malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Kolum
KOLUM | Melawan Perikatan Abraham di Timur Tengah
ADS

Perdana Menteri Israel berkata bahawa jika Israel tiada di Timur Tengah, rantau itu tidak akan maju. Beliau berkata demikian dalam suasana Israel sedang mengajukan apa yang disebut sebagai Perikatan Abraham atau Abraham Alliance sebagai rancangannya bagi kesimpulan pada perang 12 hari negara Yahudi Zionis itu dengan Republik Islam Iran.

Timur Tengah merupakan satu konsep yang dikemukakan oleh British Imperial bagi menggambarkan dunia. Ia beserta dengan konsep Timur Dekat dan Timur Jauh, kesemuanya dikira pada jarak rantau itu dengan London, pusat British Imperial dari kurun ke-16 di mana Britain merupakan suatu empayar terbesar dunia. Apa yang dimaksudkan dengan British Imperial ialah Britain yang mengamalkan imperialisme, iaitu sebuah entiti politik yang menjajah sebahagian besar dunia.

Apa yang dimaksudkan Timur adalah negara-negara di luar benua Eropah pada sebelah hala timur. Timur Dekat meliputi Turki, Palestin, Syria, Iraq, Mesir dan Lubnan. Timur Jauh pula dikira dari Jepun, China dan Asia Tenggara. Apa yang di tengah-tengah itu disebut sebagai Timur Tengah. Ini bermakna ia meliputi bukan saja negara-negara Arab tetapi juga Iran, Afghanistan dan India.

Kemudian istilah Timur Dekat ini hilang. Timur Jauh disebut mengikut kedudukan geografi benua seperti Asia Timur, Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Barat. Sepatutnya Asia Barat menjadi istilah baharu untuk menggantikan Timur Tengah. Tetapi apabila disebut Asia Barat, ia tidak diikut serta oleh Mesir dan Sudan yang terletak di benua. Maka Timur Tengah masih perlu digunakan tetapi ia kini merangkumi bukan saja Mesir dan Sudan tetapi juga Turki, Iran, Israel, Palestin dan Lubnan.

Maknanya istilah dan konsep wiilayah geopolitik dunia terus menggunakan perspektif Britain walaupun ia sudah tidak lagi sebuah empayar.

Dalam hal ini wajar juga dipetik kata-kata ahli ekonomi Amerika, Profesor Jeffrey Sachs bahawa segala masalah dunia hari ini berpunca dari Britain. Beliau adalah seorang Yahudi yang menentang Israel dan menyokong Palestin. Apa yang dimaksudkan oleh Sachs tentang Britain ialah negara itu telah menjajah sebahagian besar dunia dan kemudian gagal memerdekakan bekas tanah-tanah jajahannya secara teratur dan manusiawi. Di seluruh dunia Britain meninggalkan tanah-tanah jajahan dalam masalah geopolitik, dari kedudukan India-Pakistan hinggalah kepada masalah Israel-Palestin.

Palestin bukannya tanah jajahan Britain tetapi hanya mandat masyarakat dunia dalam bentuk Liga Bangsa-bangsa tidak dikembalikan kepada rakyat Palestin tetapi sebaliknya menyerahkan kepada golongan Zionis yang bermakna penjajahan diteruskan.

Dalam hal ini, konsep penjajahan perlu diingatkan semula. Penjajahan seperti apa yang diingatkan oleh ahli sejarah, Dr Azmi Ariffin bahawa ia boleh difahami dengan istilah “penjarahan” atau rompakan yang berpanjangan. Penjajahan boleh datang dalam pelbagai bentuk, sama ada politik, ekonomi atau pun budaya. Entitinya juga pelbagai, ada yang disebut sebagai tanah jajahan, tanah taklukan, koloni atau naungan.

Tetapi dalam hal Israel, ia berupa tanah pemukiman atau settlers colony. Maknanya penjajah bermukim dan bermastautin di tanah milik penduduk tempatan yang diambil dengan pelbagai cara termasuk kekerasan, keganasan dan penaklukan.

Maka Israel merupakan tanah jajahan pemukiman Yahudi Zionis yang datang dari Eropah ke atas tanah milik Palestin. Ia kemudian diluaskan kepada Tebing Barat dan Gaza. Kini penjajahan ini hendak diluaskan kepada keseluruhan negara-negara Arab Timur Tengah yang menandatangani Abraham Accord dan menyertai Abraham Alliance.

Negara-negara yang menyertai Abraham Alliance seperti digambarkan pada papan-papan tanda yang muncul di Amerika selepas perang itu ialah Mesir, Maghribi, Pihak Berkuasa Palestin, Jordan, Bahrain, Oman, Arab Saudi, Lubnan, Syria dan Emiriah Arab Bersatu. Walaupun mereka adalah negara-negara merdeka dan berdaulat, tetapi mereka akan menjadi wilayah terjajah kerana selepas itu, mereka terikat dengan kehendak politik Israel. Dari sudut pandangan lain, mereka menjadi negara satelit Israel dan melindunginya daripada sebarang ancaman Iran dan Turki. Jika negara-negara Arab sudah bersetuju, maka perjuangan pembebasan Palestin berakhir. Inilah sebenarnya Israel Raya atau Greater Israel yang kekuasaannya bukan saja dari Laut Mediterranean tetapi juga dari Laut Merah ke Teluk Parsi.

Pada Januari lalu, ketika Presiden Donald Trump menyatakan bahawa Amerika hendak mengambil alih Gaza untuk dijadikan pusat pelancongan Barat, antara cadangannya ialah supaya penduduk Gaza berpindah ke Jordan, Mesir dan Arab Saudi. Apabila ketiga-tiga negara itu membantah, ada cadangan supaya penduduk Gaza dipindahkan ke Albania. Sebagai negara Balkan, Republik Albania tidak jauh dari Palestin. Penduduknya beragama Islam dan kerajaannya merupakan sekutu Amerika dan Eropah. Albania yang merupakan bekas negara komunis menolak. Albania bukanlah bangsa Arab dan tidak bertutur bahasa Arab. Majoriti penduduknya hanya Islam pada nama dan tidak mengamalkannya.

Pihak Israel juga ada mencadangkan supaya dicari sebuah pulau di Indonesia untuk menempatkan penduduk Gaza ini memandangkan majoriti penduduk Indonesia adalah orang Islam dan penyokong rakyat Palestin. Indonesia membantah. Bukan saja orang Indonesia tidak berbahasa Arab tetapi juga negara itu beriklim tropika dan tidak sesuai menjadi pemukiman orang Gaza. Bahawa Indonesia adalah penyokong rakyat Palestin juga bermakna mereka tidak akan menyokong sebarang perpindahan rakyat Palestin ke luar dari tanah air mereka kerana ia merupakan pengkhianatan. Jika negara-negara Perikatan Abraham menerima penduduk Palestin ke tempat mereka, adalah jelas ia merupakan pengkhianatan terhadap bukan saja kepada bangsa Arab tetapi umat Islam.

Baru-baru ini selepas gencatan senjata Israel-Iran, Netanyahu berkata bahawa kempen tenteranya di Gaza akan berakhir dua minggu lagi. Mereka tetap mahu mengambil alih Gaza dengan membuang negeri pejuang-pejuang Hamas.

Apa yang hendak dilakukan oleh Israel adalah seolah-olah satu pakatan bangsa Yahudi-Arab bagi menghadapi bangsa Parsi-Turki. Tetapi terdapat perbezaan pendirian bangsa dan negara. Malah sudah kelihatan bahawa usaha untuk membezakan Yahudi, Israel dan Zionis. Yahudi sebagai bangsa juga hendak dibezakan dengan agama Yahudi iaitu Judaisme. Malah ada konsep Arab Yahudi iaitu orang Yahudi yang bertutur bahasa Arab, tinggal di negara Arab ataupun keturunan orang yang bermastautin di negara Arab.

Namun begitu perang Hamas-Israel sejak 7 Oktober 2023 dan ditambah perang 12 hari Israel-Iran telah mengubah pandangan dunia khususnya di kalangan orang Barat baik di Amerika, Eropah mahupun Australia terhadap Israel. Genosid Gaza yang berterusan berlaku membayangi perasaan kemanusiaan generasi baru menenggelamkan Holocaust yang sudah menjadi catatan sejarah.

Kekejaman Israel terhadap penduduk Gaza membuatkan banyak pihak berasa bahawa penyelesaian dalam bentuk dua negara tidak lagi sesuai. Bukan saja Netanyahu menolaknya tetapi rakyat Israel sendiri tidak dapat menerimanya. Bukan itu saja mereka mahu menghapuskan sama sekali Palestin, bukan saja wilayah tetapi juga adalah rakyat Palestin. Genosid Gaza ini boleh merebak ke Tebing Barat yang akhirnya membawa kepada Holocaust bagi orang Palestin.

Maka banyak pihak di Barat sudah merasakan bahawa penyelesaiannya ialah menamatkan kewujudan itu kepada Palestin yang merupakan negara berbilang bangsa: Arab, Yahudi dan lain-lain kaum serta pelbagai agama, sama ada Islanlm, Judaisme, Kristian, Druze atau atheis.

Dalam entiti Palestin baru ini, semua warganya adalah setaraf dan saksama dalam sebuah negara demokratik dan sekular. Tidak seperti Israel yang merupakan sebuah negara Yahudi.

Bagi orang Yahudi yang tidak boleh menerimanya, mereka bolehlah berhijrah ke negara asal mereka seperti Amerika dan Eropah, atau mencari negara baru seperti Cyprus di mana banyak orang Israel lari ketika serangan peluru berpandu Iran.

Sama ada Timur Tengah akan maju atau tidak tanpa Israel tentulah hanya dapat diketahui jika ia sudah digantikan semula dengan Palestin. Apa yang nyata ialah kehadiran Israel di Timur Tengah selama 77 tahun sejak 1948 hanya menimbulkan peperangan berpanjangan. Orang Palestin, Arab dan Iain-lain tidak akan duduk diam dengan membenarkan kewujudan Israel. Perikatan Abraham hanyalah tipu-helah Netanyahu untuk memanjangkan keberadaan Israel di Timur Tengah.


ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen