KOLUM | “Kau semua pengampu. Pengampu orang kaya!”
Tersebutlah kisah di sebuah negeri bernama Jaya Kelana - wilayah yang kononnya makmur, namun pada hakikatnya digenggam oleh mereka yang ghairah akan gelaran, bukan tanggungjawab.
Pada suatu ketika, wujudlah seorang panglima tua bernama Tun Seri Indera Segara yang sudah bertahun-tahun lamanya menjadi nakhoda, penjaga panji dan penghulu segala putus kata.
Tidak lama sebelum dia melepaskan kuasa, sekalian rakyat pernah digemparkan dengan suatu peristiwa yang ganjil lagi menghairankan.
Sebilangan pahlawan dari Jaya Kelana dihantar beradu kekuatan antara hulubalang-hulubalang terhandal dari serata negeri di seluruh pelosok dunia.
Tatkala tiada seorang pun daripada armada tentera pimpinan Tun Seri Indera Segara layak ke gelanggang pertempuran sebenar, dia tetap diangkat memimpin rombongan besar ke negeri asing nun jauh di Eropah.
“Kenapa dia yang mengetuai?” bisik rakyat.
“Kerana dia ada nama,” sahut pengampu.
‘Yang mustahak ialah negeri’
Maka berdirilah Tun Seri Indera Segara di anjung kehormatan, dengan sorak-sorai yang bukan kerana kebolehan, tetapi dek kerana gelaran yang bergantungan dan melekat di dada.
Ternyata percaturan di gelanggang jauh di atas angin itu sia-sia. Pingat yang diharapkan tidak pun tergapai, apa lagi tersurat dalam kitab kemenangan. Maka pulanglah pembesar itu tanpa menjulang apa.
Anehnya dia masih dipuja seolah-olah telah menawan dunia.
Setelah bertahun-tahun mengemudi di medan, memegang panji dan menentukan haluan, beliau pun mengumumkan pengundurannya.
Katanya dengan nada rendah hati: “Cukuplah... kini tiba masa untuk orang muda mengemudi bahtera. Aku tidak mustahak, yang mustahak ialah negeri ini terus maju.”
Rakyat pun bersorak gembira, mengira inilah fajar perubahan.
“Akhirnya, angin baharu akan bertiup di Jaya Kelana. Pemimpin baru, hala tuju baru!” jerit mereka dengan penuh harapan.
Para pengampu pun tunduk kononnya setuju. Dihimpunkan segala orang tua dan muda untuk menentukan haluan. Sebagai simbolik, pinggan kosong pun diletakkan di tengah balairung - tanda perubahan bakal bermula.
Datang pula bau gulai lama
Arakian, diangkatlah seorang panglima yang baru, Dato Lela Pujangga namanya - konon untuk melakar ramuan segar di atas pinggan kosong yang ditinggalkan. Masa depan Jaya Kelana kini bertimpa di atas pundaknya.
Sebelum pergi, Tun Seri Indera Segara sempat menitipkan sepucuk wasiat: “Jangan bimbang, aku tidak akan jauh. Jika kalian perlukan apa-apa, aku tetap ada di balik tirai. Aku tidak akan lagi berkuasa, hanya menyokong dari sisi.”
Maka para pengampu pun menulis ayat itu di dinding balairung istana, ditatah dengan dakwat emas sambil dihias dengan potret sang panglima tua.
Mereka tidak melihatnya sebagai peringatan, tetapi sebagai perintah. Wasiat itu menjadi semacam kitab kecil yang dibaca beramai-ramai.
Maka suara yang sepatutnya mencetuskan kebebasan pewaris, bertukar menjadi mantera untuk mengunci akal mereka sendiri.
Belum sempat lauk baru dimasak dan dihidang, datang semula bau gulai lama. Pinggan yang sepatutnya diisi dengan ramuan segar, kembali dihidang dengan resepi lama.
“Di mana perubahannya? Bukankah sudah dilantik kepimpinan baru?” rakyat mula tertanya-tanya.
Tidak disangka, bayang yang disangka telah berlalu kembali menyusup masuk perlahan-lahan. Tun Seri Indera Segara muncul semula.
Kali ini bukan sebagai panglima, tetapi ditatang sebagai “Panglima Kehormat”, satu gelaran tanpa kuasa, tetapi masih berhak duduk di meja musyawarah, menghulur bisikan kepada telinga penguasa muda.
Tiada seorang pun dalam kalangan para pembesar yang berani menyanggah lantikan itu. Semuanya mengangguk, bukan kerana yakin, tetapi kerana terbiasa tunduk.
Tiada suara yang menyoal, tiada lidah yang mengingatkan akan perlunya pewaris membina haluan sendiri. Yang ada hanyalah barisan pengampu yang memusing ayat agar kelihatan bijak: “Pengalaman lama itu mutiara, jangan dibuang.”
Atau: “Tanpa dia, bahtera kita akan hanyut,” dan “negeri ini perlukan kesinambungan.”
Manusia tetap sama
Maka menjadi sahihlah bahawa Jaya Kelana bukan hanya dirasuk oleh satu bayang-bayang, tetapi oleh satu budaya - iaitu budaya mengampu, membodek dan menjilat yang mengangkat semula jasad lama atas alasan ‘kesinambungan’.
Berkatalah Dato Lela Pujangga: “Tiada pertindihan kuasa. Ia hanya nasihat. Hanya pandangan. Hanya nilai tambah.”
Para pengampu pun menjunjung kenyataan itu bagaikan wahyu. Barisan pembesar seperti Dato Bentara Angguk, Tunku Juak Manis Lidah dan Dato’ Indera Pantang Puji pun bersorak di balairung.
“Tun Seri bukan berkuasa, Tun Seri cuma membawa kuasa!”
Lalu mereka pun menyua mangkuk ke bawah meja agar apa-apa yang tertumpah dari pinggan utama, dapat mereka tadah dan jilat lebih dahulu.
Walau zaman berganti, manusianya tetap sama. Mereka tidak mahu pinggan kosong - bukan kerana tiada daya untuk mengisi, tetapi kerana takut tiada apa lagi yang boleh mereka jilat.
“Jika benar sudah berubah, mengapa yang lama masih bertakhta di sisi?” Rakyat terus tertanya-tanya. Namun suara mereka tidak menembusi dinding balairung istana.
Di luar sana, tempat duduk gelanggang makin sepi, harga masuk ke medan tontonan terus dinaikkan, dan peta haluan yang digantung megah di dinding istana hanyalah menjadi hiasan - tidak pernah dibuka, dibaca, apatah lagi disemak semula.
Maka pewaris bukan lagi perancang, hanya tukang rasa yang menghidang lauk basi dengan hiasan daun segar.
Di dalam istana, para pembodek semakin rancak bersilat lidah.
"Kita perlukan pengalaman lama, barulah yang baru tak sesat arah.” Padahal yang lama itulah yang pernah membawa kapal tersasar ke beting bermasalah.
Begitulah nasib Jaya Kelana - pinggan kuasa silih berganti, namun lauknya tetap sama. Siapa yang cuba merencana ramuan sendiri, akan diusir konon tiada darjat atau jaringan luar negeri.
Dan dalam gelak sorak yang palsu itu, suara Pendekar Mustar bergema semula: “Pengampu orang kaya!”
Rakyat pun sedar - perubahan sebenar bukan tentang siapa duduk di kerusi utama, tetapi siapa yang berani menendang keluar budaya membodek dan mengampu dari istana.
NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.
Tulisan ini sekadar rekaan dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

