malaysiakini logo
story-image
ADS

KOLUM | Sejak peluru berpandu pertama Israel mendarat dan meledak di bumi Iran pada pagi Jumaat 13 Jun lalu, muncul beberapa teori berkenaan punca sebenar yang mendorong rejim Zionis itu melakukan gerakan ketenteraan ke atas negara berdaulat.

Dunia memang tahu betapa kroniknya hubungan Tel Aviv - Tehran. Begitu juga hubungan Tehran - Washington. Ia tidak perlu dijelaskan untuk memahami perkembangan politik dunia.

Sikap kerajaan Iran terhadap Israel dan AS sejak revolusi pada 1979 adalah manifestasi kerumitan hubungan diplomatik yang kompleks. Ia tidak sekadar dendam, marah dan kebencian, tetapi padat dengan serangan senyap dan risikan.

Serangan Israel terhadap Iran bulan ini bukan saja dilakukan pada saat mereka terus membuli Palestin. Bahkan serangan jahat itu dilancarkan sewaktu rundingan nuklear antara AS dan Iran rancak berlangsung di Oman.

Benjamin Netanyahu sebelum ini ada menyatakan bahawa objektif serangan terhadap Iran bertujuan untuk memusnahkan fasiliti makmal program nuklear negara tersebut.

Bagaimanapun itu bukanlah justifikasi yang boleh dipercayai kerana serangan-serangan yang dilancarkan mereka sejak hari pertama hanya terarah ke bandar-bandar yang tidak pernah diklasifikasikan sebagai lokasi loji atau makmal program nuklear Iran.

Donald Trump pula pada awalnya cuba untuk berteka-teki sama ada akan turut serta menyerang Iran ataupun tidak.

Pada masa sama dia turut mencipta naratif kononnya serangan Israel itu adalah langkah ‘perubahan regim’ dengan menamakan anak kepada Shah Iran - yang digulingkan pada 1979 - akan mengambil alih kepimpinan.

Kedua-dua naratif propaganda ciptaan AS dan Israel itu bukanlah aneh, malah pernah disebut seorang penganalisis geopolitik yang pernah berkhidmat sebagai penasihat kepada Ronald Reagan, Mikhail Gorbachev dan Boris Yeltsin iaitu Prof Jeffrey Sachs.

Menurut Sachs, perangan AS - Iraq suatu ketika dulu datang daripada idea Netanyahu yang menjual teorinya bahawa satu-satunya cara untuk menamatkan ancaman Hamas dan Hezbollah ialah dengan menjatuhkan kerajaan Iraq, Syria dan Iran.

Hal-hal enggan diperkatakan

Alasan Netanyahu, ketiga-tiga kerajaan itu memberikan sokongan kepada Hamas serta Hezbollah.

Inilah yang sedang Netanyahu dan Trump lakukan. Sebab itu tidak perlu hairan kalau Trump mengajak Tehran duduk ke meja rundingan dan pada masa sama mengarahkan tentera AS mengebom Isfahan, Natanz dan Fordow dua hari kemudian.

Bagi memahami sebahagian isu ini mungkin kita boleh menonton filem dokumentari berjudul Zero Days arahan Alex Gibney.

Zero Days mengupas projek Stuxnet iaitu sejenis virus komputer ciptaan AS dan Israel yang mampu mereplikasi dirinya sendiri untuk meletupkan fasiliti seperti bangunan serta menjejaskan keseluruhan operasi sistem pengkomputeran sesebuah negara.

Mula dibangunkan pada era pentadbiran George W Bush dan dipertingkatkan keupayaannya oleh Barack Obama, virus itu kemudian menyerang loji nuklear Natanz hingga menyebabkan kemusnahan serius.

Zero Days menemu bual beberapa individu penting yang pernah terlibat secara langsung dengan Stuxnet. Ia mendedahkan beberapa hal yang dunia tidak pernah mahu perkatakan.

Melalui dokumentari itu, kita sedar bahawa Israel sudah lama tahu dan terlalu lama menahan nafsu untuk menyerang Natanz.

Bagi merealisasikan cita-cita itu Israel merancang untuk melakukan satu lagi serangan ke atas Iran. Cuma kali ini mereka mahu melakukannya dengan mengambil alih sepenuhnya kawalan Stuxnet.

Tetapi oleh kerana mereka telah melakukan kesilapan, virus tersebut akhirnya merebak hingga menyebabkan banyak kemusnahan dalam alam siber yang AS dan Israel cuba senyapkan.

Pada 2010 itulah perisik Mosad membunuh dua saintis nuklear Iran dan mencederakan seorang lagi saintis dalam serangan berasingan.

Presiden Iran ketika itu, Mahmoud Ahmadinejad, pantas mengecam Israel dan AS dengan mendakwa ia bertujuan untuk menghalang program nuklear Iran.

Iran enggan diam dan segera melancarkan dua serangan siber ke atas AS. Serangan pertama disasarkan kepada Saudi Aramco. Ia memusnahkan semua perisian serta setiap baris kod pada 30,000 peranti komputer milik syarikat minyak terbesar dunia berkenaan digodam.

Sasar sistem komunikasi

Serangan kedua pula dibuat terhadap tiga buah bank AS iaitu PNC Bank, Wells Fargo dan  Bank of America.

Serangan siber yang telah melumpuh dan menghuru-harakan sistem perniagaan perbankan di seluruh AS itu dianggap sebagai mesej dari Iran bahawa “kami juga boleh melakukan apa yang kalian lakukan.”

Akan tetapi Stuxnet hanyalah satu projek kecil Israel dan AS untuk meruntuhkan Iran. Menurut wawancara dalam dokumentari berkenaan, mereka ada satu lagi senjata perang siber bahaya bernama Nitro Zeus.

Menurut individu yang bekerja di Agensi Keselamatan Negara AS, sekiranya Israel menyerang Iran, Washington pasti akan terheret sama.

Jeffrey Sachs

Pada waktu itulah Nitro Zeus akan digunakan untuk menyerang sistem pemerintahan dan kawalan tentera Iran agar komunikasi mereka terjejas.

Penyusupan akan dilakukan pada setiap identifikasi siber serta sistem pertahanan udara supaya Iran tidak akan dapat menembak jatuh pesawat Israel dan AS.

Nitro Zeus juga akan menggodam sistem sokongan awam, grid kuasa, pengangkutan, komunikasi dan sistem kewangan Iran.

Menurutnya lagi mereka akan menunggu di dalam seluruh talian siber Iran, mengawasi dan sedia untuk melakukan gangguan bagi memusnahkan sistem komunikasi dengan serangan siber yang tak kelihatan.

Tapi yakinlah, Iran akan dapat mengatasinya dan tidak akan tewas.


HARIS HAUZAH ialah lelaki yang sejak kecil suka bermain tembak-tembak dan perang-perang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen