Saya masih ingat lagi tahun 1980 – ketika itu saya adalah pendatang haram di Pakistan. Saya tinggal di Karachi. Awalnya saya menumpang dengan mahasiswa Patani di No 4 Asrama Antarabangsa, Universiti Karachi. Kemudian saya pindah ke B52 Haque Bahu Plaza, University Road, Karachi.
Tapi bukan cerita hidup pendatang haram di Pakistan yang hendak saya tulis.
Apa yang ingin saya rakamkan ialah suasana politik tahun 80-an di Pakistan yang bersangkutan dengan bom nuklear. Ketika saya menjadi pendatang haram di Pakistan, bekas presiden Ali Bhutto dalam penjara. Pakistan berada bawah pentadbiran askar.
Jeneral Zia-ul-Haq merampas kuasa dari Bhutto pada tahun 1977. Kemudian Jeneral Zia memanggil dirinya chief martial law administrator (ketua pentadbir kerajaan askar). Gelaran ini diguna pakai sebelum Jeneral Zia menabal dirinya sebagai presiden Pakistan pada tahun 1978.
Dari segi sejarah Pakistan, tentera terus menjadi pentadbir negara ini. Republik Islamik Pakistan mendakwa sebagai negara pengamal demokrasi berparlimen. Ada mengundi dan ada pilihan raya umum. Tetapi kerajaan sivil tidak pernah melintasi satu penggal, tidak lebih dari empat tahun berkuasa. Tentera sentiasa merampas kuasa dan mengambil alih pentadbiran.
Kenapa ini berlaku?
Ini berlaku kerana Pakistan sentiasa berperang dengan India. Kali pertama tahun 1947-48 ketika Pakistan berpisah dari India. Kali kedua tahun 1965, kali ketiga tahun 1971 ketika Pakistan Timur pecah untuk menjadi Bangladesh. Tahun 1999 perang sekali lagi kerana Kashmir. Kali akhir Perang Empat Hari pada Mei 2025. Perang terbaru ini juga berpunca dari Kashmir.
Ketika Jeneral Zia-ul-Haq merampas kerajaan dari Zulfikar Ali Bhutto, saya mendengar desas-desus bahawa Bhutto dijatuhkan kerana dia sedang merancang untuk membuat bom nuklear untuk Pakistan.
Ketika itu, saya terbaca bahawa media Barat menuduh Pakistan sedang membuat islamic bomb. Fasiliti nuklear ini di Kahuta tidak jauh dari Rawalpindi, pusat tentera Pakistan.
Wajib diberitahu bahawa India–musuh Pakistan– meledakkan bom nuklear pada 18 Mei 1974. Pada tarikh ini dunia mengetahui bahawa India memasuki kelab eksklusif pemilik bom nuklear.
Setelah India meledakkan bom nuklear di Rajasthan, dunia hanya menunggu bila pula Pakistan akan meledakkan bom yang sama.
Di sebelah Pakistan ialah Iran. Di sebelah Iran ialah Iraq. Di sebelah Iraq ialah Israel. Negara yang bernama Israel ini telah memiliki bom nuklear sejak setelah Perang Arab-Israel tahun 1967. Israel dibantu oleh Perancis untuk membina fasiliti tenaga nuklear dan kemudian berupaya memperkayakan uranium untuk membuat bom nuklear.
Israel tak tandatangan perjanjian nuklear
Hari ini, dari maklumat Wikipedia, Israel dikatakan memiliki 90 buah bom nuklear.
Israel tidak menandatangani Perjanjian Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Ertinya Israel bebas untuk melakukan apa sahaja yang bersangkutan dengan tenaga nuklear. Fasiliti nuklear Israel bertempat di Dimona dalam padang pasir Negev.
Dasar Israel ialah: Tidak mengakui memiliki bom nuklear dan dalam masa sama tidak menafikan memiliki bom ini. Strategi ini bertujuan untuk terus memberi ketakutan kepada negara-negara Arab di sekeliling Israel.
Pemimpin negara Arab seperti Muammar Gaddafi dan Saddam Hussein sedar akan bahaya bom nuklear milik Israel. Untuk negara Arab, bom nuklear milik Zionis ini akan terus mengancam negara mereka.
Justeru, masuk akal sebagai pertahanan, negara-negara Arab ini juga mahu memiliki bom nuklear. Dari segi teori, jika sesebuah negara ada memiliki bom ini, maka tidak ada negara lain yang akan berani mengancam.
Justeru, Muammar Gaddafi dari Libya membina fasiliti tenaga nuklear. Begitu juga Saddam Hussein dan Hafiz al-Assad juga mahu memiliki bom yang sama.
Fasiliti nuklear ini asasnya ialah untuk mengeluarkan tenaga elektrik untuk kegunaan sivil. Tapi dari sampah lebihan uranium ini boleh diperkayakan untuk menjadi bom.
Perang 12 Hari yang baru selesai memperlihatkan bagaimana pesawat F-35 Amerika datang mengebom dan memusnahkan fasiliti nuklear Iran di Fordo, Natanz, dan Isfahan.
Presiden Donald Trump mendakwa semua fasiliti nuklear Iran hancur lebur dan musnah. Justeru, rancangan nuklear Iran gagal. Apa yang didakwa oleh Trump ini terus dipertikaikan oleh media Amerika.
The New York Times memperlekehkan kenyataan Trump. Mengikut maklumat yang diambil oleh akhbar ini, bahan-bahan nuklear Iran sudah berpindah lama ke wilayah yang lebih selamat. Justeru, projek nuklear Iran hanya terganggu untuk beberapa bulan.
Hakikatnya seperti kenyataan tuan speaker Iran: "Ilmu pengetahuan tidak akan dapat dimusnahkan oleh bom."
Kita lihat dan tunggu apa yang akan Iran lakukan seterusnya. Ketika ini, Iran tidak mahu lagi terikat dengan Perjanjian IAEA. Malah, Iran juga enggan mengadakan perundingan tentang tenaga nuklear dengan Amerika.
Israel akan serang Pakistan?
Seyogia diberitahu bahawa Israel pasti mengetahui apa yang sebenarnya terjadi kepada fasiliti nuklear Iran. Tali barut Israel dalam Iran dan Mossad pasti mengetahui hakikat yang sebenarnya.
Dalam masa yang sama, jika sah dan sahih apa yang didakwa oleh Trump, tidak semestinya Israel akan selamat. Di sebelah Iran ialah Pakistan. Negara ini sah dan sahih memiliki bom nuklear. Dari fakta risikan hari ini, Pakistan memiliki 170 hingga 200 buah bom nuklear.
Dalam temu bual dengan CNN pada 2011 yang diambil dari portal CJ Welerman Show, Netanyahu berkata:
"Our great mission, we must prevent a militant Islamic regime from meeting up with nuclear weapons, or nuclear weapons meeting up with a militant Islamic regime. The first is called Iran, the second is called Pakistan."
Justeru, persoalan hari ini: apakah Israel juga akan menyerang Pakistan? Ini kerana Pakistan ialah Republik Islamik Pakistan – negara Islam.
Media Barat selalu menulis bahawa Pakistan dikatakan memiliki islamic bomb. Walhal, Israel tidak dituduh memiliki bom Yahudi atau India memiliki bom Hindu atau Amerika tidak dituduh memiliki bom Kristian.
Jelas, secara halus, propaganda untuk menumpaskan dan menyerang Pakistan telah lama bermula. Hari ini, umum mengetahui bahawa kumpulan Zionis-Kristian bersama kumpulan Hindu melobi pentadbiran Trump untuk melakukan sesuatu terhadap Pakistan.
Kumpulan-kumpulan Hindu di India kini mengeluarkan propaganda bahawa Pakistan adalah negara yang menaja dan memberi dana terhadap kumpulan pengganas yang memakai jubah Islam.
Kalau Iran dituduh mendukung pengganas Palestin, Pakistan pula dituduh menyokong pengganas dari Kashmir. Hujah ini diperkuatkan lagi dengan bukti bahawa sebelum dibunuh, arwah Osama bin Laden disorokkan dengan selamat di Pakistan.
Dasar Zionis-Israel ialah tidak akan membenarkan negara Islam memiliki bom nuklear. Dari segi fakta sejarah, Israel mengebom fasiliti nuklear Iraq pada tahun 1981. Pada 2003, Libya memusnahkan fasiliti makmal nuklear sendiri hasil tekanan Amerika. Pada 2018, Israel mengakui mengebom dan memusnahkan fasiliti makmal nuklear Syria pada tahun 2008.
Perlu diberitahu bahawa pada tahun 1981, Israel memiliki satu rancangan khas untuk memusnahkan fasiliti nuklear Pakistan yang terletak di Kahuta.
Ada kerjasama Israel dengan India dalam usaha untuk memusnahkan fasiliti Kahuta ini. India membenarkan pesawat F-16 Israel untuk berlabuh dan mendarat di India untuk menyerang Pakistan. Operasi ini dikenali sebagai Operation Shakti. Tentera Israel yang akan mengambil bahagian dalam operasi ini dilatih di India.
Amaran Jeneral Zia
Rancangan jahat Israel dan India ini telah dicium oleh lembaga risikan Pakistan. Ini berlaku di zaman pentadbiran Jeneral Zia.
Justeru, Jeneral Zia memberi amaran kepada Israel:
"If you strike at Kahuta, we will strike at Dimona.” (Jika kamu bom Kahuta, kami akan bom Dimona.)
Jeneral Zia juga memberi amaran kepada India: Jika Israel mengebom Kahuta, Pakistan akan menyerang India. Kata-kata keras dari Jeneral Zia ini menakutkan India. Tanpa sokongan India kepada Israel, projek mengebom Kahuta ini tidak akan berjaya. Maka, Operation Shakti ditamatkan.
Tetapi projek untuk memusnahkan Kahuta dan memastikan tidak ada negara Islam memiliki bom nuklear terus berjalan hingga ke hari ini. Badan pelobi, lembaga pemikir, dan kumpulan Zionis Kristian yang bersarang di Washington terus mengeluarkan propaganda bahawa bom Islam Pakistan ini satu masa nanti akan jatuh ke tangan ekstremis atau pengganas Islam.
Setelah Perang 12 Hari ini tamat, kelihatan Zionis-Israel mengarahkan perancangan mereka terhadap Pakistan. Israel kini melihat peluang terbuka luas untuk memusnahkan apa yang disebut islamic bomb. Pada ketika ini, Pakistan dalam keadaan huru-hara.
Kerajaan tentera yang korup memenjarakan Imran Khan yang terpilih oleh rakyat. Dalam masa yang sama, ekonomi Pakistan dalam keadaan yang merosot. Ditambah pula oleh pukulan malapetaka banjir.
Saya yakin ketika ini Mossad sedang merancang dan mengenal pasti para saintis nuklear Pakistan, para jeneral berpengaruh, dan para pemimpin politik Pakistan. Alamat dan tempat tinggal mereka dimasukkan ke dalam data yang akan digunakan tidak lama lagi.
Apakah Israel akan menyerang Pakistan?
Jika mengikut pandangan Netanyahu, Pakistan sama bahayanya dengan Iran. Justeru, kita tunggu dan lihat apa yang akan dilakukan oleh Israel terhadap Pakistan. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

