malaysiakini logo
story-image
ADS

Kami bertemu di Kafe Gigi, kampus UKM Bangi. Dia hanya mahu dikenali sebagai Mr T. Berbeza dengan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang lain, Mr T boleh saya katakan lebih berpenampilan. Maksud saya terlihat seperti beliau berimej korporat, berbanding bergaya penguat kuasa. 

Kopi Gigi di Bangunan Canseleri agak lengang. Hanya sesekali ada siswa muncul mendapatkan kopi tetapi tidak sampai menyinggah. Ruang yang ada juga agak kecil, cuma ada tiga meja bersempitan; dengan penghawa dingin betul-betul sejuk. 

Saya mulai menggigil, tetapi Mr T kelihatan selamba. Barangkali kulitnya tebal. 

Orangnya agak maskulin, dengan lengan berbulu. Ada iras Khai Bahar.

“Sabung ayam.” Begitu sahaja Mr T memulai perbualan kami.

Saya berkerut, “Sabung ayam? Di mana rasuahnya?”

Mr T tertawa, meledak-ledak pula tawanya. Kes sabung ayam itu adalah antara kes terawal yang ditangani. Ia pengalaman yang sukar dilupakan.

Kisahnya di sebuah desa kecil di Negeri Sembilan terdapat perlawanan sabung ayam. Selang sehari kemudian seorang individu membuat laporan polis mengadukan ayam sabungnya telah dicuri. Nampaknya pencuri tersebut boleh diteka dengan mudah. 

Kelihatan tiada orang lain di dalam kampung tersebut berminat dengan ayam sabung melainkan individu tersangka itu.

Pihak polis yang biasa dengan kes-kes ranting begini hanya menasihatkan agar kes tersebut dirunding secara baik tanpa perlu berpanjangan. Pun, tuan ayam enggan hal tersebut berlalu begitu sahaja. 

Maka tuan punya ayam sabung yang geram meminta daripada si pencuri ganti rugi sebanyak RM500. Bahawa tajinya sudah tumpul, bahawa bulu ayam yang sebelum sungguh mempersona kini tercabut. Bahawa ayam itu dibeli di pasaran dengan harga RM4,000 lebih. 

Anjuran tuan punya ayam adalah jika ganti rugi dibayar; dia akan menarik kembali laporan polis yang telah dibuat sebelum ini. Maka disitulah masalah bermula.

Giliran saya tertawa. Pun dalam tawa itu otak saya tetap terpaksa bekerja. Definisi pemberi rasuah ada dua. Pertamanya, menyuap atau memberi wang dan faedah berkaitan demi melepaskan diri daripada diambil tindakan undang-undang ke atas dirinya; atau, pihak yang ada hubungan dengannya seperti melepaskan diri daripada didenda, disaman atau dikenakan tindakan undang-undang. 

Kedua, kategori yang sama juga jatuh apabila seseorang mendapat laba kewangan atau benda berharga daripada penerima bagi faedah dirinya, atau pihak yang ada hubungan dengannya seumpama mendapatkan kontrak, tender, saham, pulangan, lesen dan permit perniagaan.

Pencuri buat laporan rasuah

Saya melihat rambutnya yang berminyak disikat tepi. Dia menambah, “Nampak kecil. Tetapi hal begini juga rasuah. Maka saya diminta membuat umpan agar tuan punya ditangkap untuk disoal siasat. Saya masih mengingat ketika itu menahan beliau di persimpangan lampu isyarat. Kami bermotosikal mengejar tuan ayam.”

Lebih menggemparkan isi jantung, Mr T dan pasukan telah ke rumah si pencuri untuk mendapatkan maklumat aduan kes ini. 

“Pencuri membuat laporan rasuah terhadap tuan punya ayam yang dicuri?” Saya terkesima, tercengang sebenarnya.

Mr T menerus bicara, “Waktu kami ke pondok si pencuri itu dia nampaknya siap menghidang nasi dan lauk kari. Mulanya kami menolak tetapi dia beria-ia pula. 

“Dalam hal ini mengenangkan kes ditangani adalah di kawasan kampung dan ia merupakan sebahagian adat budaya tempatan, kami akur dengan berat hati untuk makan sekali…”

Saya memandang Mr T tidak berkelip, ingin memahami apa yang menariknya pengalaman itu.

“Sebaik kami keluar dari rumah si pencuri, jirannya di laman sedang garu ketiak di atas motosikal membuat isyarat untuk kami lebih menghampirinya. 

“Kata jiran itu dengan nada umpat berbisik, ‘Tuan makan nasikah? Eloklah tuan ke klinik selepas ini. Sebab si pencuri ayam ini sebenarnya HIV positif…dia penagih dadah’. Hah boleh bayangkan debar dan risau saya?”

Terlongo mulut saya, “Habis apa yang terjadi?”

“Seisi pasukan kami gempar dan risau. Ada yang menggosok gigi berkali-kali dan berkumur dengan Listerine. Tetapi, saya agak tenang.”

“Mengapa?”

“Saya beritahu kawan sekerja, ‘kita takkan dijangkiti, bukannya kita ada cium mulut pun dengan si pencuri ayam?’ begitu saya menenangkan mereka.”

Saya sahut dengan tawa, sambil mencicip kopi keras. Dalam kepala menerawang bahawa laga kejam begini masih ada tempat di pedalaman. Menurut Mr T yang pernah bertugas di SPRM Sarawak, sukan judi kekal berlaku. 

“Ada yang lebih lucu…” Mr T nampaknya belum menghabiskan kisah pengalamannya yang pelik itu, “Ayam itu adalah bukti. Dan, bagaimana kami mahu menyimpan bukti ini?”

Dedak, jagung, biskut?

Mata saya terbelalak, seraya membayangkan ayam dalam serkup. Dilema Mr T dan rakan-rakannya ketika itu beragaman. Apakah ayam itu dibawa pulang ke pejabat, atau dibiar sahaja dalam serkup di kampung tersebut tetapi kali ini dipagar dengan lilitan kuning tanda ‘jangan dekat’. Pegawai-pegawai SPRM bertengkar sesama sendiri sebelum akhirnya Mr T membuat satu keputusan penting.

“Tinggalkan saja di situ, di tangan pencuri. Ini kerana saya mengambil pertimbangan bahawa pernah terjadi seekor burung murai ekor panjang nyaris mati. Burung itu menjadi bukti kes pegawai perhilitan memeras wang tuan punya burung. Lagipun kami nak beri ayam sabung ini makan apa? Dedak? Jagung? Biskut?”

Pengalaman kes ayam sabung itu memang sedikit membingungkan. Kemudian, kebanyakan kes-kes yang diperolehi Mr T adalah untuk tujuan membantu pasukan siasatan negeri. Sehinggalah tiba arahan untuk dipinjamkan ke sebuah syarikat berkepentingan kerajaan atau GLC. 

“Saya diminta menyertai temu duga sebagai seorang Certified Integrity Officer (CeIO), atau Pegawai Integriti Bertauliah di sebuah syarikat.”

Mata saya tidak berkelip, saya mengemaskan butang baju lantaran suhu jatuh mendadak. Di luar hujan yang tadi merintik sudah melebat diserta kilat sabung menyabung, lengkap dengan petir berdentam dentum. Sekumpulan mahasiswa tua bertutur dalam dialek Kelantan masuk lantas menguasai ruang.

“CeIO ini pihak GLC boleh melantik sendiri, atau juga mereka boleh pula memohon kepada kami di SPRM. Dan saya di arah memohon di GLC ini bersama-sama beberapa rakan sekerja yang disenarai pendek.”

Sebetulnya Mr T tidak begitu berminat untuk ke GLC ini. Dia masih rasa dirinya berkesan sebagai penyiasat ketimbang seorang CeIO, “Kalau kita terpilih sebagai CeIO, kita akan bekerja disitu. GLC yang bayar gaji kita. Kalau kebetulan di GLC yang lebat, maka lebatlah juga dompet. Tapi itu pun setimpal dengan kerja dan susah yang kita dapat. Kita hanya pinjaman di GLC. Ada tempat yang dikira syok, ada pula tempat yang dikira maut.”

Tugas CeIO kebiasaannya berseorangan, perlu menyiasat kepincangan. Seringnya mereka itu membangunkan tata kelola, menyusun program dan mengatur pelbagai langkah pencegahan rasuah. Dalam banyak keadaan mereka kurang disenangi, kerana dianggap datang dari luar. Staf sedia ada pula cuak, kalau tidak bernasib baik; muak.

CeIO akan menjawab dan menerima arahan daripada CEO GLC yang ditempatkan. Cuma CeIO masih melapor kepada Bahagian Pengurusan Integriti Agensi di SPRM.

Setelah temu duga, Mr T percaya dia tidak akan beroleh posisi di situ. Namun, dalam masa enam minggu, dia diminta bertugas di GLC tersebut, “Kelebihan saya mungkin lebih fasih berbahasa Inggeris dan tahu sedikit Tamil.”

Maka keluar arahan baharu bahawa penempatan baharu Mr T kini di sebuah GLC di ibu kota, yakni sebagai pegawai siasatan merangkap CeIO. Saya merenung muka Mr T, “Siasatan?”

16 juta ‘kes terkambus’

“Ya, sebab pada tahun 2018 berlaku perubahan kerajaan. Dan kami diarah untuk menyiasat kes-kes lama yang dikambus.”

Saya berkerut, “Contoh kes terkambus?”

“Tuntutan palsu. Kebanyakan aduan telah difailkan tetapi tidak diambil tindakan. Dan ada jumlah sampai 16 juta.”

Kerut saya pecah seribu, “Banyak tu. Ada kaitan dengan politik, parti politik…ahli politik tertentu?”

Mr T tersenyum. Dia sedar ada garis yang perlu direntang, dan dalam senyuman dia membalas lembut, “Kebanyakan kes syarikat swasta membuat tuntutan palsu terhadap syarikat berkepentingan kerajaan. Kira macam menipu. Saya menyarankan supaya disaman syarikat tersebut. Kita teruskan sebagai saman sivil.”

“Oh bukan didakwa?”

Mr T menarik nafas, “Bila ‘kerajaan dijatuhkan menerusi pintu belakang’ pada tahun 2020…saman itu tidak diteruskan.”

Satu hal yang kurang difahami oleh orang awam ialah seorang CeIO bertugas tidak boleh sewenang-wenang menyiasat, mengambil mana-mana dokumen, apatah lagi mendakwa. 

Semuanya masih perlu melalui pelbagai proses, “Saya di situ bukan sebagai pasukan enforcement. Jadi tetap ada peraturan. Kes yang kita nampak ada jalan didakwa maka saya hantarkan ke SPRM, dan untuk kes 16 juta tadi, dinasihatkan agar dibuat civil sue.”

Saya termenung seketika. Rasa sakit hati pula tatkala mendengarkan perubahan kerajaan boleh merubah langkah yang pernah diatur lebih awal.

Bertugas sebagai CeIO di GLC tersebut, Mr T menyasarkan untuk menubuhkan sebuah unit integriti. 

“Sebelumnya tak ada?”

Mr T menggeleng. Saya menyambut dengan keluhan tidak percaya.

“Unit Integriti di GLC setiap tiga bulan perlu melaporkan kepada kementerian, dan ketika itu CEO mendengus memarahi saya dan mengatakan begini, we don’t need an integrity unit; why do we need this unit, I am integrity, begitu katanya.”

Pun, Mr T tidak putus asa. Beliau melobi bersungguh-sungguh kepada semua ahli pengurusan. Hasilnya tidak memberangsangkan. Selepas bulan keenam di GLC tersebut, Mr T sebagai CeIO mulai hilang sabar. Beliau menghubungi SPRM, dan Bahagian Pendidikan Masyarakat. 

Unit integriti di GLC

Pihak GLC diundang secara rasmi. Pegawai atasan SPRM memberi penerangan keperluan untuk setiap GLC menubuhkan unit integriti masing-masing. Malahan dalam taklimat tersebut, SPRM menganjurkan supaya didrafkan pelan strategik untuk meneroka penubuhan bahagian integriti ini. 

“Apa yang berlaku?” Soal saya berminat.

“CEO berjaya diyakinkan. Beliau ingin menubuhkan Unit Integriti. Beliau memanggil saya meminta bajet penubuhan unit ini, dan berapa keperluan manpower. Untuk permulaan CEO memperuntukkan saya tiga staf untuk membantu.”

Proses penubuhan Unit Integriti di GLC tersebut memakan masa setahun, Mr T dan stafnya berusaha menggubal polisi, membuat buku panduan dan menyediakan pelan strategik.

“Saya mengusahakan agar unit ini dipercayai staf GLC ini, supaya mereka yakin kewujudan unit ini akan menambah baik perjalanan syarikat dan bukan untuk bermusuh. Saya membuat pelbagai bengkel dan taklimat, dan untuk menarik minat mereka memanggil selebriti untuk ikut bekerjasama.”

Kesan usaha tersebut staf GLC dengan segera memahami yang unit integriti ini memiliki empat fungsi utama iaitu pengurusan aduan, pengesanan dan pengesahan (siasatan), pengukuhan integriti, dan paling mustahak, tadbir urus.

“Waktu itu fungsi pengukuhan integriti paling mudah untuk dijayakan, maka saya beri hanya untuk itu sahaja. Sasaran saya, sebaik unit ini tertubuh dan mereka di GLC dapat mengendalikan dengan baik, saya mahu pulang ke SPRM.”

Mr T terdiam seketika, matanya seakan kosong dan dia melemparkan pandangan ke luar jendela. Hujan sudah berhenti.

“Jadi apa beza dari taji ayam ke dunia GLC?” Saya lebih mengusik dari inginkan kejujuran.

Mr T menghela nafas, “Banyak.”

“Apa?”

“Saya memasuki dunia korporat, mereka di sini suka bercakap…mesyuarat dan mesyuarat…saya perlu menguasai kemahiran membentang. Saya terpaksa belajar serba-serbi gaya dan pendekatan, terma dan ungkapan orang korporat. 

“Saya perlu membeli kasut, sut, parfum dan belajar dunia baru. Sesekali ada parti…saya tanggalkan topi SPRM, meskipun saya SPRM.”

Gaji besar atau pencen

Saya berkerut, “Di SPRM bagaimana?”

“Di SPRM ada banyak protokol dan prosedur sebagai misalan. Di dunia korporat ada banyak yang main langgar.”

Setelah tiga tahun di GLC, Mr T diberi pilihan untuk kekal di syarikat itu dan berhenti berkhidmat di SPRM, “Kalau saya pulang ke SPRM, saya kehilangan gaji besar di GLC. Kalau saya kekal di GLC, saya kehilangan pencen.” 

Pelbagai pertimbangan akhirnya membuatkan Mr T memilih untuk kembali ke SPRM. 

“Kenapa?”

Mr T merenung saya, tiba-tiba senyuman merekah di bibirnya, “Taji ayam…”


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen