KOLUM | Generasi muda mungkin tidak pernah tahu - apa lagi mengenali - nama seorang tokoh penting dalam politik negara iaitu Sakinah Junid.
Tanpa sebab yang jelas sejarahnya seperti telah dipadam oleh partinya sendiri, atau dibiarkan dimamah sejarah.
Artikel ini adalah usaha kecil untuk menambah baik fakta sejarah perjuangan membangunkan makna sebuah negara merdeka. Hal itu kerana kemerdekaan bukan diperolehi dalam satu dekad, satu jalan atau satu kelompok.
Sakinah adalah Ketua Dewan Muslimat PAS yang ketiga. Berbanding Sakinah, nama ketua sebelum dia kurang dikenali umum.
Bakat dan kemampuan kepimpinan Sakinah mula terserlah sejak muda lagi iaitu pada era penentangan penjajah pada 1946. Dia mengetuai perarakan 300 orang anggota Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (Awas) berjalan dari dari Padang Rengas ke Kuala Kangsar.
Tujuan mereka hanya satu - menghadiri rapat umum untuk menentang gagasan Malayan Union.
Majalah Mastika pada keluaran Mac 1947 melaporkan Sakinah berpidato di hadapan 7,000 orang di Padang Sarkas Taiping. Perhimpunan itu merupakan rapat raksasa anjuran dua badan penentang penjajah, iaitu Pusat Tenaga Rakyat (Putera) dan Majlis Bertindak Bersama Semalaya (AMCJA).
Madrasah di pekan kecil Chikus
Pada zaman itu, Sakinah sebaris dengan tokoh wanita lain yang memimpin perjuangan kemerdekaan seperti Khatijah Sidek, Aishah Ghani dan Shamsiah Fakeh.
Sakinah berkahwin dengan seorang anak muda Kelantan yang merantau di Padang Rengas, Mohd Asri Haji Muda. Padang Rengas merupakan kampung halaman Sakinah.
Mohd Asri ketika itu bekerja dengan Abu Bakar al-Bakir di sekolah agama Ehya as-Syarif di Gunung Semanggol. Di situ Mohd Asri membantu Abu Bakar menggerakkan Hizbul Muslimin melalui jawatannya sebagai setiausaha.
Apabila madrasah tempat Mohd Asri dan Sakinah bertugas itu ditutup akibat darurat, mereka tinggal di Padang Rengas. Si suami menjadi penoreh getah, manakala si isteri bertugas sebagai suri rumah demi kelangsungan hidup berumah tangga.

Pada 1953 Othman Abdullah mengajak Mohd Asri menyertai PAS dan bekerja sebagai pegawai tadbir parti itu di Madrasah Masriah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Othman merupakan Ketua Pemuda PAS Pusat antara 1953 hingga 1956. Dia bertugas sebagai guru di Madrasah Jamiatul Banat wal Banin di Chikus.
Ia merupakan sebuah pekan kecil dalam mukim Sungai Manik dan terletak di bawah parlimen Hilir Perak (kini sebahagiannya dikenali Pasir Salak).
Teluk Anson (kini Teluk Intan) pula adalah bandar utama bagi kawasan tersebut.
Memandangkan pendapatan Mohd Asri sebagai petugas PAS sangat kecil, Sakinah membantu dengan bertugas sebagai tenaga pengajar di Madrasah Jamiatul Banat wal Banin.
Tinggalkan PAS, masuk Perikatan
Sebagai guru agama dia - bersama yang lain - diberikan gaji sebanyak RM56 sebulan.
Mohd Asri berulang-alik di antara Bukit Mertajam ke Chikus menaiki keretapi setiap seminggu atau dua kali seminggu. Itu pun dia menggunakan warrant ticket ahli Majlis Persekutuan milik Yang Dipertua PAS Ahmad Fuad Hasan.
Sakinah tidak lama berada di Chikus kerana dia kemudian bekerja di Madrasah Masriyah sebagai guru sebelum bertugas di Maahad Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan pada 1955.
Di Madrasah Jamaitul Banat wal Banin, ada beberapa tenaga pengajarnya yang aktif dalam politik pada masa itu selain Sakinah dan Othman. Misalnya Yahya Subhan.
Yahya pernah menjadi Adun Sungai Manik selepas memenangi kerusi tersebut atas tiket Perikatan dalam PRU 1959. Kemudian pada PRU berikutnya (1964) pula, Othman meninggalkan PAS dan bertanding atas tiket Perikatan di kawasan parlimen Hilir Perak.

Ketika itu, dia mengalahkan 'Panglima Jihad' PAS, Hasan Adli Mohd Arshad.
Selama Sakinah berada Chikus, tiada sumber rujukan untuk dikaitkan tentang peranan Sakinah dalam politik tempatan kecuali sejarah lisan sahaja. Buku Memoir Politik Asri yang ditulis Mohd Asri sendiri hanya menceritakan sepintas lalu kisah isterinya di Chikus.
Sementara buku Asri Sakinah - Menyulam Kehidupan yang ditulis oleh Ratna Mohd Asri langsung tidak menyentuh tentang Sakinah di Chikus.
Mungkin mereka merasakan episod kehidupan Sakinah di Chikus hanya secalit sahaja. Namun dalam konteks pensejarahan negara terutama perjuangan sebelum merdeka, ia adalah penting.
Watak-watak pejuang kemerdekaan
Sejarah Sakinah di Chikus hanya ada pada mulut-mulut orang lama tempatan.
Gajah mati meninggalkan gading, harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati, meninggalkan nama. Nama Sakinah masih ada tertinggal sisa-sisanya untuk ditulis buat generasi masa hadapan.
Salah satu faktor Sakinah bertugas di Chikus ialah kerana masyarakat di situ tidak asing dengannya. Sakinah menggantikan tempat Hamidah Nor, rakan baiknya sewaktu di Dinniah Puteri, Padang Panjang.
Hamidah adalah antara anak Chikus yang mendapat pendidikan di Madrasah Dinniah Puteri. Cerita tentang Hamidah ada dalam buku yang ditulis Ratna, anak Asri dan Sakinah.
Madrasah Dinniah Puteri itu merupakan tempat Aishah Ghani, Shamsiah Fakeh dan Rasuna Said menuntut ilmu.

Aishah dan Shamsiah adalah antara tokoh wanita yang menjadi pejuang kemerdekaan Tanah Melayu, manakala Rasuna ialah tokoh pejuang kemerdekaan Indonesia.
Majoriti masyarakat Chikus merupakan perantau yang datang dari leluhur sebelah bapanya, Sheikh Junid Thala yang berasal dari tanah Padang, Sumatera.
Budaya suku Rawa dan Mandailing mengakrabkan Sakinah dengan masyarakat di situ. Sehingga sekarang majoriti penduduk Chikus memang terdiri daripada suku Rawa dan Mandailing.
Setelah Sakinah meninggalkan Chikus, tiada dokumen yang menyatakan dia datang kembali ke kawasan berkenaan, kecuali berita dalam akhbar Berita Harian bertarikh 1 Dis 1967 melaporkan bahawa Sakinah datang ke Sungai Manik.

Menurut veteran PAS, Pak Shafie, Sakinah berceramah di rumah Haji Harun di Parit 13A, Sungai Manik.
Akhbar itu juga melaporkan bahawa penduduk dari Chenderong Balai dan Chikus datang mendengar dia berpidato.
Lebih 10 tahun sebelum itu, Sakinah datang ke Chikus sebagai guru tetapi pada 1967 itu, dia datang sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat dan isteri Menteri Besar Kelantan iaitu Mohd Asri.
Begitulah pantasnya dunia berputar.
Di situ Sakinah mesti terkenang zaman hidup suami isteri yang berjauhan demi kelangsungan hidup berumah tangga.
Dia juga mesti terkenang waktu suara deru dan bunyi siren kereta api menghampiri stesen Chikus pada setiap hujung minggu.
Tentu bukan sekali sahaja Sakinah datang ke Chikus selepas dia meninggalkan pekan kecil itu. Suaminya - sebagai Yang Dipertua PAS - juga sering turun ke Perak termasuk Teluk Anson.
Mungkin ketika itu, Sakinah turun mengiringi suaminya.
Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat dia menanggung rindu.
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

