"Berkata (Balqis): Wahai pembesar-pembesar, berilah pendapat kamu kepadaku dalam urusanku; aku tidak pernah memutuskan sesuatu urusan sehingga kamu hadir menyaksikan bersamaku." (Surah an-Naml: 32)
Ayat ini tidak sekadar catatan sejarah, tetapi satu manifestasi kepimpinan wanita yang bijaksana, berhikmah dan bertanggungjawab. Ratu Balqis, pemerintah Saba', diangkat oleh al-Quran sebagai wanita yang bukan hanya berkuasa, tetapi juga adil, rasional, dan menghormati sistem syura.
Dalam suasana politik dan sosial semasa di Malaysia, kisah Ratu Balqis sangat relevan untuk memperkukuh naratif bahawa wanita bukan sahaja mampu memimpin, malah wajar diberikan ruang dan peluang untuk memakmurkan negara.
Kepimpinan berdasarkan syura dan hikmah
Ratu Balqis menunjukkan contoh kepimpinan yang inklusif. Beliau tidak membuat keputusan secara semberono atau diktator. Sebaliknya, beliau berkata kepada para pembesar, "Berilah pendapat kamu kepadaku dalam urusanku."
Ini jelas menunjukkan amalan musyawarah yang menjadi sebahagian daripada prinsip asas dalam Islam dan demokrasi diterapkan sedari awal.
Dalam konteks Malaysia, pemimpin yang mengamalkan syura adalah pemimpin yang menyantuni suara rakyat. Kepimpinan wanita hari ini perlu didukung dengan budaya ilmu dan keterbukaan terhadap pandangan orang lain.
Hakikatnya, Malaysia bahkan dunia memerlukan lebih ramai pemimpin seperti Ratu Balqis yang berani memimpin tetapi tetap rendah hati untuk bermesyuarat.
Al-Quran tak tolak kepimpinan wanita
Apa yang menariknya, Al-Quran tidak pernah mencela Ratu Saba’ ini kerana beliau seorang wanita. Sebaliknya, tindakan-tindakannya diperincikan secara positif, antaranya ialah beliau bijak membaca situasi, tidak mudah melatah, dan tahu ketika bila ia perlu tunduk kepada kebenaran (sebagaimana di waktu beliau menerima kebenaran daripada Nabi Sulaiman).
Ini menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa Islam menolak kepimpinan wanita secara sepenuhnya.
Justeru, dalam konteks Malaysia, kenyataan ini sangat penting untuk memperbetulkan tanggapan atau persepsi masyarakat bahawa wanita ‘tidak sesuai memimpin’ atau ‘lebih baik di belakang tabir.’ Kerana kisah Balqis membuktikan sebaliknya.
Kepimpinan strategik, tak terburu-buru
Ratu Balqis tidak bertindak melulu setelah menerima surat daripada Nabi Sulaiman. Beliau menganalisis maklumat, bermesyuarat, dan memilih untuk menggunakan kebijaksanaan diplomatik berbanding kekerasan. Ini satu bentuk ‘soft power’ dalam diplomasi yang dirinya miliki.
Malaysia sebagai negara pelbagai kaum dan agama memerlukan lebih ramai pemimpin yang mampu mendengar, meneliti dan bertindak secara matang, realistik dan bukan berdasarkan emosi atau tekanan politik.
Sebagaimana wanita sering dikaitkan dengan empati, kesabaran dan kehalusan diplomasi ciri yang amat diperlukan dalam politik beradab.
Teladan Balqis dalam membina negara Madani
Negara Madani ialah negara yang berteraskan nilai: rahmah, syura, keadilan dan ilmu. Secara jelasnya, semua nilai ini ada pada kepimpinan Ratu Balqis.
Oleh itu, untuk membina Malaysia sebagai baldatun thoyyibatun wa rabbun ghafur, negara seharusnya membuka lebih banyak ruang kepada wanita untuk menyumbang dalam politik, pendidikan, ekonomi dan juga dakwah.
Menghalang wanita yang berilmu dan berintegriti daripada memimpin bukan sahaja melanggar prinsip keadilan, bahkan mencanggahi tuntutan maqasid syariah.
Simbol keseimbangan
Walaupun berstatus ratu, Balqis tidak sombong. Beliau tidak menolak kebenaran apabila melihat mukjizat Nabi Sulaiman, malah mengakui kesalahannya dan tunduk kepada kebenaran.
Ini menunjukkan bahawa pemimpin yang baik bukan sahaja tegas, tetapi juga sedia untuk mengubah pendirian apabila kebenaran terbukti. Inilah ciri kepimpinan yang Malaysia perlukan.
Sama ada lelaki atau wanita, kita perlukan pemimpin yang jujur dengan realiti dan berani mengaku salah, demi rakyat dan negara.
Pengajaran untuk politik Malaysia
Penglibatan wanita masih rendah iaitu kurang 15 peratus dalam parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Kepimpinan wanita sering dihadkan kepada peranan sosial dan kebajikan, sedangkan mereka juga mampu memimpin dalam ekonomi, keselamatan dan teknologi.
Wacana patriarki agama yang masih kuat berakar, menyebabkan ramai wanita berkelayakan lagi berkompetensi tidak diberi peluang hanya kerana jantina.
Kisah Balqis mengajar kita untuk menilai pemimpin bukan berdasarkan jantina, tetapi kebijaksanaan, ketelusan dan keberanian dalam membuat keputusan yang maslahat untuk rakyat.
Apa yang perlu Dilakukan?
Reformasi budaya politik: Parti politik perlu membuka ruang kepada wanita untuk bertanding di kerusi-kerusi strategik.
Pendidikan kepimpinan awal: Wanita muda perlu dibimbing sejak di universiti dan sekolah dalam latihan kepimpinan.
Naratif agama yang membina: Pendakwah dan institusi agama perlu membawa naratif positif tentang wanita dalam al-Quran dan sejarah Islam, termasuk kisah Balqis.
Malaysia perlu ramai lagi Ratu Balqis
Kisah Ratu Balqis adalah kisah yang dilakarkan Allah SWT untuk hambanya jadikan pedoman. Dalam zaman penuh kegawatan ini, Malaysia memerlukan lebih ramai pemimpin yang berani, cermat, berhikmah dan tidak gentar menyambut kebenaran, walau siapa yang menyampaikannya.
Perlu diketahui, wanita bukan ancaman kepada kestabilan politik. Wanita adalah penawar kepada kekalutan politik.
Seperti Ratu Balqis, wanita Malaysia boleh menjadi penggerak perubahan. Seterusnya, jika diberi ruang dan diberi kepercayaan amanah dan tanggungjawab itu perlu dilunasi dengan sebaiknya.
Inilah waktunya untuk kita bukan sekadar menceritakan kisah Balqis kepada anak-anak generasi kita, tetapi menghidupkan semangatnya dalam pentadbiran negara.
Kerana, wanita tidak harus sekadar diceritakan, mereka harus diberi peluang untuk mencipta ceritanya.
ATRIZA UMAR felo di Nusantara Academy for Strategic Research (NASR).
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

