiden Maduro ini mengancam keselamatan Amerika Guru Nanak sendiri pun tidak tahu. Kah kah kah.

Sejarah rampas kuasa

Apa yang baru dilakukan oleh CIA dan Amerika terhadap Venezuela bukan satu perkara yang baru. Pada 11 April 2002 CIA telah melancarkan rampasan kuasa di Caracas.

Presiden Venezuela Hugo Chavez telah ditangkap oleh soldadu upahan Amerika. Selama 47 jam Presiden Chavez telah hilang sebelum soldadu yang setia kepada negara berjaya membebaskan Presiden Chavez.

Sejarah kerja jahat rampasan kuasa ini adalah watak imperialisme Amerika. Mana-mana negarapun bila mana kepentingan politik dan ekonomi kaum kapitalis Amerika terganggu gugat maka CIA dan Amerika akan menjalankan rampasan kuasa.

Pada tahun 1953 Perdana Menteri Iran Mohammad Mosaddeqh dijatuhkan melalui rampasan kuasa yang ditaja oleh CIA bersama dengan MI6 – badan risikan British.

Mosaddegh telah memiliknegarakan telaga minyak yang dikuasai oleh syarikat Inggeris.

Pada tahun 1954 rampasan kuasa CIA berlaku di Guatemala kerana kepentingan Syarikat United Fruit Company tergugat oleh kesatuan buruh yang menuntut upah yang berpatutan.

Pada 11 September 1973, CIA telah melakukan rampasan kuasa di Chile. Presiden Salvador Allende daripada Parti Sosialis telah digantikan dengan Jeneral Pinochet.

Bukan hanya di Amerika Latin sahaja CIA menjalankan rampasan kuasa atau melakukan regime change – ubah rejim.

Pada tahun 1960 Patrice Lumumba Perdana Menteri pertama Demokratik Republik Congo seorang nasionalis telah dibunuh mati dalam satu rampasan kuasa yang ditaja oleh CIA.

Di Vietnam Selatan pada 1 November 1963, Presiden Ngo Dinh Diem telah ditangkap dan dibunuh oleh satu gerombolan jeneral. Semuanya dijalankan atas arahan CIA. Amerika pada ketika itu di bawah pentadbiran Presiden John F Kennedy.

Jangan sesekali kita melupakan: Anak Nusantara Presiden Indonesia Sukarno (Bung Karno) telah ditangkap pada 30 September 1965 oleh gerombolan jeneral termasuk Jeneral Suharto yang akhirnya dipilih oleh CIA untuk menjadi Presiden Indonesia. Bung Karno seorang nasionalis telah membahayakan kepentingan Anglo-Amerika di Nusantara.

Dunia tidak akan melupakan Persidangan Bandung pada tahun 1955. Negara-negara dari Asia dan Afrika yang baru merdeka dikumpulkan oleh Bung Karno dan bersidang di Bandung.

Garis politik Bandung yang diambil oleh nasionalis Bung Karno dilihat amat bahaya. Pada masa yang sama Bung Karno menolak Projek Neo-Kolonial Inggeris yang dinamakan Malaysia. Justeru Bung Karno wajib dilupuskan dari punca kuasa.

Presiden Indonesia Sukarno.

Mari kita lihat apa pula yang berlaku di Timur Tengah. Awalnya Iraq di bawah pimpinan Saddam Hussein dibantu oleh kuasa imperialis Anglo-Amerika untuk menumpaskan pengaruh Revolusi Iran di bawah pimpinan Ayatollah Khomenei.

Bila Saddam dilihat mula berani melawan tauke maka pada 20 Mac 2003 Iraq diserang oleh bala tentera Amerika. Akhirnya Saddam seorang nasionalis Arab ditangkap dan digantung mati.

Perkara yang sama berlaku kepada pemimpin Libya Muammar Gadaffi. Nasionalis Gadaffi mahu mewujudkan dinar emas. Ini betul-betul mengancam punca ekonomi sistem kapitalis dunia yang berpaksikan dolar Amerika.

Budak setia dan budak suruhan CIA mula membuat huru-hara di Libya. Perang saudara pecah. Amerika bersama sekutu Nato telah mengebom Libya. Pada 20 Oktober 2011 Gadaffi telah ditangkap dan disula hingga mati.

Hillary Clinton yang menjadi Setiausaha Negara Amerika ketika itu berkata: "We came, we saw, he died" – kita sampai, kita lihat, dia mati... Hillary terus ketawa terbahak-bahak.

Paling akhir kita lihat bagaimana CIA bekerjasama dengan Gerakan Isis dan Turki untuk menjatuhkan Bashar al-Assad. Kesalahan dan jenayah besar Bashar ialah membantu semua gerakan dan kumpulan pejuang Palestin.

Syria di bawah Bashar telah menjadi tulang belakang yang membantu Hamas dan Hizbullah.

Untuk kuasa imperial Anglo-Amerika membantu Palestin dan melawan Zionis adalah satu jenayah yang tidak boleh diampunkan. Justeru Bashar lari ke Moscow.

Apa pengakhiran Maduro dan Venezuela ini?

Sebenarnya Venezuela ini baru bermula. Baru masuk minggu pertama. Terlalu awal untuk memberi pandangan tentang apa yang akan berlaku. Tetapi yang jelas Trump dan Amerika tidak akan hanya berhenti di Venezuela.

Presiden Delcy Rodriguez telah mengangkat sumpah menggantikan Maduro. Pentadbiran lama masih kekal. Hanya Maduro kini dalam penjara di New York. Rakyat masih setia kepada garis nasionalis Revolusi Bolivarian.

Kerana ini, Trump telah memberi amaran jika Presiden Rodriguez yang baru dilantik – jika tidak mematuhi kehendak Amerika maka sang presiden akan menerima nasib yang lebih buruk daripada Maduro.

Presiden Rodriguez.

Trump juga telah memberi amaran kepada Colombia agar tunduk kepada Amerika. Trump juga memasang niat untuk merampas Greenland dari Denmark.

Presiden Donald Trump memberitahu media bahawa Amerika mahu memiliki Venezuela. Kalau dulu rampasan kuasa berselindung atas nama hak asasi, berselindung di belakang jubah demokrasi tetapi kali ini Trump dengan jujur mengakui Amerika datang ke Venezuela untuk mengambil minyak.

Sebagai lanun, Trump datang untuk menjarah harta kekayaan Venezuela. Wajib diketahui bahawa dalam perut bumi Venezuela tersimpan bahan bakar petroleum yang terbanyak dalam dunia. Melebihi apa yang ada di Saudi Arabia.

Memiliki minyak Venezuela ini bukan hanya penting tetapi amat strategik. Justeru dari sini pemerhati politik berpendapat bahawa babak akhir Venezuela ini ialah Amerika menyerang Iran.

Bila Iran diserang besar kemungkinan Selat Hormuz (gambar atas) akan ditutup. Setiap hari 20 ke 21 juta tong minyak melintas di Selat Hormuz.

Hampir 20 ke 20 peratus minyak yang digunakan di dunia akan melintas di sini. Justeru jika perang pecah Selat Hormuz ditutup maka ekonomi dunia akan jadi huru-hara.

Maka di sinilah minyak dari Venezuela akan memainkan peranan benteng agar ekonomi dunia tidak runtuh.

Serangan terhadap Iran ini sedang dirancang. Lihat dan tunggu. Kaum Zionis bersama kompleks industri senjata akan memastikan Iran akan jadi sama seperti Iraq, Libya dan Syria.

Zionis Israel tidak akan membenarkan mana-mana negara bangun bersetiakawan menyokong Palestin.

Zionis Israel mahu semua negara Arab dan negara Islam mengikut jejak langkah Saudi Arabia dan Negara Teluk.

Semua wajib setia kepada Amerika dan tunduk menyembah Zionis Israel.

Negara yang bukan Arab dan bukan Islam tetapi menyokong perjuangan Palestin akan menerima nasib seperti Maduro di Venezuela. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen