Tujuh daripada lapan jawatankuasa pemandu asal Global Sumud Flotilla adalah bukan Islam. Anggota Muslim ialah Nadir Al-Nuri dari Malaysia. Anggota jawatankuasa daripada kalangan “orang putih” ialah Gretha Thunberg dari Sweden, Ada Colau dari Sepanyol, Mariana Mortágua dari Portugal, dan Susan Sarandon dari Amerika Syarikat - kesemuanya empat orang. Dua orang dari Brazil dan seorang dari Afrika Selatan.
Apabila disebut “orang putih”, maka apa yang dimaksudkan ialah orang Barat yang berkulit putih. Ia merupakan istilah politik dan bukannya biologi warna kulit. Barat pula merujuk pada negara-negara di Amerika Utara, Eropah, Australia dan New Zealand, iaitu kumpulan negara yang menguasai dunia hari ini.
Walaupun di negara Barat terdapat penduduk pelbagai warna kulit tetapi “orang putih” merujuk kepada mereka yang nenek moyangnya berasal dari Eropah. Ada istilah Caucasian yang merujuk pada “orang putih” ini, dan ia mengambil sempena banjaran gunung Caucasus yang terletak di Rusia.
Tetapi orang Rusia, walaupun berkulit putih, tidak dianggap sebagai “orang putih” dalam erti kata Barat. Begitu juga dengan orang Hindustan, Pakistan, Iran, Turki dan Arab tidak dianggap “kulit putih” atau Barat walaupun kulit mereka putih.
Begitu juga dengan orang yang nenek moyangnya yang berasal dari Sepanyol dan Portugis tetapi kini merupakan warga negara-negara Amerika Selatan, mereka dianggap bukan “kulit putih” dan bukan Barat.
Namun begitu, orang Yahudi yang nenek moyang mereka berasal dari suku kaum Khazar di Rusia dianggap “kulit putih” atau Barat. Maka Israel dianggap sebagai sebahagian daripada “kulit putih” dan Barat. Walaupun terdapat orang Yahudi berkulit hitam yang berasal dari Ethiopia.

Pada awal penubuhan Israel pada tahun 1948, Barat adalah pro-Israel. Bukan saja kerajaan mereka tetapi kebanyakan rakyatnya. Majoriti anggota PBB bukan saja mengiktiraf Israel tetapi nenyokong keahliannya dalam badan dunia itu.
Ia walaupun Israel telah melanggar Rancangan Pembahagian Palestin oleh PBB pada tahun 1947 yang menetapkan wilayah Arab dan Yahudi.
Tetapi tentulah orang Arab tidak bersetuju dengan penubuhan Israel. Sebaik saja pihak Zionis mengisytiharkan kemerdekaan dan penubuhan negara Israel, keesokan harinya tentera Transjordan, Syria, Mesir dan Iraq menuju Palestin bagi menguasai kawasan-kawasan Arab.
Perang yang dikenali sebagai Perang Arab-Israel pertama ini menyebabkan banyak orang Palestin dibunuh dan menjadi pelarian. Peristiwa ini dipanggil Nakbah atau bencana.
Dalam perang itu, Israel dapat menguasai banyak kawasan Palestin. Namun begitu Jordan yang bertukar namanya dari Transjordan menguasai Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis.
Mesir pula dapat menguasai Gaza. Pelarian Palestin lari ke Tebing Barat dan Gaza. Satu gencatan senjata dilakukan. PBB mengiktiraf Israel dengan ibu negaranya di Tel Aviv dan Tebing Barat diperintah Jordan, serta Gaza diperintah Mesir. Tetapi tidak ada negara Palestin.
Pada tahun 1949, Israel menyerang Jordan dan menakluki Baitulmaqdis. Mereka kemudian memindahkan ibu negaranya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis. Dunia termasuk Barat tidak mengiktiraf penguasaan Israel ke atas Baitulmaqdis dan memindahkan ibu negaranya. Berkenaan perang Israel, Barat tentunya memihak kepada Israel walaupun mereka tidak merestui penaklukan Baitulmaqdis.
Dengan tertubuhnya Israel, impian Zionis sudah tercapai iaitu orang Yahudi seluruh dunia sudah memiliki negara sendiri. Maka langkah selanjutnya ialah mengisi impian. Maka orang Yahudi di seluruh dunia diundang untuk berhijrah ke Israel, menjadi warga negara dan membuat penempatan.

Namun begitu, Israel hendak juga dijadikan sebuah negara demokratik berbilang kaum, budaya dan agama. Matlamat Zionisme asal hanyalah untuk menubuhkan sebuah negara yang selamat bagi orang Yahudi. Sebagai bangsa cerdik dan bertamadun, maka sistem demokrasi dan sosialis adalah terbaik untuk diwujudkan. Skema sosialisme adalah berbentuk pembinaan perkampungan sama rata, iaitu kibbutz.
Dalam semangat fahaman demokrasi ini, penduduk Palestin dalam sempadan Israel 1948 ditetapkan sebagai warga negara. Mereka dipanggil Arab-Israel dan bukannya orang Palestin. Di kalangan Arab-Israel ini ada yang daripada kalangan Druze, Katolik dan Kristian Ortodoks. Mereka boleh mengundi.
Pada awal penubuhan, parti politik yang menjadi pengasas negara ialah Parti Buruh yang menang pilihan raya dan menjadi kerajaan. Parti Buruh berfahaman sekular, demokratik dan sosialisme. Lawannya adalah Parti Likud yang merupakan nasionalis Yahudi. Terdapat juga Parti Komunis Israel yang kebanyakan anggotanya adalah orang Arab yang turut membela Palestin.
Sementara itu, penduduk Tebing Barat yang terdiri daripada orang Palestin menjadi warga negara Jordan. Tetapi Jordan adalah negara beraja mutlak. Pengasasnya, Raja Hussein Talal memerintah secara mutlak dengan pengiktirafan British dan dunia. Jordan tidak mengamalkan demokrasi dan ia merupakan sebuah begara Arab dan Islam yang toleran dan bersekutu dengan Barat.
Penduduk Gaza pula yang juga merupakan orang Palestin secara automatik menjadi warga Mesir. Mesir pada tahun 1949 adalah sebuah negara beraja dengan Parlimen yang dikuasai oleh parti konservatif, Wafd. Raja Mesir ketika itu ialah Farouk Fuad.

Pada tahun 1952, Revolusi Mesir berlaku dan Raja Farouk digulingkan oleh pasukan tentera pimpinan Mohamed Naguib. Pada tahun 1954, Gamal Nasser yang karismatik menjadi presiden. Dia berfahaman nasionalis kiri Arab dan berjuang untuk penyatuan negara-negara Arab menjadi satu negara besar. Pembebasan Palestin daripada menjadi Israel turut menjadi antara agendanya.
Di peringkat dunia, Mesir bersekutu dengan Soviet Union. Negara komunis telah memihak pada negara-negara Arab apabila mendapati Israel memilih Amerika Syarikat dalam Petang Dingin.
Pada tabun 1958, Mesir dan Syria bergabung menjadi Republik Arab Bersatu (UAR), dengan impian bahawa pada suatu hari semua negara Arab bersatu di bawah sebuah kerajaan yang berpusat di Kaherah. Mesir bukan sebuah negara demokratik. Ia diperintah secara diktator menerusi satu parti dengan dukungan tentera.
Ketika inilah sekutu-sekutu Mesir sering dibawa melawat Gaza. Antaranya ialah tokoh komunis dari Cuba iaitu Che Guevara. Seorang anak muda berfahaman Maois, Norman Finkelstein dari Amerika Syarikat turut pernah mengunjungi Gaza ketika ia di bawah Mesir. Dia sekarang adalah ahli akademik Yahudi Amerika yang terkehadapan dalam berhujah memperjuangkan Palestin.
Pada tahun 1959, pergerakan Fatah ditubuhkan di Kuwait. Seorang bekas pelajar Universiti Kaherah, Yasser Arafat kemudian memimpinnya. Pada tahun 1964, atas usaha Mesir dan Liga Arab maka diwujudkan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Baitulmaqdis dengan Yasser Arafat dan Fatah menguasainya. PLO yang merupakan gabungan banyak pertubuhan Palastin mempunyai matlamat jelas, iaitu untuk menubuhkan negara Palestin.

Tetapi dalam pertarungan adikuasa Amerika dan Soviet Union, PLO menjadi sekutu mereka. Pada tahun 1967 berlaku peperangan antara Arab dan Israel. PLO di barisan depan dengan dibantu Mesir, Jordan, Syria dan Iraq.
Barat tentu memihak dan membantu Israel. Dalam media dunia yang dikuasai Barat dan Yahudi, adalah jelas mereka membela Israel dan melabelkan PLO sebagai teroris.
Dalam perang inilah, Israel dapat menguasai Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis. Mereka juga dapat menakluk wilayah-wilayah Mesir, bukan saja Gaza tetapi Sinai. Mesir di bawah Nasser bukan saja gagal menubuhkan negara Pan-Arab tetapi kehilangan Gaza dan Sinai. Hanya penggantinya, Anwar Sadat dapat mengambil semula Sinai tetapi Gaza tetap terlepas dalam perang tahun 1973.
Akhirnya PLO mengalah. Menurut Perjanjian Oslo pada tahun 1993, negara Palestin dapat diwujudkan di Tebing Barat dan Gaza. Untuk itu, Jordan perlu melepaskan kedaulatannya di atas Tebing Barat dan Mesir melepaskan Gaza. Baitulmaqdis sebagai ibu negara terus menjadi pertikaian Palestin dan Israel.
Namun banyak rakyat Israel dan Palestin tidak dapat menerima Perjanjian Oslo. Parti Buruh kalah dan Parti Likud menang. PLO kalah di Gaza dan Hamas yang menang.
Dalam keadaan ini, Barat masih tetap bersama Israel hinggalah berlaku peristiwa 7 Oktober 2023 apabila Hamas menyerang Israel. Pada awalnya Barat tetap menyokong Israel seperti biasa. Hamas dilihat sebagai pengganas dan bukannya pejuang pembebasan. Media massa Barat seperti biasa memihak kepada Israel.
Tetapi ada tiga perkara yang membuatkan Barat berubah hati dan mahu membela rakyat Gaza. Pertama, genosid yang dilakukan Israel ke atas penduduk Gaza adalah keterlaluan. Kedua, adanya media sosial khususnya, Tik Tok, yang menyiarkan banyak gambaran sebenar mengenai kejadian itu. Ketiga, kesedaran baru mengenai sifat orang Yahudi, atau semacam “neo-anti-semitisme”.
Ia berbeza dengan anti-semitisme. Maknanya, orang Yahudi mempunyai dua sisi. Mereka cerdik dan menjadi penyumbang dan penggerak kepada tamadun dunia. Tetapi pada sisi lain, Zionisme dan Israel sudah menjadi satu kanser kejahatan yang merosakkan dunia dan kemanusiaan.
Maka akhirnya “orang putih” terbuka mata ekoran penderitaan penduduk Palestin Gaza. Banyak kalangan dari Parti Republikan Amerika turut sedar bagaimana Israel menggunakan dana dan cukai yang dibayar mereka untuk pembunuhan rakyat Palestin.
ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

