KOLUM | Ketika PM Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia akan menjemput Presiden Amerika Donald Trump datang ke Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2025 - perbalahan sempadan antara Siam dengan Kemboja sedang berjalan.
Krisis sempadan dua negara ini bermula semenjak 1907 - di zaman kolonial Perancis menjajah Kemboja. Siam tidak berpuas hati dengan sempadan baru yang melibatkan kuil kuno yang kini menjadi wilayah Kemboja.
Pada tahun 1962, Mahkamah Dunia telah membuat keputusan Kuil Preah Vihear menjadi milik Kemboja. Tetapi wilayah di sekitarnya tidak jelas garis sempadan. Inilah bisul yang terus menanah dan menimbulkan perbalahan antara dua negara ini.
Untuk dilihat gedeber sebagai kepala Asean Anwar Ibrahim telah menjalankan perundingan agar Siam dan Kemboja dapat berbaik dan bersalaman.

Berita rundingan Siam-Kemboja ini juga tidak jelas buah butirnya.
Tiba-tiba ketika 'Maharaja' Trump berada di Kuala Lumpur media di Malaysia melaporkan sang maharaja akan menjadi orang tengah untuk mendamaikan Siam dan Kemboja.
Anwar Ibrahim mencilok ke hadapan kamera untuk bergambar bersama 'Maharaja' Trump dan pemimpin Siam dan Kemboja. Anwar Ibrahim menjadi saksi, watak pak pacak yang hebat dalam Perjanjian Damai Siam-Kemboja.
Saya yakin ketika 'Maharaja' Trump di kelilingi oleh tiga perdana menteri Asean pastilah hidung Trump tercium aroma Bankuet Di Raja di Oslo.

Raja Norway sedang merayakan Trump sebagai pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2026. Trump sudah lama berangan-angan dan termimpi-mimpi untuk memenangi Hadiah Nobel.
Ke hulu ke hilir 'si mangkuk' ini telah mendakwa dia telah mendamaikan tujuah buah negara. Negara mana yang didamaikan oleh Trump hanya Guru Nanak sahaja yang maha mengetahui.
Anwar Ibrahim pun ada menyimpan mimpi yang sama. Mimpi untuk menerima Hadiah Nobel. Sayang nama Anwar Ibrahim masih tersenarai ke angka 215 selepas nama Lokman bin Adam.
Hebat. Memang hebat. Anwar Ibrahim sah gedeber besar kepala Asean. Apa yang 'dilecok' (coreng) atas kertas Perjanjian Damai Siam-Kemboja ini Guru Nanak pun tidak tahu.

Bila Anwar Ibrahim berdiri di sebelah 'Maharaja' Trump maka dia dilihat gah oleh 'mak cik dan pak cik' Felda. Justeru jika PRU16 diadakan seminggu kemudian pasti Anwar Ibrahim dapat durian runtuh.
Bayangkan di Ceruk Tok Kun, 'Mak Cik Bedah dan Lebai Budin' tersenyum melihat Perdana Menteri Malaysia bersongkok berjaket berdiri di sebelah presiden Amerika - sosok yang paling berkuasa dalam dunia ini.
Lalu untuk beberapa ketika 'Kak Kiah dan Haji Deraman' dari Ijok terlupa tentang peranan Donald Trump yang telah membekalkan senjata kepada Zionis Netanyahu untuk membantai Arab Palestin di Gaza.
Gambar dalam media sosial dan klip Anwar Ibrahim bersama Trump telah diputar oleh RTM dan TV3 beratus kali. Muak mata melihat pekak telinga mendengar. Nasib baik tidak ada bau keluar dari kaca TV. Jika ada pasti ramai penonton yang keluar muntah hijau.

Semua yang diputar oleh RTM dan TV3 bertujuan untuk memperkukuhkan lagi dongeng tentang kehebatan Anwar Ibrahim yang setaraf sebagai pemimpin dunia.
Untuk seketika nama Saiful Bukhari dan Yusof Rawther lesap ketika 'Maharaja' Trump mencemar duli di Kuala Lumpur.
“.. bila Trump sampai ... kita akan timbulkan perkara Gaza....” Ini jawapan Anwar Ibrahim apabila ada sosok-sosok NGO yang mempertikai kenapa Trump di jemput mencemar duli di Kuala Lumpur.
“... gilo boto Trump ni... Nuar pun dijompot masuk naik kereto Merika... hebat Nuar ini....” Komen dari 'Lebai karim' dari Rembau.

Kehebatan Anwar Ibrahim ini bertambah hebat. Persidangan Asean 2025 di Kuala Lumpur ini bukan macam Persidangan Asean di Jakarta tahun lepas. Di Jakarta tidak ramai pemimpin dunia yang hadir.
Persidangan Asean 2025 sah menobatkan Anwar Ibrahim sebagai pemimpin bertaraf dunia. Dulu Malaysia disamakan dengan Mahathir Mohamad kini sebut Malaysia akan muncul Anwar Ibrahim.
Heboh-heboh Trump selesai. 'Maharaja' Trump hinggap semalam di Kuala Lumpur kemudian terbang ke Tokyo dan berakhir di Korea Selatan.
Bila semua mengenap reda - Kuala Lumpur kembali sedia kala. Semua selesai dua perjanjian telah di lecok. Satu Perjanjian Anwar-Trump untuk Malaysia. Satu lagi Perjanjian Damai Siam-Kemboja.

Rumah sudah siap. Dakwat sudah kering tiba-tiba tukul, pahat, paku mula bersuara. Di Kuala Lumpur heboh kerana Anwar Ibrahim dapat pen daripada 'Maharaja' Trump.
Sementara itu, 'Maharaja' Trump dapat satu trilion ringgit. Saya ulang bukan bilion ringgit tapi trilion ringgit. Ini janji Anwar kepada Trump.
Suara-suara heboh menuduh Anwar Ibrahim menggadai Malaysia pada Trump. Ini bukan bunyi pahat dan tukul yang menghairankan. Apa yang menakjubkan ialah tukul berbunyi dari Jakarta.
Kedengaran bunyi tukul dan pahat daripada SBY - Susilo Bambang Yudhoyono. Ini bukan tukul biasa - ini suara tukul bekas presiden Indonesia. Wow – tidak di sangka bekas presiden ini bersuara.

“..... tidak seharusnya orang luar di jemput untuk menyelesaikan masalah Asean... kita ada pemimpin kita sendiri....” Satu 'duku' untuk Anwar Ibrahim yang menjemput Trump menyelesaikan persengketaan sempadan Siam-Kemboja.
Bunyi tukul dan pahat dari Jakarta ini tidak di balas. Untuk pertama kalinya Anwar Ibrahim dan menteri luar Malaysia senyap.
Biasanya Si Anwar ini akan melompat di hadapan media. Kali ini Anwar Ibrahim masuk ke tempayan beras untuk menikus.
Mungkin Anwar Ibrahim tidak ambil pot kerana ini tukul berkarat. Bambang ini seorang bekas bukan lagi presiden.

Belum pun sempat reda pukulan pahat dari Jakarta tiba-tiba meledak satu bom dari Bangkok. Bom ini lebih hebat daripada ledakan bom yang dibaling oleh YB Hassan Karim dalam Parlimen Kuala Lumpur.
Bom berstatus nuklear ini dilontarkan kepada Anwar Ibrahim oleh jeneral bersara Thailand Rangsi Kitiyangsap. Sosok ini bukan kecik anak. Bekas jeneral. Saya ulang... sosok ini bekas jeneral.
Di Siam, jeneral ialah pemain politik utama. Jika dalam pasukan bola Real Madrid, jeneral Rangsi bertaraf Ronaldo.
“... Anwar ini ‘musuh dalam selimut ... dia spy kepada Amerika’.... Nuar gadaikan hak Siam...”

Wow! Ini tuduhan dari seorang bekas jeneral yang juga ahli politik dari Pasukan Baju Merah.
Pasukan Baju Merah ini ialah kumpulan politik penyokong Thaksin bekas perdana menteri Siam. Thaksin ini pula baru saja diumumkan oleh Anwar Ibrahim sebagai penasihat peribadi.
Bisul makin menanah apabila si jeneral menuduh Anwar Ibrahim 'musuh dalam selimut dan sebagai ajen perisik Amerika'.
Jeneral Rangsi Kitiyansap adalah juga bekas ketua Radio dan Televisyen Tentera Diraja Thailand. Kemarahan sang jeneral berpunca daripada dakwaan bahawa Perjanjian Damai Siam-Kemboja telah itu membenarkan Amerika Syarikat memasuki dan mengganggu kedaulatan ekonomi Thailand.

Tidak cukup dengan tuduhan ini sang jeneral melabel Anwar menggunakan situasi perjanjian tersebut untuk “angkat diri Anwar sendiri.”
Hebat jeneral Siam ini. Dia dapat membaca dengan tepat perangai dan watak sosok yang bernama Anwar Ibrahim.
Klip Tik Tok berbahasa Siam yang ada terjemahan dalam bahasa Melayu telah menular beratus ribu kali.
Jeneral Siam ini juga telah menuduh Anwar Ibrahim sebagai ‘sai suek dalam Asean’. Sai suek dalam bahasa Siam memberi makna pengintip.

Sah dan jelas. Semua jadi terang macam KLCC waktu malam di hujung minggu. Bekas jeneral Siam secara terbuka menuduh Anwar Ibrahim sebagai pengintip Amerika dan bekerja untuk Trump.
Ini bukan bunyi tukul dari Jakarta. Ini bunyi ledakan bom yang meruntuhkan dinding diplomasi.
Pada 7 November 2025 saya petik dari laman RTM jawapan rasmi Mohamad Hasan Menteri Luar Malaysia: "Malaysia menegaskan bahawa tuduhan pengkhianat terhadap Anwar Ibrahim, yang dibuat oleh seorang individu di Thailand, tidak memberi sebarang kesan diplomatik kepada negara.
"Tuduhan yang dibuat oleh jeneral A Rangsi Kitiyansap tersebut hanyalah bersifat pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian mana-mana kerajaan."

"Individu yang membuat dakwaan tersebut merupakan pemimpin parti kecil yang tidak memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya Thailand, dan kenyataan tersebut tidak mempunyai nilai rasmi."
Kah kah kah. Saya ketawa terbahak-bahak bila membaca jawapan ini. Saya ketawa kerana yang dituduh Anwar Ibrahim, kenapa pula yang menjawab Mohamad Hasan. Kah kah kah.
Semua kantoi mantoi. Mat Hasan dakwa ini suara tukul dari parti kecil. Ini bunyi pahat peribadi.
Kemarahan sang jeneral ini terhadap Perjanjian Damai Siam-Kemboja tidak pasti apa butirnya. Apa yang terselit dalam perjanjian ini? Sila tunggu minggu hadapan.
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

