malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya membesar di bumi Malaysia yang hijau dan harmoni, ribuan desa dan ratusan pekan kecil yang disapa Azan saban waktu. Namun saya mengaku dengan rendah hati—bahawa sepanjang usia muda saya, erti Hari Asyura hanya saya kenal melalui semangkuk bubur Asyura yang ditanak bergilir-gilir di masjid kampung.

Dalam aroma santan dan beras pulut yang menyatu dengan kacang hijau, labu, jagung, dan pelbagai jenis ubi, itulah satu-satunya wajah yang saya kenali tentang 10 Muharam. Saya tahu ia istimewa, tetapi istimewa yang kabur, kerana pemahaman saya tentangnya terbatas hanya kepada tradisi, bukan makna.

Kemudian saya dewasa dan merantau jauh. Riyadh menjadi tempat saya bertatih dalam profesionalisme, dan Dubai menjadi gelanggang saya menganyam kerjaya dan cita-cita. Di kedua-dua kota padang pasir yang canggih dan penuh paradoks ini, saya mula menyedari bahawa ʿAsyura bukan sekadar semangkuk bubur. 

Ia adalah tapak luka sejarah, dan sekaligus mimbar pengajaran yang mendalam tentang nasib umat Islam, tentang perpecahan, dan tentang tafsiran terhadap kebenaran yang sama—tetapi dilihat dari sudut yang tidak sama.

Satu agama, dua pandangan

Islam itu satu. Kitabnya satu. Nabinya satu. Namun sejak wafatnya Rasulullah SAW, jalan-jalan pemahaman terhadap kesinambungan kepimpinan dan tafsiran ajaran telah bercabang. Sunni dan Syiah bukan dua agama berbeza, tetapi dua mazhab besar dalam Islam dengan pendekatan sejarah dan amalan yang berbeza.

Ahli al-Sunnah wal Jamaaah atau Sunni, adalah mazhab majoriti dalam dunia Islam, termasuk di Malaysia, Arab Saudi, Mesir dan Turki. Sunni menerima bahawa selepas wafatnya Rasulullah SAW, kepimpinan umat diteruskan oleh para Khalifah al-Rasyidin – Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali – mengikut proses syura dan ijmak umat. Mereka lebih menekankan kesatuan ummah, penghindaran konflik dalaman, serta memberi keutamaan kepada kesepakatan sahabat.

Hari Asyura dalam kalangan Sunni pula dilihat sebagai hari Nabi Musa AS diselamatkan daripada firaun, dan puasa 10 Muharam disunnahkan oleh Rasulullah SAW sebagai tanda syukur kepada Allah. Tidak ada ratapan, tidak ada tangisan, hanya puasa sunat, doa, dan amal kebajikan.

Syiah pula berasal daripada istilah shi‘at Ali – kumpulan pendukung dan pencinta Ali bin Abi Talib RA. Bagi Syiah Imamiyah (mazhab Syiah terbesar), mereka percaya bahawa imamah – kepimpinan umat selepas Rasulullah SAW – adalah hak keturunan Nabi melalui Saidina Ali dan Fatimah az-Zahra. Bagi mereka, penafian terhadap hak ini menyebabkan rentetan tragedi dan penindasan terhadap Ahlul Bait.

Sambutan 10 Muharam di Bangladesh oleh penganut Syiah, gambar hiasan

Peristiwa paling mendalam bagi Syiah berlaku pada 10 Muharam tahun 61H (680M), apabila Imam Husin RA, cucu kesayangan Rasulullah SAW, terbunuh di Karbala dalam pertempuran tragik melawan pemerintahan Yazid bin Muawiyah. Maka Asyura dalam kalangan Syiah menjadi hari duka utama. Hari ratapan, puisi dukacita, dan syair-syair Karbala.

Pengalaman di dunia Arab

Saya tinggal hampir dua dekad di dua wilayah utama Sunni: Riyadh dan Dubai. Di Riyadh, hari Asyura datang dan pergi tanpa riuh, tanpa bubur, dan tanpa perarakan. Ia hanya hadir dalam khutbah Jumaat yang membicarakan tentang puasa sunat dan pengampunan dosa setahun yang lalu. 

Di Dubai pula, situasinya lebih kompleks. Di celah menara-menara kaca dan masjid-masjid bersejarah, terdapat juga komuniti Syiah minoriti – dari Iran, Lubnan, India dan Pakistan – yang menyambut Asyura secara tertutup.

Saya tidak pernah menyaksikan ratapan terbuka atau perarakan dramatik di jalan-jalan Dubai. Pemerintah UAE sangat menjaga keharmonian antara mazhab. Namun dalam kawasan tertutup, rumah ibadah Syiah yang dikenali sebagai Husainiyyah, akan mengadakan majlis ta‘ziyah, ceramah tentang Karbala, dan syair-syair yang mengharukan tentang pengorbanan Imam Husayn.

Saya pernah diundang sekali oleh rakan Iran untuk melihat secara langsung. Saya masuk sebagai orang jahil yang mencari makna, dan keluar sebagai manusia yang tertunduk – bukan kerana saya setuju dengan semua tafsiran mereka, tetapi kerana saya akhirnya menyedari betapa besarnya luka yang belum sembuh dalam tubuh umat ini, dan betapa kisah Karbala menjadi roh perjuangan Syiah menentang kezaliman sepanjang sejarah.

Bubur, ingatan dan kesatuan

Apabila saya pulang ke tanah air selepas strok yang merubah kehidupan saya, saya kembali disambut dengan bubur Asyura. Kali ini saya memandangnya bukan sekadar sebagai makanan, tetapi sebagai lambang warisan dan peluang mendidik masyarakat.

Di Malaysia, kita bermazhab Syafie, dan umat Islam menyambut Asyura dengan puasa sunat, zikir, doa, dan pengagihan bubur yang dimasak secara bergotong-royong. Ada sesetengah tempat membacakan sejarah para nabi yang dikaitkan dengan 10 Muharam, termasuk kisah Nabi Nuh, Yunus, Adam dan Musa. Tetapi malangnya, jarang benar kita menyentuh peristiwa Karbala.

Saya tidak menyeru kita mengamalkan upacara Syiah atau membawa ratapan ke dalam masjid, tetapi kita wajar mengenang Imam Husin dengan penuh hormat dan cinta, sebagaimana kita menghormati datuknya, Nabi Muhammad SAW. Bukankah baginda pernah bersabda bahawa Husin adalah penghulu pemuda syurga?

Umat Islam Malaysia kini menghadapi cabaran besar: perpecahan mazhab, salah faham antara sesama sendiri, dan ketaksuban yang tidak bersumber dari ilmu. Kita harus kembali kepada ilmu, akhlak dan adab, bukan hanya semangat atau ritual kosong.

Dari kejahilan kepada pemahaman

Saya menulis ini sebagai orang Melayu Islam yang dahulunya jahil tentang Asyura, dan kini ingin menyeru agar kita memperluas makna hari itu — bukan hanya sebagai tarikh yang dicatat dalam kalendar Islam, tetapi sebagai hari renungan umat.

– Renungan tentang sejarah, tentang pengorbanan Husin yang melawan kezaliman.– Renungan tentang Musa AS yang diselamatkan daripada firaun.– Renungan tentang pentingnya puasa, amal, dan kasih sayang sesama Islam.

Dan ya, semangkuk bubur itu tetap ada. Tetapi biarlah di sebalik bubur itu terhimpun ilmu, keinsafan dan kesatuan. Jangan biarkan kita hidup dalam tradisi tanpa pengertian. Kerana yang membezakan budaya dan agama ialah makna.

Umat Islam tidak akan kuat hanya dengan laungan atau upacara. Kita akan kembali gagah bila kita memahami sejarah kita sendiri, bila kita tahu siapa Husin, siapa Yazid, siapa Musa, siapa Rasulullah – dan mengapa setiap nama itu berkait dalam perjuangan untuk keadilan dan kebenaran.

Hari Asyura bukan milik Syiah, bukan juga monopoli Sunni. Ia adalah milik umat Islam seluruhnya. Cuma cara menyambutnya berbeza. Tetapi maknanya tetap satu: kebenaran tidak boleh tunduk kepada kezaliman, dan iman tidak boleh dikalahkan oleh pedang.

Dan saya, yang dahulunya hanya kenal bubur, kini ingin mengenang Asyura dengan akal, hati dan sejarah. Semoga kita semua begitu juga.


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan lebih 20 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen