malaysiakini logo
story-image
ADS

KOLUM | Tahun lalu ketika berkempen, Trump menyatakan dia akan menamatkan Perang Ukraine dalam masa 24 jam. Kini dah berbulan-bulan Trump di Rumah Putih tapi perang masih berjalan.

Trump menuduh Perang Ukraine ialah perang Biden. Mengikut mulut Trump, jika dia Ppesiden, perang ini tidak akan berlaku.

Fakta ini tidak betul. Ketika Trump menjadi Presiden pada 2016, rancangan untuk menjadikan Ukraine batu loncatan menyerang Rusia telah bermula. Malah dari zaman Obama lagi, CIA telah merancang untuk membawa masuk Ukraine ke dalam Nato.

Mustahil Presiden Trump tidak tahu perkara ini. Apabila Trump memasuki Rumah Putih menggantikan Obama, pasti maklumat bertulis sulit ini terpampang di meja presiden.

Pada 18 Jun 2022, portal Yahoo melaporkan Pentagon "akhirnya menjadi bersih" dan "mengakui... terdapat 46 biolab yang dibiayai oleh tentera Amerika di Ukraine". Semua ini perancangan untuk menyerang Rusia.

Dari awal lagi – bertahun-tahun sebelum pecah perang – Rusia telah memberi tahu: Ukraine jangan menjadi anggota Nato. Ukraine wajib berkecuali.

Pada tahun 2008, Duta Amerika ke Rusia William J Burns memberitahu Setiausaha Negara Condoleezza Rice: Keahlian Nato untuk Ukraine berada 'di luar meja' (perbincangan). Ertinya tidak perlu ditimbulkan.

Inilah dasar Rusia yang telah diajukan kepada Obama, kepada Biden dan kepada Trump. Ukraine menjadi anggota Nato adalah garis merah yang jangan dilintasi. Jika dilintas maka Rusia akan bertindak.

Dasar Rusia ini diketahui oleh semua pentadbiran Amerika. Jika semua pentadbiran tahu dasar ini, kenapa Ukraine masih dijemput untuk menjadi anggota Nato?

Jawabnya amat mudah: Military Industry Complex – industri senjata mahu Amerika ada musuh. Musuh perlu untuk industri bergerak terus membuat senjata. Jika perang meletus, ini bonus untuk industri senjata.

Pada ketika ini, Rusia dan China Merah musuh Amerika.

Istilah "kompleks industri ketenteraan" merujuk kepada hubungan rapat antara tentera, industri pertahanan yang membekalkannya dan agensi kerajaan yang mengawasi mereka. Kumpulan ini dilihat berkuasa untuk mempengaruhi dasar awam.

Selain daripada kumpulan Kaum Zionis – kompleks industri senjata – ini adalah pelobi terulung di Washington DC.

Pada ketika ini, Presiden Trump sedang berhadapan dengan dua perang – Perang Gaza dan Perang Ukraine. Kita juga telah mendengar beberapa kali Trump mendakwa– I am peace president – saya presiden damai.

Kita juga diberitahu Trump telah membuat panggilan telefon dengan Putin untuk membincangkan jalan damai di Ukraine. Trump juga telah mengkritik Presiden Zelensky yang enggan mencari jalan damai.

Apakah betul Trump ini presiden damai? Apa yang ada dalam fikrah Trump tidak mungkin kita ketahui sepenuhnya.

Kecewa perang Gaza

Kita hanya dapat melihat tindak-tanduk dan langkah-langkah yang dilakukan oleh Trump. Malah ketika ini, cakap-cakap dan kenyataan Trump juga amat susah untuk dipegang.

Presiden Trump mungkin bercakap ini dan membuat itu. Menganjurkan sebegitu dan mendasarkan yang lain. Kata-kata daripada Presiden Trump ini boleh didengar. Namun, penting kita lihat apa yang akan dilakukan.

Kita mendengar Trump berkata dengan sedih: ...Banyak nyawa melayang... banyak nyawa anak muda melayang... hentikan perang ini... Dan dan dan.

Pada 20 Mei 2025, akhbar The Times of Israel melaporkan: Presiden Donald Trump "kecewa" dengan perang yang berterusan di Gaza, merasakan ia isu terakhir yang menghalang kemakmuran di Timur Tengah dan mahu kerajaan Israel "mengakhirinya," menurut laporan memetik pegawai Rumah Putih.

Laporan itu memetik seorang pegawai Rumah Putih sebagai berkata Trump "kecewa" dengan imej kanak-kanak dan bayi Palestin yang menderita di Semenanjung Gaza akibat sekatan dan serangan Israel dan dia "menekan Israel untuk membuka semula pintu dan membenar bantuan masuk."

Pada 26 Mei 2025, BBC melaporkan: Presiden AS Donald Trump berkata dia "tidak gembira" dengan rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin, berikutan serangan udara terbesar Moscow ke atas Ukraine.

Dalam teguran yang jarang berlaku, Trump berkata: "Apa yang berlaku kepadanya? Dia membunuh ramai orang." Dia kemudian memanggil Putin "benar-benar gila."

Dua perang – Ukraine dan Gaza – sebenarnya boleh dihentikan dengan serta-merta. Perang ini bukan Perang Biden atau Perang Obama. Ini Perang Amerika. Di belakang kedua-dua perang ini ialah Amerika tanpa mengira dari pentadbiran Demokrat atau Republikan.

Perang Gaza dan Perang Ukraine itu perang yang didalangi oleh kuasa imperial Amerika untuk mendominasi dunia.

Bolehkah Trump menjadi presiden damai? Pasti boleh. Kuasa ada terletak dalam tangan Presiden Amerika.

Trump boleh menelefon Zelensky dan memberi arahan hentikan perang. Jika Zelensky berdegil, bawa pulang ratusan ‘soldadu gelap’ Amerika yang sedang beroperasi sebagai penasihat di Ukraine.

Juga buat panggilan telefon ke Tel Aviv. Beritahu Netanyahu untuk hentikan genosid dengan serta-merta. Hentikan penghantaran senjata dari BlackRock dengan serta-merta ke Israel. Penghantaran dana dolar dari Amerika dihentikan juga.

Jika tidak, semua kata-kata yang telah dilafazkan oleh Trump hanya sandiwara. Lawatan Trump ke Saudi, ke Qatar dan UAE hanyalah mainan teater. Berjabat salam dengan al-Julani bekas pengganas al-Qaeda itu hanya lawak berdiri.

Hakikatnya Trump telah dilihat mandul atau telah dimandulkan oleh pemilik kilang senjata dan juga pelobi Zionis yang mendanai kempen Trump dulu.

Kebelakangan ini dunia diberitahu bahawa Trump dan Netanyahu telah tidak sebantal lagi. Dunia juga telah melihat bagaimana Trump ‘melibas’ Zelensky di Pejabat Oval. Media arus perdana di Amerika dan di Eropah telah menganalisa bahawa telah ada perubahan dasar luar Amerika terhadap Timur Tengah.

Wajib disedari dan wajib diketahui bahawa di belakang semua pentadbiran Presiden Amerika ada lapisan struktur yang berkepentingan. Wujud lembaga-lembaga yang telah lama menjadi tembok dan benteng kepada kuasa hegemoni Amerika.

Dari segi ekonomi – senjata dan perang adalah eksport utama untuk Amerika. Lihat saja kali ini pentadbiran Trump telah mengumumkan rancangan untuk meminta AS$1.01 trilion untuk perbelanjaan Pentagon untuk tahun fiskal 2026. Ini satu rekod.

Jika Kongres AS menandatangani permintaan Trump, ini akan menandakan permulaan era baru belanjawan Pentagon bernilai trilion dolar.

Pada masa sama, Trump akan memotong besar-besaran belanjawan program kritikal yang bukan ketenteraan seperti bantuan perumahan, inisiatif pendidikan, program alam sekitar dan bantuan asing.

Apakah ini contoh presiden damai?

Mungkin dalam hati kecil Trump memang dia berniat untuk menjadi presiden damai. Trump pasti ingat bagaimana Obama menerima Hadiah Nobel pada tahun 2009 kerana peranan Obama membawa damai dalam hubungan antarabangsa dan menolak perlumbaan senjata nuklear.

Dalam sejarah, hanya empat sosok Presiden Amerika yang menerima penghormatan Hadiah Keamanan Nobel – Theodore Roosevelt, Woodrow Wilson dan Barack Obama ketika menjadi presiden. Sementara itu, Jimmy Carter satu-satunya yang memenanginya selepas meninggalkan jawatan.

Apakah teater dan sandiwara yang sedang dipentaskan oleh Trump ini sebahagian daripada skrip agar dia dipanggil ke Oslo oleh Norwegian Nobel Committee?

Atau apakah teater dan sandiwara Trump ini hanyalah taktik untuk mengalih pandangan dunia bahawa kini telah tersedia perancangan yang dilakar oleh Netanyahu untuk memerangi Iran?

Dunia tidak akan memperlekeh Trump jika dia dianugerah Hadiah Keamanan Nobel.

Malah hari ini dunia sedang menunggu dan menanti bila Trump akan membuat panggilan telefon kepada Netanyahu, kepada Zelensky dan kepada Putin. Hanya dengan satu ayat sahaja: Hentikan perang sekarang. Khalas.

Jika ini berlaku, saya yakin pasti akan ada panggilan telefon ke Rumah Putih dari Oslo, Norway.


HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen