KOLUM | Sukan kononnya bebas daripada politik. Tapi peliknya, apabila Rusia 'menceroboh' Ukraine pada 2022, pasukan bola sepaknya digantung, penaja disingkir, bendera diharamkan, dan atletnya berdepan pelbagai kesukaran.
Namun apabila rejim Zionis Israel secara terang-terangan melakukan genosid di Gaza dan kini mencetuskan konflik terbuka dengan Iran pula, dunia sukan antarabangsa membisu.
Tidak kelihatan sebarang tindakan mahupun kecaman.
Sehingga kelmarin, serangan udara besar-besaran Israel ke atas Iran dilaporkan telah meragut sekurang‑kurangnya 639 nyawa dan mencederakan lebih daripada 1,300 orang.
Jumlah itu termasuk 263 orang awam berbanding 154 anggota keselamatan.
Persoalannya, mengapa ada layanan berbeza oleh Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) ke atas Rusia dan Israel?
Spartak Moscow disingkirkan dari Liga Europa, pasukan bola sepak Rusia dinafikan tempat dalam Piala Dunia dan semua atlet negara itu yang bertanding di pentas antarabangsa dalam pelbagai kejohanan sukan juga berdepan segala macam halangan.
UEFA turut menamatkan kerjasama dengan syarikat gas asli milik kerajaan Rusia, Gazprom, yang pernah menjadi penaja rasmi untuk Liga Juara-Juara Eropah, Euro 2020 serta pelbagai kejohanan anjurannya.
Kononnya ia sebagai respons kepada tindakan keras Moscow ke atas Ukraine.

Barat pantas bertindak atas nama "hak asasi dan keamanan sejagat". Namun, ketika Israel menggempur Gaza hampir setiap hari – dan kini melancarkan serangan ke atas negara berdaulat seperti Iran – tidak ada tindakan serupa diambil. Tidak ada penggantungan dan tidak ada resolusi tergempar oleh badan sukan.
Lebih parah, apabila Malaysia mengambil tindakan berprinsip menolak kemasukan atlet Israel ke negara ini, kita dilabel sebagai antisemitik. Sedangkan penolakan itu adalah sebagai solidariti terhadap Palestin yang sudah lebih seabad menjadi mangsa kezaliman.
Boikot bukan perkara baru dalam dunia sukan. Afrika Selatan pernah dikucilkan oleh komuniti sukan antarabangsa selama puluhan tahun akibat dasar aparteid. Tanpa tekanan sukan, rejim itu mungkin tidak akan tumbang.
Justeru mengapa kaedah yang sama tidak diaplikasikan kepada Israel?
Keyakinan semakin terhakis
Jika Rusia digantung kerana menceroboh Ukraine, maka Israel juga wajar dikenakan tindakan sama kerana bukan saja rejim itu menjajah Palestin. Kini mereka menyerang Iran.
Sikap tidak konsisten komuniti dunia itu memperlihatkan bahawa tindakan badan sukan antarabangsa bukanlah berasaskan prinsip, sebaliknya diikat oleh kepentingan kuasa besar.
Fifa dan IOC yang sering melaungkan mesej keamanan dan perpaduan global hanya bertindak apabila sesuatu isu sejajar dengan naratif atau selera politik Barat.
Israel pula – sebagai sekutu penting AS dan Eropah – dilindungi habis-habisan daripada sebarang kecaman atau sekatan.
Mereka diberi kekebalan mutlak meskipun konsisten melanggar hak asasi secara terang-terangan, termasuk membedil kem pelarian, hospital dan kini menyerang sebuah negara berdaulat.

Sikap pilih kasih ini bukan sahaja mencalar imej institusi sukan dunia, malah menghakis kepercayaan rakyat terhadap kesucian nilai sukan itu sendiri.
Malaysia sebenarnya mempunyai kedudukan penting untuk bertindak lebih bermakna. Hamidin Mohd Amin merupakan ahli Majlis Fifa.
Memang dia tidak lagi menyandang jawatan Presiden FAM, tetapi platform global itu sepatutnya boleh dimanfaatkan.
Jawatan itu bukan sekadar simbolik atau berkisar kepada pembangunan bola sepak semata-mata.
Ia datang dengan tanggungjawab moral yang besar – untuk bersuara ketika keadilan diinjak, dan menjadi pencetus kepada perubahan apabila prinsip kemanusiaan dipermainkan.

Setakat ini, sepanjang Hamidin memegang jawatan sebagai ahli Majlis Fifa, belum ada satu pun perkara signifikan yang benar-benar memberikan impak besar kepada bola sepak Malaysia dan dunia Islam.
Maka, membawa usul penggantungan Israel di pentas Fifa boleh menjadi sumbangan terbesar Hamidin – bukan saja kepada Palestin, bahkan kepada nilai keadilan sejagat yang sering dilaungkan dalam slogan rasmi badan itu.
Hamidin wajar menggunakan kedudukannya untuk membawa isu penggantungan Israel ke pentas tertinggi Fifa.
Mangsa keangkuhan rejim
Jika Rusia boleh digantung atas alasan pencerobohan, maka Israel yang terang-terangan melakukan kezaliman dan serangan ke atas negara berdaulat juga perlu dikenakan tindakan yang sama.
Usaha ini boleh dimulakan dengan mencadangkan satu panel bebas ditubuhkan untuk menyiasat pelanggaran etika oleh Israel dalam konteks sukan dan hak asasi manusia.
Lebih daripada itu, Malaysia boleh menjadi pemula kepada pakatan negara Asia dan Afrika – yang mempunyai pengalaman panjang dijajah dan ditindas – untuk menyuarakan bantahan secara kolektif terhadap kehadiran Israel dalam pentas antarabangsa.
Tindakan itu tidak semestinya bersifat konfrontasi, tetapi cukup untuk menghantar isyarat bahawa dunia sedang bangkit menuntut keadilan sejagat.
Bukan sahaja kerana Palestin, tetapi juga kerana Iran, Lubnan, Syria dan negara-negara yang pernah menjadi mangsa keangkuhan Zionis.

Dunia sedang menilai siapa yang benar-benar memperjuangkan keadilan dan siapa yang hanya menjadikan sukan sebagai alat propaganda.
Jika Rusia boleh digantung kerana menceroboh sebuah negara, Israel sudah lebih daripada layak dikenakan tindakan keras kerana bukan saja mengganasi Palestin, malah beberapa negara lain.
Boikot adalah senjata aman dalam dunia moden. Jika digerakkan secara strategik dan kolektif, ia mampu memberi tekanan besar kepada rejim yang kebal daripada tindakan ketenteraan atau diplomatik itu.
Jika Israel dibenarkan terus menjadi ‘ahli kelab Fifa’ meskipun terus menumpahkan darah Palestin dan menyerang negara lain, maka benarlah bahawa slogan Football for Peace hanyalah topeng menjadi alat politik selektif Barat.
NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

