KOLUM | Perdana Menteri Anwar Ibrahim sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR baru-baru ini ada menyatakan bahawa parti pimpinannya itu turut memerlukan reformasi.
Kata Anwar: “Bagaimana parti reformasi tidak meneruskan ‘reform’ dalam parti.”
Memang sesuatu yang sukar untuk kita melihat dan menerima sebuah parti yang sejak lahirnya memperjuangkan agenda reformasi, tiba-tiba berubah menjadi sebuah parti yang terkait dengan nepotisme.
Dalam kolum sebelum ini saya cuba mengembalikan ingatan para perwakilan Kongres Nasional PKR di Johor Bahru kepada peristiwa sebaik saja Anwar hilang semua jawatan yang disandangnya.
Anwar pernah berikrar untuk melakukan reformasi di negara ini dan komited menentang rasuah, salah guna kuasa dan kronisme.
Semenjak itu perkataan reformasi, menentang rasuah, menolak amalan kronisme, nepotisme dan penyalahgunaan kuasa mula menjadi mantra yang diulang-ulang. Ia lalu melahirkan gelombang kebangkitan rakyat untuk menentang kerajaan Mahathir Mohamad.

Akan tetapi mengapa selepas menjadi perdana menteri, setelah PKR menjadi parti teras dalam kerajaan yang dinamakan Madani, Anwar dan partinya tiba-tiba memilih untuk berubah menjadi berbeza.
Kelihatannya PKR agak sepakat untuk menganggap bahawa kronisme adalah sesuatu yang lumrah dan wajar dinormalisasikan di negara ini.
Malahan ia diungkapkan secara terbuka oleh Anwar sewaktu ucapan penggulunganan di Johor itu.
Ingatan deklarasi di Permatang Pauh
Selain mengakui ada ramai teman dan loyalis PKR yang memegang jawatan dalam GLC atau GLIC, cerita Pak Kudus yang dihadiahkan jawatan ketua kampung sebagai ganjaran atas kesetiaan dan pengorbanannya kepada parti adalah mencengangkan.
Kenyataan itu diucapkan Anwar di tengah pertikaian berkenaan sistem pengundian dan cara pengendalian pemilihan parti masih hangat diperkatakan. Bahkan hiruk-pikuk tentang dakwaan percaturan kepimpinan yang kononnya didalangi tangan ghaib belum dapat diredakan.
Dalam ucapan itu lagi, Anwar turut mempertahankan isu nepotisme yang timbul berikutan kejayaan gelombang kebangkitan Nurul Izzah merebut jawatan timbalan presiden parti.
Kenyataan Anwar semasa kongres itu tidak seluruhnya tepat. Sewaktu Anwar menjadi ketua umum PKR manakala Dr Wan Azizah Wan Ismail menjawat jawatan presiden parti, isu nepotisme pernah dibangkitkan.

Malangnya ucapan Anwar itu turut disokong oleh ketua baru Pemuda PKR (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim apabila dia menganggap isu nepotisme dalam PKR adalah sesuatu yang usang, nakal, mainan persepsi dan propaganda jahat.
Ketua AMK yang juga setiausaha politik Menteri Kewangan itu dalam wawancara dengan Malaysiakini berkata: “Kalaulah pertalian darah itu menjadi hujah asas kepada nepotisme, maka saya minta semak balik – dalam parti PAS, dalam parti-parti lain ada semua ni. Kalau pertalian darah itu dijadikan nepotisme saya ingat semua parti dalam negara kita ini mengamalkan nepotisme.”
Baca: Kaitkan PKR dengan nepotisme berniat jahat, kata Ketua AMK
Dia mungkin lupa atau langsung tidak mengetahui bahawa PKR adalah parti reformasi yang diasaskan melalui Deklarasi Permatang Pauh yang diikrarkan pada 12 Sept 1998. Bahkan yang mengepalai ikrar itu ialah bosnya sendiri – Anwar Ibrahim.

Deklarasi itu dimulai dengan ayat “Menyedari gesaan al-Quran yang bermaksud “... tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami” itu seharusnya cukup menyedarkan ketua AMK dan seluruh anggota parti bahawa PKR bukanlah seperti parti-parti lain dalam negara ini.
PKR adalah parti islah yang menjenamakan perjuangan politiknya sebagai parti reformasi. Ia adalah parti yang berjanji untuk meluruskan kembali tata kelola pentadbiran negara, mereformasikan institusi dari amalan politik kotor dan korup serta mengembalikan proses undang-undang daripada unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Justeru mengapa setelah berkuasa PKR tiba-tiba lupa dan berpaling daripada perjuangan untuk mereformasikan institusi? Bahkan mereka nampaknya gagal melaksanakan reformasi dalam parti sendiri.
Sepatutnya PKR menjuarai langkah tersebut agar ia menjadi duluan dan teladan parti lain.

Kalau prinsip dan asas perjuangan reformasi sewaktu Anwar kehilangan kuasa dulu masih dipegang, tentulah Nurul Izzah Anwar tidak tergamak membiarkan namanya diangkat mencabar Rafizi Ramli.
Bagaimana PKR mahu menguar-uarkan diri mereka sebuah parti islah ketika majoriti perwakilan dengan bersungguh-sungguh mengangkat anak presiden menjadi timbalan presiden?
Malah isteri presiden PKR yang juga ibu timbalan presiden juga – seandainya ada sesiapa yang lupa – kini berstatus penasihat parti.
Menjelang penghujung kongres baru-baru ini, Rafizi pulang lebih awal. Dia juga sudah nekad melepaskan jawatannya sebagai menteri ekonomi. Ia turut diikuti oleh Nik Nazmi Nik Ahmad.
Alasan Rafizi mudah saja – dia menyertai PKR untuk membawa budaya politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan berdasarkan mandat rakyat. Justeru selepas tidak mendapat mandat daripada ahli parti, wajar untuk dia berundur.
Dia sedang menterjemahkan makna islah yang dilaung-laungkan PKR sebelum in melalui perbuatan.
HARIS HAUZAH ialah seorang lelaki yang mencintai politik damai.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

