malaysiakini logo
story-image
ADS

KOLUM | “Kenapa semasa pemilihan bola sepak hari tu kamu tak datang?”

“Saya nak datang cikgu, tapi saya tak boleh. Lepas sekolah saya kena balik terus, bantu mak kerja.”

Dialog itu berlaku di tepi padang sebuah sekolah sewaktu murid-murid lain sibuk menjalani latihan sukan tahunan. Kata-kata bersahaja itu membuka mata dan kuat menggoncang jiwa aku.

Murid yang aku tanya itu baru 13 tahun usianya, tapi penuh semangat dan bertenaga. Gerakan tubuhnya semasa berlari, melompat, menukar arah – semua cukup kemas dan meyakinkan.

Dia seolah-olah memang dilahirkan sebagai atlet semula jadi.

Tapi bakatnya terbantut. Bukan kerana tiada keinginan, tapi kerana tuntutan hidup lebih mendesak daripada impian peribadi. Dia bukan malas dan tak berminat, cuma tak berpeluang.

Waktu itu aku terdiam. Rasa sayu menyelinap perlahan-lahan ke dalam dada.

Dalam dunia sukan yang selalu sibuk mengejar nama dan kejuaraan, aku sedang berdepan dengan seorang murid yang terpaksa melepaskan impiannya demi membantu keluarga.

Mudah sangat menghukum

Cerita tentang bakat yang terkandas kerana desakan hidup ini bukan terpencil. Ramai guru dan jurulatih pernah lalui kisah serupa. Apa yang membezakan hanyalah wajah dan latarnya.

Anak-anak yang lahir dalam keluarga kurang berkemampuan sering memendam minat, mengorbankan peluang dan menangguhkan cita-cita demi membantu keluarga yang bergelut untuk terus hidup.

Dalam masyarakat, kita sering dengar ungkapan seperti “usaha tangga kejayaan”, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan” atau “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.

Peribahasa itu kedengarannya penuh motivasi dan semangat. Tapi siapa yang benar-benar membuka mata dan hati untuk melihat bahawa kata-kata itu tidak semestinya menepati realiti hidup semua orang?

Gambar hiasan

Kita juga terlalu mudah menjatuhkan hukum. Kita kata semua orang miskin ini pemalas, pengotor dan menjadi beban masyarakat. Kita anggap anak-anak mereka tidak berdisiplin dan tiada masa depan.

Itulah stereotaip yang berakar dalam masyarakat apabila kita gagal memahami realiti kitaran kemiskinan

Sedangkan hakikatnya, ada antara mereka tidak dapat bermula dari garis yang sama seperti orang lain. Mereka bukan tidak mahu, tetapi sistem tidak memberi mereka peluang yang adil untuk mendaki ke puncak.

Dalam aspek pelajaran, anak-anak daripada keluarga tidak berkemampuan belajar dalam ruang sempit, tiada meja, tiada gajet, tiada internet dan tiada siapa yang membimbing di rumah.

Sedang gigih di rumah

Lebih menyedihkan, ada yang membesar dalam persekitaran toksik – ibu bapa sering bertengkar, adik-beradik bermasalah, ada yang menjadi mangsa amang seksual, malah tinggal pula di kawasan kejiranan dikelilingi jenayah.

Namun mereka masih gagahkan diri ke sekolah. Apabila mereka dapat markah ‘C’ atau ‘D’, masyarakat pantas melabel mereka sebagai malas, bodoh dan tak bermotivasi.

Sedangkan markah ‘C’ itu hakikatnya bukan tanda kelemahan, tetapi simbol ketabahan. Ia dicapai hasil perjuangan yang luar biasa, bukannya seperti murid yang dibesarkan dalam suasana dan persekitaran yang serba cukup.

Begitulah juga dalam sukan. Apabila seorang murid tidak hadir latihan petang, kita terus anggap dia tidak komited. Apabila dia tak datang pemilihan, kita sangka dia tidak minat.

Tetapi berapa ramai yang tahu, mungkin ketika guru gigih melatih di padang, murid yang kita anggap pemalas atau tidak komited itu sebenarnya sedang gigih membantu ayah di ladang atau menjaga adik-adik di rumah.

Sebab itu aku percaya, sukan adalah ruang yang cukup besar untuk membentuk manusia. Ia bukan hanya tentang menang atau kalah, tapi tentang mendidik nilai-nilai murni terutama disiplin.

Disiplin pula bukan sesuatu yang harus dipaksa, tetapi sebenarnya perlu dibentuk. Kalau tidak, masakan wujud peribahasa, “melentur buluh biarlah dari rebungnya.”

Murid yang hadir latihan tepat waktu, patuh pada arahan jurulatih, menjaga diri dan memimpin rakan sepasukan – dia sedang membentuk watak besar dalam diri sendiri. Disiplin itulah yang akan dibawa ke kelas, dewan peperiksaan dan seluruh jalan hidupnya.

Kita juga perlu berlaku jujur bahawa dunia sukan di sekolah bukanlah seadil yang kita harapkan. Dalam sebilangan kes, pemilihan pemain tidak lagi berpaksikan bakat, tetapi lebih kepada siapa murid itu.

Ada murid yang hadir latihan tanpa gagal, berpeluh setiap petang, namun tetap tersisih. Sedangkan seorang lagi – anak kepada ‘seseorang’ – hanya hadir sekali dua, tapi terus mendapat tempat sebagai pemain utama.

Mampu terbang lebih jauh

Padang sekolah mula menjadi tidak rata. Yang dipilih bukan yang paling rajin atau berbakat, tapi yang ada nama keluarga. Maka murid mula belajar satu perkara yang pahit bahawa usaha belum tentu mengatasi pengaruh.

Sekolah harus menjadi tempat yang percaya sepenuhnya kepada potensi setiap murid tanpa mengira latar belakang. Di situlah ruang yang masih terbuka untuk anak-anak dari golongan terpinggir boleh mencabar diri dan diangkat menjadi ikon sekolah.

Sukan adalah ruang untuk murid melepaskan tekanan, membina harga diri dan rasa bernilai. Ada murid datang ke padang bukan untuk menang, tapi untuk lari sekejap dari sempitnya hidup.

Apabila berlari, dia rasa bebas. Apabila dia menyepak bola, dia melepaskan beban. Janganlah kita sekat ruang itu hanya kerana kekangan masa atau tiada kemampuan kewangan.

Sudah tiba masanya kita perhalusi semula pendekatan pembangunan sukan di sekolah. Mungkin dengan sedikit sokongan, ruang dan kepercayaan, mereka mampu pergi lebih jauh daripada apa yang kita pernah jangka.

Kita perlu rombak cara fikir dan tindakan. Tugas guru bukan sekadar mengajar atau melatih, tetapi membuka jalan untuk anak-anak yang selama ini tidak diberi peluang, tidak dipandang dan tidak pernah ditanya apa yang mereka impikan.

“Cikgu, nanti saya tanya mak saya dulu. Kalau mak saya izinkan, petang ni saya datang sertai latihan.”

Aku yang sejak tadi mengelamun, ditegur semula oleh murid berkenaan. Tanpa sedar, bibirku mengukir sedikit senyuman.

Ia senyum seorang guru yang tahu, mungkin inilah titik mula yang akan mengubah hidup seorang anak dan keluarganya.

Bagi sesetengah murid, sukan mungkin sekadar hobi. Tetapi bagi sebahagian yang lain, ia adalah satu-satunya talian hayat untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.


NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen